Rabu, 16 April 2008

(MUAR) elatan: Kampung Paya Panjang kerap banjir kilat

BH

15/4/08

elatan: Kampung Paya Panjang kerap banjir kilat

MUAR: Kira-kira 15 keluarga di Kampung Paya Panjang dekat Bukit Pasir di sini, resah setiap kali hujan lebat berikutan rumah mereka dilanda banjir kilat dan kejadian itu berlarutan sejak beberapa tahun lalu. Kedudukan rumah mereka berhampiran kawasan kebun getah menyebabkan air melimpah dan keadaan diburukkan lagi apabila kawasan kampung itu hanya mempunyai sistem perparitan yang kecil dan tidak dapat menampung limpahan air. Seorang penduduk, Mohamad Daud, 54, berkata kawasan kampung itu dilanda banjir kilat beberapa kali setahun menyebabkan mereka hampir sudah berputus asa kerana masalah itu seolah-olah tidak mempunyai jalan penyelesaiannya.
Katanya, parit di kampung itu yang bersambung ke parit besar laluan utama, tidak cukup besar sehingga menyebabkannya air melimpah ke kawasan rumah penduduk setiap kali hujan lebat. "Kejadian banjir kilat itu membabitkan kira-kira 15 rumah menyebabkan kami sentiasa dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat kerana ia akan menyebabkan air melimpah ke kawasan rumah dan berlaku banjir kilat," katanya. Seorang lagi penduduk, Ayub Rahman, 41, yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, setiap kali hujan lebat, beliau yang dibantu dengan keluarganya akan segera memindahkan peralatan rumah ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan harta benda.
"Bayangkan hanya disebabkan hujan lebat selama sejam saja, kawasan rumah penduduk akan dinaiki air sehingga kami terpaksa memindahkan pelbagai peralatan rumah ke tempat lebih tinggi," katanya. Katanya, keadaan parit yang sempit dan cetek juga diburukkan lagi apabila terpaksa menampung limpahan air daripada kawasan kebun penduduk yang turut dialirkan melalui parit yang sama. Sementara itu, Sahak Jaafar, 53, meminta pihak berkuasa supaya segera mengatasi masalah banjir kilat di kawasan berkenaan.

Tiada ulasan: