UM
BATU PAHAT 14 April - Seorang pelabur Amanah Saham Johor (ASJ) membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis ekoran notis pekeliling yang dihantar kepada para pemegang saham mengenai cadangan penamatan skim itu dijangka bermula 31 Mei ini.
Ayub Ahmad, 68, berkata, laporan itu dibuat kerana dia mengesyaki berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan saham berkenaan.
Menurutnya, laporan polis dan BPR itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat dan pejabat BPR Batu Pahat di sini pagi semalam.
"Penyelewengan dan penipuan itu telah menyebabkan ASJ mengalami kerugian besar iaitu mengikuti laporan audit 31 Mei 2007 hingga 30 November 2007, dana pelabur yang berjumlah RM48.7 juta merosot kepada RM23 juta," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ayub berkata, sebagai pelabur dalam skim itu, dia bertanggungjawab dan mahu perkara itu disiasat dengan harapan dapat melindungi harta bumiputera khususnya yang tinggal di luar bandar.
Sehubungan itu, dia menyeru semua pelabur ASJ agar mengadakan pertemuan sebelum tarikh Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang bakal membentang resolusi menamatkan skim itu pada 24 April ini di Johor Bahru.
Katanya, perbincangan itu penting bagi memastikan pelaburan mereka dilindungi dan mereka yang meminjam bank ketika membuat pelaburan tidak akan dikenakan sebarang tindakan termasuk tindakan muflis.
"Saya harap para pelabur tidak menghantar balik borang proksi kepada pengurus yang telah dikirimkan kepada pelabur-pelabur bagi memastikan usaha menamatkan skim ini dapat dipertimbangkan kembali," katanya.
Ayub memberitahu, dia akan mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memainkan peranan bagi membantu para pelabur agar pelaburan yang dibuat selama ini tidak sia-sia.
Katanya, kementerian berkenaan mungkin boleh mengambil alih dana yang terkumpul dan melaburkannya pada skim-skim lain yang berpotensi seperti menyimpannya di dalam Bank Rakyat.
Hari ini, Utusan Malaysia menyiarkan gesaan para pelabur yang mahu kerajaan negeri campur tangan dengan cadangan penamatan skim amanah tersebut yang dijangka dilaksanakan bermula 31 Mei ini.
Mereka mendakwa, penamatan skim yang diperkenalkan sejak 1992 itu tanpa mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada pelabur-pelabur terutama yang membuat pinjaman bank adalah tidak adil dan satu penganiayaan.
Pengumuman penamatan ASJ itu disampaikan kepada para pelabur menerusi surat pekeliling yang menjemput mereka menghadiri Mesyuarat Luar biasa (EGM) pada 24 April ini di Hotel Puteri Pacific, Johor Bahru.
Rabu, 16 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan