Selasa, 22 April 2008

(JOHOR) 280 guru al-quran belum dapat alaun

BH 21/4/08

BATU PAHAT: Kira-kira 280 guru al-Quran yang bertugas di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor, mendakwa sukar untuk meneruskan hidup kerana belum menerima elaun masing-masing sejak 10 bulan lalu. Mereka yang dilantik Jabatan Agama Johor (JAJ) pada pertengahan tahun lalu itu, mendakwa setiap seorang dijanjikan elaun sebanyak RM500 sebulan untuk mengendali kelas pengajian al-Quran selama enam jam sehari. Sumber yang enggan identitinya disiarkan berkata, masalah pembayaran elaun dihadapi guru terbabit sudah beberapa kali dirujuk kepada pihak berkaitan, tetapi jawapan diterima mereka kurang memuaskan.
"Kami dilantik JAJ mengendali kelas pengajian al-Quran di masjid dan surau dalam setiap kawasan DUN, pada Jun tahun lalu dan dibayar elaun RM500 sebulan seorang, bagi kelas lima hari seminggu itu. "Bagaimanapun, hingga kini kami agak kecewa apabila mendapati elaun dijanjikan itu belum dilunaskan, walaupun masalah berkenaan sudah beberapa kali dirujuk kepada pihak terbabit," katanya. Sumber berkata, masalah berkenaan turut dirujuk kepada beberapa wakil rakyat bagi mendapatkan pembelaan, tetapi hingga kini belum menampakkan sebarang perkembangan atau penyelesaian terhadap kemelut dihadapi.
Beliau berkata, masalah elaun itu penting dan perlu segera diselesaikan, bagi kelangsungan hidup guru terbabit yang kini terpaksa memberikan tumpuan sepenuh masa terhadap tugas dipikul mereka itu. Katanya, guru terbabit tidak dapat melakukan kerja lain bagi mendapatkan pendapatan tambahan untuk menyara keluarga, kerana sebahagian besar masa mereka ditumpukan kepada menggendalikan kelas berkenaan. "Justeru, kami berharap masalah pembayaran elaun dihadapi guru al-Quran yang sudah tertunggak selama 10 bulan ini mendapat perhatian dan pertimbangan pihak berkaitan, termasuk kerajaan negeri. "Jika boleh, kami mahu ia segera diselesaikan bagi mengelak tunggakan yang kini dianggar berjumlah lebih RM1 juta itu, membebankan pihak terbabit," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Penghayatan al-Quran Bahagian Pengurusan Masjid JAJ, Suhadi Misran, berkata urusan pembayaran elaun kepada guru terbabit dikendali kerajaan negeri serta Majlis Agama Islam Johor (Maij). Beliau berkata, pembayaran elaun RM500 sebulan seorang bagi enam bulan pertama kepada guru terbabit diuruskan kerajaan negeri, manakala enam bulan berikutnya diserahkan kepada Maij untuk dilunaskan. Katanya, setiap kawasan DUN mempunyai antara tiga hingga lima guru yang dipertanggungjawab menggendali kelas al-Quran enam jam sehari di masjid serta surau di negeri itu. "Setakat ini, saya dimaklumkan Maij sudah menyediakan cek untuk pembayaran elaun kepada guru terbabit bagi tempoh Julai hingga Disember tahun lalu dan yakin masalah berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.

Tiada ulasan: