UM
JOHOR BAHRU 21 April - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang membantah penutupan Kilang Sawit Sening di Kota Tinggi berikutan impak besar yang bakal dialami masyarakat setempat di Gugusan Felda Adela.
Cadangan pihak Felda Palm Industries Sdn. Bhd. untuk menutup kilang tersebut pada 1 Mei ini akan menyebabkan seramai kira-kira 200 penduduk Felda yang bekerja di kilang tersebut hilang pekerjaan.
Penutupan kilang itu juga akan mengakibatkan kawasan Felda Sening kehilangan nadi pembangunannya dan berkemungkinan menyebabkan kos pengangkutan untuk pemprosesan buah sawit meningkat.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Abdul Razak Budu berkata, golongan yang menerima impak paling besar akibat penutupan kilang tersebut adalah generasi kedua dan ketiga Gugusan Felda Adela.
"Sekiranya mereka mahu menutup juga kilang ini, generasi kedua dan generasi ketiga Felda tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa berhijrah keluar mencari pekerjaan.
"Pentadbiran Felda sewajarnya peka terhadap perkara ini kerana penutupan kilang itu akan memberi impak besar terhadap masyarakat gugusan Felda Adela," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mingguan Malaysia pada 6 April lalu melaporkan lebih 50 penduduk Gugusan Felda Adela mengadakan demonstrasi bagi membantah penutupan kilang tersebut.
Abdul Razak berkata, dia bimbang penutupan kilang tersebut hanya akan menyebabkan kos pengangkutan untuk membawa buah sawit meningkat lebih mahal memandangkan ia terpaksa dihantar ke kilang pemprosesan yang terletak lebih jauh dari kawasan Felda itu.
"Pihak Felda sepatutnya melihat impak yang berlaku dengan penutupan kilang sawit Felda Air Tawar 2 yang menyebabkan kilang-kilang sawit berhampiran dengannya tidak mampu menampung buah sawit yang berlebihan," katanya.
Justeru, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Mohd. Amin Hamidon berharap masalah tersebut akan mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pembangunan Felda.
"Pemuda UMNO Bahagian Pengerang membantah penutupan kilang ini kerana pelbagai masalah akan timbul dan kami berharap perkara ia dapat diselesaikan segera," katanya.
Katanya, masalah itu telah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri Pelancongan.
Selasa, 22 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan