Rabu, 16 April 2008

(B PAHAT) Selatan: Syor tanam sayur di sekolah

BH

15/4/08

Oleh Mohd Roji Abdullah
Exco kemuka pendekatan galak murid sekolah menengah kuasai kemahiran ceburi bidang pertanian moden BATU PAHAT: Semua sekolah menengah di Johor disaran mewujudkan taman pertanian atau mengubah landskap di sekitar sekolah yang kini dipenuhi pokok bunga kepada pelbagai tanaman yang menjadi sumber makanan seperti sayuran dan buah-buahan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Aziz Kaprawi, berkata pendekatan baru itu perlu bagi memberi pendedahan mengenai kaedah pertanian moden serta menyemai minat pelajar terhadap bidang pertanian yang kini menjadi agenda pembangunan intensif kerajaan.
Beliau berkata, pendedahan kepada bidang pertanian itu boleh dijadikan satu aktiviti dalam mata pelajaran kemahiran hidup dan beliau yakin ia akan membantu pelajar untuk lebih memahami cara penanaman sumber makanan. "Saya mencadangkan supaya lebih 200 sekolah menengah di Johor bekerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri untuk wujudkan taman pertanian bagi memberi pendedahan bidang pertanian kepada pelajar sekali gus menyemai minat mereka untuk menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya pilihan satu hari nanti. "Kewujudan taman pertanian itu bukan saja untuk mencantikkan persekitaran sekolah tetapi yang lebih penting kita akan menerapkan pengetahuan mengenai teknologi pertanian moden kepada pelajar.
"Dengan pengetahuan yang ada, hasrat untuk mengembangkan pertanian berteknologi tinggi pasti akan tercapai bagi membantu memantapkan sektor pertanian negara," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Hari Anugerah Pelajar Cemerlang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Aminah, di sini, kelmarin. Aziz berkata, pendedahan mengenai pertanian kepada pelajar itu perlu untuk memastikan penggantungan negara kepada import bahan makanan dapat dihentikan sepenuhnya pada masa depan. Beliau berkata, minat untuk menceburi bidang pertanian harus disemai daripada peringkat awal supaya generasi muda sedar perlunya usaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan hasil pertanian negara.
"Ketika ini, negara kita membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk mengimport bahan makanan. Kita harus berusaha mulai sekarang untuk meningkatkan hasil pertanian dalam negara yang bukan saja akan menghentikan penggantungan kepada negara luar, tetapi akan memastikan negara pula menjadi pengeksport bahan makanan satu hari nanti. "Kita tidak ada cara lain, kecuali menyandarkan harapan ini kepada anak-anak yang akan meneruskan usaha yang kita mulakan ketika ini untuk memantapkan bidang pertanian negara," katanya. Beliau berkata, pengetahuan mengenai teknik pertanian moden juga perlu diterapkan kepada generasi muda dan ia menjadi tanggungjawab pakar Jabatan Pertanian untuk membantu pelajar mengetahui cara baru menghasilkan tanaman bermutu serta menambah kuantiti pengeluaran. "Memang diakui, teknologi pertanian kita masih jauh di belakang negara lain khususnya Thailand yang kini berupaya mengeluarkan pelbagai hasil tanaman bermutu tinggi. Begitu juga dalam bidang ternakan, kita masih jauh ketinggalan berbanding Australia atau New Zealand. "Sebab itu, kita mahu pelajar didedahkan dengan kaedah pertanian moden dan kemahiran lanjutan boleh peroleh di institut pertanian supaya petani kita memiliki kemahiran untuk menghasilkan tanaman bermutu tinggi setanding negara lain pada masa depan," katanya.

Tiada ulasan: