Selasa, 22 April 2008

(KOTA TINGGI) 237 dapat lot kediaman

BH 20/4/08

Oleh Mustapha Ismail
Generasi kedua peneroka lega dapat tinggal tetap di tanah rancangan Felda Sungai SayongKOTA TINGGI: Lebih 200 anak peneroka Felda Sungai Sayong (FSS), dekat sini, menganggap peluang memiliki tempat tinggal sendiri di tanah rancangan berkenaan sebagai hadiah paling berharga. Ini kerana mereka yang dikategorikan sebagai generasi kedua di tanah rancangan Felda itu, tidak lagi perlu tinggal serumah bersama keluarga atau menyewa di tempat lain.
Bagi mereka, tawaran serta peluang diberi pengurusan Felda kepada generasi kedua untuk memiliki lot kediaman sendiri di kawasan tanah rancangan itu seperti pucuk dicita ulam yang mendatang. Malah, mereka turut menganggap langkah itu sebagai tindakan serampang dua mata yang dapat mengelak penghijrahan generasi muda, selain memastikan tenaga kerja tidak ketandusan di tanah rancangan itu. Permohonan mendapatkan lot disediakan Felda itu amat menggalakkan sekali gus membuktikan semangat generasi kedua untuk terus tinggal di tanah rancangan yang dibangunkan keluarga masing-masing, masih wujud.
Borang permohonan tawaran lot berkenaan, diedar kepada yang berminat pada awal 2005 dan semua pemohon menjalani proses temu duga beberapa bulan kemudian. Proses temu duga permohonan dikendali Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi pada 26 Mei 2005 dan cabutan undi bagi menentukan lot kepada pemohon berjaya, diadakan pada 15 April lalu. Majlis Perasmian Undian Tanah Penempatan Kampung FSS yang berlangsung di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan FSS itu disempurnakan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamad Sadique. Seramai 237 daripada 247 pemohon berjaya menepati syarat ditetapkan dan berpeluang memiliki satu daripada 248 plot tanah pelbagai keluasan yang akan dibangunkan menjadi Kampung FSS.
Sebahagian besar pemohon didapati begitu bersemangat dan tidak sabar untuk membangunkan kawasan berkenaan menjadi penempatan generasi kedua tanah rancangan itu. Mahbob Salleh, 47, berkata peluang diterima itu adalah sesuatu yang begitu besar ertinya kepada generasi kedua dan tidak akan disia-siakan. "Saya sudah tinggal di tanah rancangan ini sejak kira-kira 40 tahun lalu dan tawaran memiliki lot kediaman dikemukakan Felda kepada generasi kedua itu, sama seperti peribahasa Melayu yang mengatakan kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan. "Sebelum ini, saya yakin ramai pemohon yang sudah berkeluarga terpaksa tinggal sebumbung bersama ibu bapa mereka di tanah rancangan berkenaan atau menyewa rumah di tempat lain,” katanya. Beliau yakin langkah itu juga dapat mengatasi beberapa masalah seperti penghijrahan serta kekurangan tenaga kerja. Seorang lagi pemohon, Saniah Hassan, 47, juga terpaksa tinggal bersama ibu dan bapa mereka sejak berpindah ke tanah rancangan itu kira-kira 40 tahun lalu. "Peluang diberikan Felda ini tidak akan saya lepaskan begitu saja kerana sejak berumah tangga kami terpaksa tinggal bersama keluarga atau menyewa kediaman lain. "Saya dan suami merancang untuk membina rumah dan tinggal bersama anak-anak di atas lot tanah yang ditawarkan Felda kepada generasi kedua FSS ini," katanya. Ghazali Abd Samat, 37, pula berpendapat perkembangan keluarga asal peneroka tanah rancangan itu menyebabkan ramai daripada anak mereka, terutama yang sudah berkahwin terpaksa mencari tempat tinggal lain. "Sebahagian besar anak peneroka mahu kekal tinggal di tanah rancangan ini, tetapi masalah kekurangan tempat tinggal di situ menyebabkan ada yang terpaksa menyewa kediaman di tempat lain. "Saya berpendapat langkah memberi peluang kepada generasi kedua memiliki lot kediaman di kawasan rancangan ini adalah satu tindakan bijak yang dapat mengelak orang seperti kami berpindah ke tempat lain," katanya. Salamat Ahmad, 45, berkata beliau yakin langkah dilaksana Felda untuk membahagikan tanah lebih di sesebuah kawasan rancangan kepada generasi kedua sebagai suatu tindakan tepat dan kena pada masanya. "Ia tidak saja memberi peluang kepada kami memiliki lot kediaman sendiri di tanah rancangan ini, tetapi dapat mengelak sesebuah kawasan Felda menjadi sepi dan kurang generasi pelapis," katanya. Nor Esah Abd Manap, 45, juga berpendapat langkah dilaksana Felda itu dapat memberi peluang kepada anak peneroka, terutama yang ramai adik-beradik terus tinggal di tanah rancangan itu. "Sebagai anak daripada keluarga yang ramai, saya yakin tidak semua berpeluang mewarisi apa yang diberikan Felda kepada ibu bapa kami. Jadi, pembahagian lot yang dilakukan ini dapat mengatasi masalah berkenaan," katanya. Sementara itu, Pentadbir Tanah Daerah Kota Tinggi, Azmi Rohani, berkata pihaknya berharap pemohon yang berjaya mengambil langkah untuk memajukan lot masing-masing dan tidak menjualnya kepada pihak lain. Beliau turut menasihatkan pemohon yang berjaya segera menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Generasi Kedua bagi menyelesaikan pelbagai masalah seperti kerja meratakan tanah. "Dalam hal ini, kita semua perlu bersatu dan jangan mementingkan diri sendiri,” katanya.

Tiada ulasan: