Rabu, 16 April 2008

(JOHOR) Peralihan kuasa perlu berhemah - Pemuda Johor

UM

JOHOR BAHRU 15 April - Pergerakan Pemuda UMNO Johor mahu proses peralihan kepimpinan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan secara tertib dan berhemah.
Ketuanya, Razali Ibrahim berkata, proses peralihan kepimpinan parti perlu berjalan lancar bagi memperkukuhkan lagi UMNO secara keseluruhannya.
"Sudah menjadi amalan orang Johor (UMNO), kita tidak pernah diajar untuk menjadi penentang atau pendesak semata-mata untuk menjatuhkan air muka pemimpin.
"Pendekatan dan cara yang kita guna pakai adalah secara berhemah khususnya dalam menghadapi kemelut dan isu-isu nasional," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar mengulas pendirian Badan Perhubungan UMNO Johor yang menyokong kepimpinan Abdullah selaku Presiden UMNO tanpa berbelah bahagi pada pemilihan parti Disember ini.
Pendirian itu diumumkan Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman setelah mengadakan perjumpaan tertutup lebih tiga jam dengan Abdullah pada Jumaat lalu.
Razali berkata, dalam mesyuarat khas Perhubungan UMNO Johor 5 April lalu, kesemua ketua bahagian dan para pemimpin sayap termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri telah menyatakan rasa kasih dan sayang kepada parti.
"Pada mesyuarat hampir tiga jam itu kita telah berbincang bagi mencari jalan bagaimana satu-satunya parti yang dilahirkan di Istana Besar, di sini dan menjadi kubu kuat UMNO dapat dipulihkan sehingga diyakini semula oleh segenap lapisan masyarakat.
"Semua yang hadir memberi pandangan dan kita merumuskan bahawa satu formula perlu dicari bagi membolehkan proses peralihan kepimpinan dilakukan segera dan dalam masa yang sama dapat mengukuhkan parti serta tanpa menyekat suara akar umbi,'' ujarnya.
Razali berkata, pada dasarnya dalam mesyuarat 5 April itu, semua ketua bahagian termasuk Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersepakat tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan ekoran perbincangan itu tidak selesai kerana kesuntukan masa.
"Ini bermakna mesyuarat 5 April boleh dianggap sebagai pra matang dan berikutan itu pada akhir mesyuarat kita semua setuju bahawa satu mesyuarat lagi patut diadakan dalam masa terdekat supaya dapat memberi rumusan yang lebih lengkap.
"Pada dasarnya Menteri Besar bersama beberapa pemimpin lain telah berjaya menyampaikan segala mesej dengan jelas kepada Abdullah dalam mesyuarat tertutup itu.
''Berdasarkan pengamatan peringkat awal Abdullah terperanjat dengan petunjuk dan mesej itu, bagaimanapun beliau akur dan memahami mesej serta kehendak orang Johor," jelasnya.
Razali berkata, pada pertemuan itu UMNO Johor hanya menyampaikan rumusan bahawa peralihan kepimpinan sepatutnya berlaku dan tanpa apa-apa cadangan.
"Saya berpendapat dalam mesyuarat itu kita hanya bersetuju tentang perlunya peralihan kepimpinan dan ada banyak pilihan tentang kaedah yang boleh digunakan untuk memulihara parti,'' katanya.
Tambahnya, memandangkan tahun ini ada pemilihan parti, maka kaedah terbaik untuk menentukan peralihan kepimpinan perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil kira suara akar umbi.
Justeru katanya, Pemuda UMNO Johor mengharapkan satu mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Johor diadakan segera bagi mengelakkan salah faham ahli- ahli.

Tiada ulasan: