UM
MUAR 19 April - Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Muar yang terletak di Kilometer 1.6, Jalan Bakri di sini dipecah masuk dipercayai berlaku antara malam tadi hingga awal pagi semalam.
Kejadian tersebut disedari kakitangan jabatan terbabit apabila terdapat kesan pecah pada dinding kaca pejabat itu sewaktu mereka hendak memulakan tugas pukul 8 pagi semalam.
Turut rosak adalah pintu gril besi di bahagian belakang bangunan JPN itu apabila ia dikopak ke atas.
Berikutan kejadian tersebut, JPN Muar menghentikan operasinya sejak pukul 8 pagi ini bagi memeriksa sebarang kehilangan dokumen penting di pejabat itu.
Mingguan Malaysia difahamkan, keadaan kaunter pejabat JPN itu yang terletak di hujung deretan kedai di Jalan Bakri, berselerak sebaik sahaja kakitangan ingin memulakan tugas mereka.
Seorang jurucakap JPN Muar berkata, pihaknya menghentikan operasi perkhidmatan kaunter selama lebih tiga jam semalam bagi membolehkan pihak polis membuat pemeriksaan lanjut di pejabat itu.
"Operasi di jabatan ini bagaimanapun diteruskan seperti biasa mulai pukul 11.30 pagi sebaik sahaja selesai siasatan polis dan keadaan berselerak itu dikemaskan.
"Tiada sebarang dokumen penting didapati hilang dalam kejadian ini," katanya yang enggan dikenali.
Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia di kawasan tersebut mendapati, lokasi JPN yang terletak di hujung deretan kedai itu memudahkan kegiatan jenayah itu berlaku.
Ini memandangkan, terdapat kawasan semak di belakang bangunan tersebut dan ia tidak diterangi lampu pada waktu malam serta tiada ditempatkan pengawal keselamatan.
Sebelum ini, JPN Muar beroperasi di Bangunan Sultan Abu Bakar di Jalan Petrie di sini dan hanya berpindah ke bangunan tersebut mulai November lalu.
Pelbagai urusan JPN disediakan termasuk kaunter pendaftaran kad pengenalan baru, pendaftaran kelahiran dan kematian serta pernikahan rakyat asing.
Ahad, 20 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan