http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_06.htm
JOHOR BAHRU 9 April - Penduduk Taman Daya di sini berang dengan kewujudan sebuah tempat pembuangan sampah haram di kawasan perumahan itu yang mencemarkan persekitaran tempat tinggal mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu hari ini mendapati sampah sarap berselerak dan bertimbun hingga mengeluarkan bau busuk di Jalan Enau 20 berhampiran Sekolah Kebangsaan Taman Daya 3 di sini.
Rata-rata penduduk yang ditemui berkata, mereka hairan bagaimana keadaan itu terbiar tanpa tindakan diambil oleh pihak berkaitan.
Lebih-lebih lagi, kata mereka, lokasi tersebut tidak mempunyai langsung papan tanda yang menunjukkan kawasan tersebut merupakan tempat pembuangan sampah.
Bagaimanapun beberapa penduduk berkata, masalah di kawasan itu berlaku kerana tiada tong sampah yang besar disediakan oleh pihak yang berkenaan.
Menurut seorang penduduk, Romi Irwan Hamidon, 26, dia berpendapat masalah tersebut tidak akan berlaku jika kemudahan para penduduk diberi keutamaan.
"Masalahnya sampah yang diletakkan di depan rumah pun mengambil masa lebih seminggu baru diangkut.
"Mahu tidak mahu, saya terpaksa buang sampah di lokasi berkenaan meskipun was-was sama ada boleh atau tidak membuang sampah di situ," katanya.
Sementara itu, menurut seorang lagi penduduk, Siti Fatimah Zainal Abidin, 30, masalah longgokan sampah itu menimbulkan kebimbangan kepada dirinya berikutan kehadiran anjing-anjing liar di kawasan tersebut.
"Pernah tidak lama dahulu anak saya sendiri mengadu dikejar oleh anjing liar semasa berjalan kaki ke sekolah," katanya.
Jelasnya, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah tersebut dalam menjamin keselesaan semua pihak.
Khamis, 10 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan