Rabu, 16 April 2008

(MERSING) Selatan: Budak perlu surat beranak untuk belaajar secara formal

BH

15/4/08

Oleh Sahlina Sahkirin
MERSING: Seorang kanak-kanak, Nurul Natasya Azwa Kamaruddin, 11, dari Kampung Siapu, di sini dikatakan tidak dapat meneruskan persekolahan seperti rakan sebayanya berikutan tidak mempunyai surat beranak. Beliau yang tinggal bersama nenek, ibu dan adik-beradik lain sepatutnya berada di tahun lima sebelum ini hanya dibenarkan menumpang untuk bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sawah Datuk, sehingga tahun dua saja. Neneknya, Peah Jantan, 80, berkata, tindakan bapa Natasya yang gagal mendaftarkan kelahiran dan menghilangkan diri menjadi punca cucunya tidak mempunyai surat beranak sehingga hari ini.
Bagaimanapun, katanya, adik dan abang Natasya memiliki surat beranak. "Saya bimbang masa depan Natasya akan gelap jika usaha mendapatkan surat beranak ini gagal. "Sehubungan itu, saya meminta pihak berkenaan membantu untuk mengatasi masalah ini kerana saya tidak tahu cara menguruskannya, demi masa depan cucu saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Siapu, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Bahagian Mersing, Faraha Ismail bersama ahli jawatankuasanya yang mengadakan lawatan dan memberikan sumbangan makanan kepada keluarga Peah berjanji akan membantu keluarga berkenaan menguruskan surat beranak Natasya. "Saya akan cuba berhubung dengan pihak berkenaan untuk mendapatkan surat beranak Natasya bagi membolehkannya bersekolah semula seperti kanak-kanak lain demi masa depannya. "Masa depan kanak-kanak ini akan gelap jika beliau tidak memiliki sebarang dokumen, termasuk surat beranak dan Mykad kerana akan dianggap sebagai pendatang tanpa izin," katanya.

Tiada ulasan: