http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_03.htm
9/4/2008
MUAR 8 April – Kesemua 89 keluarga dari sembilan kampung di Sungai Balang dan Seri Menanti di sini yang mengalami kerosakan rumah akibat dilanda ribut pada 30 Mac lalu, menerima bantuan berjumlah RM81,200 daripada kerajaan negeri, baru-baru ini.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Robia Kosai melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Balang itu berkata, bantuan segera tersebut merupakan satu langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu semua mangsa ribut bagi meringankan beban ekoran bencana tersebut.
“Kerajaan BN sentiasa prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa ribut itu dan untuk tempoh segera, bantuan ini dapat diagih-agihkan kepada penduduk yang terlibat.
“Setiap mangsa tanpa mengira keturunan dan latar belakang mereka tetap menerima bantuan ini mengikut nilai kerosakan yang dialami,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian bantuan berkenaan di Sungai Balang, kelmarin.
Dalam kejadian 30 Mac lalu itu, sebanyak 60 buah rumah dari sembilan kampung di sekitar Sungai Balang dan Seri Menanti rosak teruk terutamanya, pada bahagian bumbung apabila dilanda ribut serta angin kencang.
Kampung-kampung terlibat termasuk Parit Yusof, Sungai Gersik Darat dan Laut, Sungai Balang Kecil Darat dan Laut, Parit Bulat Darat, Kampung Sungai Sudah Darat, Parit Bulat dan Seri Menanti Darat.
Turut rosak ialah beberapa buah kedai di sekitar pekan Parit Yusof dan Parit Bulat, manakala kereta Robia sendiri pecah cermin belakang akibat dihempap sebatang pokok pinang di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Sungai Balang di Parit Yusof.
Ribut serta angin kencang itu melanda kesemua kampung berkenaan sebaik sahaja hujan lebat pada pukul 6.45 petang sebelum berakhir setengah jam kemudian.
Menurut Robia, ketika ribut melanda kawasan itu, beliau berada di pusat khidmat wakil rakyat kawasan berkenaan.
Katanya, selepas bencana itu, beliau dan sekumpulan pegawai JKM melawat sebahagian daripada rumah yang dilanda ribut sehingga pukul 3 pagi.
Beliau berkata, sebahagian besar daripada penghuni atau mangsa ribut itu tidak menyedari kehadirannya bersama sekumpulan pegawai berkenaan kerana kebanyakan daripada mereka sudah tidur.
Khamis, 10 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan