Khamis, 10 April 2008

Kelas tuisyen bimbing murid UPSR

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/EdisiWilayah/20080410072953/Article/index_html

10/4/2008

MUAR: Dalam usaha membantu meningkatkan lagi kecemerlangan pencapaian murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sekolah Kebangsaan Bandar Maharani, di sini, menganjurkan program kelas tuisyen di sekolah berkenaan sejak tujuh tahun lalu. Program di bawah Projek Hikmah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) itu dikendalikan lima guru untuk mengulang kaji empat mata pelajaran penting yang menjadi teras ujian berkenaan iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Guru Penyelaras Projek Hikmah SK Bandar Maharani, Othman Taib berkata, program tahun ini membabitkan 75 calon UPSR yang mengikuti kelas tuisyen di sekolah berkenaan pada waktu malam.
Beliau berkata, kelas itu diadakan empat hari seminggu bermula jam 8.15 malam hingga 10.15 malam setiap Isnin hingga Khamis. Lima guru mengendalikan kelas berkenaan iaitu Haslina Abd Aziz, Rohani Abu Bakar, Roslina Rahmat, Azilina Atan dan Othman sendiri. "Sepanjang penganjurannya, kelas tambahan berkenaan memberi kesan menggalakkan kepada calon yang menduduki ujian berkenaan. Pencapaian keputusan UPSR di sekolah ini meningkat setiap tahun," katanya, di sini, kelmarin.
Tahun lalu, kelulusan bagi semua mata pelajaran calon UPSR meningkat kepada 92.7 peratus berbanding 91 peratus tahun sebelumnya dengan 22 daripada 98 calon memperoleh keputusan 5A. Othman yang juga guru Matematik berkata, kesungguhan pengajar membimbing murid di kelas tuisyen berkenaan penting bagi memastikan matlamat memperkasakan mutu pendidikan nasional tercapai. Sementara itu, Haslina berkata, beliau bangga dengan tugas yang dilakukan demi memastikan kecemerlangan calon UPSR sehingga membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. "Saya tidak menghadapi masalah memberikan sumbangan ikhlas mendidik murid yang bakal menduduki UPSR walaupun terpaksa bertugas pada sebelah malam," katanya.
Rohani yang mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris berkata, tugas yang dilakukan itu murni dan mendapat restu serta sokongan anggota keluarga terutama suami. Murid Tahun Enam Raya sekolah berkenaan, Mohd Shakirin Shahrul Jamal, 12, berkata, beliau gembira kerana berpeluang mengikuti kelas tuisyen melalui Skim Projek Hikmah YPJ. "Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh bagi meraih kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR kelak," katanya. Rakannya, Sarah Zulkifli, 12, pula berkata, kefahamannya dalam semua mata pelajaran terutama bahasa Inggeris dan Matematik semakin meningkat sejak mengikuti kelas tuisyen berkenaan.

Tiada ulasan: