http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_08.htm
Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
JOHOR BAHRU 8 April – Pergerakan Wanita UMNO masih memerlukan kepimpinan ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz dalam usaha memulih dan mengukuhkan semula parti.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kepimpinan Rafidah tetap relevan dan mendapat sokongan padu daripada semua wanita di pelbagai peringkat.
Malah tegas beliau, arahan Rafidah supaya semua ketua-ketua Wanita UMNO negeri menggerakkan jentera di peringkat cawangan dan bahagian bagi menangani pelbagai isu, mendapat sambutan membanggakan.
“Oleh itu, bagi kami soal untuk merebut jawatan Ketua Wanita UMNO bagi menggantikan Rafidah tidak berbangkit sama sekali.
“Ini kerana Wanita UMNO mempunyai tanggungjawab lebih besar dalam memperjuangkan agenda orang Melayu dan masa depan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Halimah berkata, kepimpinan yang berwibawa itu penting bagi memenuhi kehendak yang bersesuaian dengan suasana politik kini ekoran prestasi BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
Beliau berkata, ini kerana pilihan raya tersebut menunjukkan rakyat telah memberikan mesej jelas yang menuntut satu langkah berani dan proaktif oleh parti dan kerajaan bagi membela nasib mereka.
Ketua UMNO Bahagian Tenggara itu berkata, keadaan itu menuntut setiap ahli parti bekerja keras untuk menangani segala isu-isu, rungutan dan tuntutan oleh rakyat yang perlu diletakkan sebagai keutamaan.
“Sekarang kita sudah tidak punya masa memikirkan soal jawatan dalam parti dan kita juga kita tidak wajar berpecah belah khususnya dalam melalui proses pemilihan parti pada Disember ini.
“Pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti tidak wajar disalahgunakan oleh mereka yang berkepentingan peribadi, yang akhirnya melemahkan dan memecahbelahkan parti,” katanya.
Beliau berkata, kesan pilihan raya lalu juga menyebabkan rakyat kini sentiasa memerhati dan memantau perilaku ahli serta para pemimpin UMNO yang ghairah untuk mendapat tempat dalam pemilihan parti hingga mengabaikan agenda UMNO.
“Kita bimbang mereka lupa peranan parti sebenar adalah untuk membela rakyat dan perlu menjadi ahli atau pemimpin yang bertanggungjawab terhadap bangsa dan bukan demi kepentingan peribadi,” jelasnya.
Khamis, 10 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan