UM
Oleh HAMDAN TAAWDI
JOHOR BAHRU 14 April - Johor mencatat bilangan penagih dadah kedua tertinggi selepas Pulau Pinang dengan 2,004 orang daripada keseluruhan 14,489 penagih yang dikesan sepanjang tahun lalu.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor, K. Sukumaran berkata, bagaimanapun jumlah penagih yang dikesan di negeri itu menurun berbanding seramai 2,329 penagih pada tahun sebelumnya.
"Johor berada di tangga kedua kerana sesetengah negeri mencatatkan penurunan bilangan penagih yang amat ketara berbanding pada tahun sebelumnya.
"Malah, bilangan keseluruhan penagih yang dikesan di seluruh negara turut menurun berbanding tahun 2006 yang mencatatkan 22,811 penagih," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini bagi mengulas mengenai statistik penagihan dadah di negeri ini.
Sukumaran berkata, bilangan penagih dadah tertinggi dikesan di Pulau Pinang seramai 3,433 orang diikuti Johor, Kuala Lumpur (1,756), Kedah (1,604) dan Selangor (1,409).
"Perak pula mencatat bilangan penagih seramai 1,194 orang, Kelantan (884), Negeri Sembilan (826), Pahang (378), Melaka (313), Sabah (217), Sarawak (184), Perlis (147), Terengganu (127), Putrajaya (7) dan Labuan (6)," katanya.
Sementara itu, Sukumaran berkata, bilangan penagih dadah di Johor menurun sepanjang Januari lalu hasil penguatkuasaan berterusan pihak berkuasa.
"Jika tahun lalu, bilangan penagih dadah yang dikesan di negeri ini adalah yang kedua tertinggi, namun pada Januari lalu, bilangan penagih dikesan di Johor turun," katanya.
Katanya, seramai 1,717 penagih dikesan di seluruh negara sepanjang Januari lalu dengan Pulau Pinang kekal mencatatkan bilangan penagih tertinggi iaitu 350 orang, Selangor (221), Kuala Lumpur (217) dan Johor (203),
Tambahnya, ia diikuti Kedah seramai 150 orang, Perak (115), Kelantan (115) dan Pahang (110), Negeri Sembilan (84) Melaka (54), Sabah (45), Terengganu (30), Sarawak (10), Perlis (8) dan Labuan (5).
Rabu, 16 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan