Rabu, 16 April 2008

(MUAR) Selatan: Hutan bakau aset bernilai

BH

14/4/08
Oleh Jamaludin Husin
HABITAT: MONYET liar yang terdapat di hutan bakau Tanjung Ketapang, Muar, menjadi tarikan pengunjung.
Pemuliharaan kawasan mampu mewujudkan persekitaran menarik dan boleh dijadikan daya tarikan pengunjung MUAR: Langkah kerajaan negeri mewartakan hutan paya bakau di negeri ini sebagai kawasan larangan perlu diberi perhatian bagi mengelak kawasan itu diceroboh. Tindakan itu penting bagi memastikan kawasan yang keluasannya dianggarkan tidak melebihi 30,000 hektar yang masih tinggal di seluruh negeri dipelihara sepenuhnya.
Ini kerana hutan paya bakau adalah aset tidak ternilai harganya kerana berkait rapat dengan kehidupan manusia apabila pokok bakau mewujudkan ekosistem yang unik terutama dari segi flora dan faunanya. Berdasarkan kajian, daripada kira-kira 106,100 hektar kawasan hutan bakau yang terdapat di Semenanjung hanya 18 peratus yang dapat mengekalkan keasliannya, manakala sebahagian lagi sudah diteroka. Kawasan itu dimajukan dengan projek pembangunan kerana kedudukannya yang berdekatan pantai strategik ataupun pokok ditebang untuk dijadikan bahan binaan.
DAYA TARIKAN: SEBAHAGIAN pelancong dari Australia sedang menikmati keindahan pemandangan hutan bakau
Di daerah ini, misalnya, banyak kawasan hutan bakau turut diterokai, termasuk di tebing Sungai Muar dekat Tanjung Agas yang dibangunkan dengan pembinaan kompleks perniagaan serta kilang perindustrian dengan alasan untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk. Beberapa kawasan hutan bakau di Pantai Muar bertentangan Selat Melaka turut diteroka terutama berdekatan dengan pangkalan nelayan seperti di Seri Menanti dan Parit Karang Laut. Keadaan ini bukan saja memusnahkan hutan bakau, melenyapkan keindahan flora dan fauna, malah menimbulkan masalah kepada haiwan yang menjadikan hutan bakau sebagai habitatnya seperti monyet dan unggas. Seorang penduduk Seri Menanti, Jumain Ahmad, mendakwa hutan bakau yang ditebang kerana pembinaan jeti di pangkalan nelayan di situ, menyebabkan monyet liar berkeliaran di kawasan kebun dan memusnahkan tanaman penduduk
Beliau berkata, sebelum ini tidak terdapat seekor monyet pun di dalam kebun penduduk di kampungnya kerana haiwan itu mencari makanan di tepi pantai yang dipenuhi pokok bakau. "Bagaimanapun, sejak dua tahun kebelakangan ini, ribuan monyet liar berkeliaran dalam kebun kelapa sawit dan memusnahkan hasil tanaman penduduk, termasuk pisang, nanas, ubi dan keladi. "Haiwan itu bertindak sedemikian berikutan sebahagian hutan, termasuk pokok kayu bakau sudah ditebang bagi tujuan pembangunan," katanya. Seorang pemaju projek, Norizan Mahat, berkata langkah meneroka hutan bakau bagi tujuan pembangunan boleh menjejaskan struktur pantai kerana mendedahkannya kepada arus ombak dan air pasang surut. Sehubungan itu, katanya, pemuliharaan hutan bakau amat penting kerana hutan itu bukan saja dapat melindungi daripada hakisan. "Langkah memulihara hutan bakau juga mampu mewujudkan persekitaran menarik dan boleh dijadikan daya tarikan pengunjung berikutan keunikan pokoknya yang boleh hidup di air masin dan tidak mati di daratan. "Sebagai contoh, akar kayu bakau di sebatang pokok berkenaan di kawasan rekreasi Parit Karang Laut menjadi tempat kanak-kanak bermain kerana keadaannya yang unik dan menyerupai seperti sebuah peralatan permainan," katanya. Norizan berkata, langkah pihak berkuasa tempatan (PBT) memulihara hutan paya bakau di Pantai Tanjung Ketapang menjadikan kawasan itu sebagai daya tarikan pengunjung, termasuk pelancong asing. Beliau berkata, terbaru seramai 40 pelancong dari Australia melawat kawasan hutan bakau di Tanjung Ketapang. "Di samping menyaksikan keaslian flora dan fauna yang masih kekal di hutan berkenaan, mereka juga berpeluang melihat ribuan monyet liar yang banyak terdapat di dalam hutan paya bakau di situ," katanya. Seorang pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai John, berkata di kebanyakan negara Asia Tenggara dan Pasifik, hutan paya bakau dikomersialkan sama ada bagi tujuan pembinaan, kayu api dan arang. Bagaimanapun, beliau kagum dengan usaha Malaysia mengawal penerokaan hutan bakau sekali gus mengekalkannya sebagai kawasan pembiakan haiwan dan hidupan laut. Sehubungan itu, beliau menyarankan usaha kawalan itu diteruskan. John dan isterinya sependapat, keindahan semula jadi di Pantai Muar mewujudkan suasana segar dan nyaman.

Tiada ulasan: