Selasa, 22 April 2008

(JOHOR) Ghani ketuai angkat sumpah


UM


Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
Abdul Ghani Othman (kanan) bersalaman dengan Ali Hassan yang dilantik semula sebagai Speaker Dewan Negeri pada upacara Angkat Sumpah Ahli Dewan Negeri di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 21 April - Seramai 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor termasuk enam daripada parti pembangkang yang memenangi kerusi masingmasing pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu mengangkat sumpah hari ini.
Upacara angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Speaker yang baru dilantik semula iaitu Datuk Mohd. Ali Hassan di Bukit Timbalan di sini.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom memulakan upacara berkenaan yang diikuti barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Upacara tersebut kemudiannya diteruskan oleh semua ADUN yang memenangi kerusi DUN di kawasan masing-masing termasuk enam daripada pembangkang.
Selain Mohd. Ali yang dilantik semula bagi penggal kedua sebagai Speaker, Datuk Othman Jais yang juga ADUN Buloh Kasap turut dilantik semula memegang jawatan Timbalan Speaker.
Sementara itu, Mohd. Ali yang ditemui selepas pelantikan itu melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan dan berjanji akan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.
"Walaupun bilangan anggota DUN Johor kini terdapat wakil pembangkang, saya tetap akan cuba memainkan peranan sebaik mungkin supaya perjalanan DUN dapat berlangsung dengan baik dan mengikut peraturan," katanya.
Enam wakil pembangkang ialah empat daripada DAP iaitu ADUN Senai, Ong Kow Meng; Skudai, Dr. Boo Cheng Hau; Bentayan, Wee Tong Hiang dan Mengkibol, Ng Lam Hua.
Pas pula mempunyai dua wakil menerusi ADUN Maharani, Dr. Mohd. Taslim dan Sungai Abong, Dr. Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh.
Pada pilihan raya umum lalu, DAP turut memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Parlimen Bakri menerusi Er Teck Hwa.

Tiada ulasan: