http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/EdisiWilayah/20080410073152/Article/index_html
9/4/2008
SEGAMAT: Mendekatkan diri dengan kanak-kanak kurang bernasib baik seperti anak yatim adalah satu usaha murni kerana mereka adalah golongan yang memerlukan belaian kasih dan sayang keluarga serta masyarakat sekeliling. Betapa gembiranya mereka yang masih kecil ini jika didatangi masyarakat yang prihatin terhadap nasib mereka yang sudah ketiadaan ayah atau ibu serta ditinggalkan keluarga dan hanya ditemani rakan satu asrama.
Keprihatinan masyarakat itu menyebabkan anak yatim ini menyedari bahawa masih ada masyarakat yang sayang serta mahu mengambil berat mengenai diri supaya hidup mereka gembira seperti kanak-kanak lain. Baru-baru ini, 26 mahasiswa daripada Persatuan Mahasiswa Anak-anak Johor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi berkampung selama tiga hari di asrama anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam (Pekayis) Segamat. Ketua Pengarah program berkenaan, Norazlina Arbaain, 21, berkata sebelum ini, persatuan mencari lokasi dan sebulat suara memutuskan untuk melaksanakan program Ukhuwah Kasih di Pekayis.
Beliau berkata, untuk menyelami perasaan sebenar anak yatim, Persatuan Anak-anak Johor UKM mengambil pendekatan untuk bermalam di asrama anak yatim Pekayis. "Bermalam bersama anak yatim menimbulkan rasa keinsafan pada diri kami betapa anak yatim juga perlukan kasih sayang bukan saja daripada keluarga terdekat masing-masing tetapi juga daripada masyarakat sekeliling. "Selama tiga hari berkampung di asrama anak yatim, banyak pengalaman baru yang saya dan rakan peroleh. Anak yatim ini terpaksa belajar hidup berdikari,” katanya. Mohamad Zulkifli Monel, 21, dari Bekok pula berkata, pelbagai aktiviti dilakukan Persatuan Anak-anak Johor UKM pada program berkenaan antaranya mengadakan ceramah kerohanian dan tazkirah kepada anak yatim.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga mengadakan aktiviti gaya hidup sihat iaitu senaman J-Robik yang dibuat pada pagi hari kedua program berkenaan. "Semua anak yatim dari kanak-kanak hingga ke usia belasan tahun ternyata gembira dengan aktiviti yang dijalankan," katanya. Nurul Zainap Ramli, 23, dari Pasir Gudang, pula berkata, program Ukhuwah Kasih juga mengadakan aktiviti ramah mesra supaya peserta program dapat mendekatkan lagi diri dengan anak yatim terbabit. Melalui aktiviti itu, katanya, mahasiswa dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menyertai pelbagai aktiviti sukaneka yang turut disertai anak yatim, termasuk mereka yang masih kecil serendah usia tujuh tahun. Abdul Muhaini Abdul Rahim, 21, dari Mersing pula berkata, sepanjang tiga hari berkampung di asrama itu, mereka juga tidak lupa untuk mengadakan upacara menyambut hari jadi. "Kami menyambut hari jadi beberapa anak yatim yang hari lahirnya jatuh pada hari berkenaan. “Jelas sekali, mereka begitu gembira dan ceria sepanjang majlis diadakan. Mungkin selama ini, hari lahir mereka jarang atau tidak pernah diraikan," katanya. Sememangnya dapat diperhatikan pada wajah anak yatim ini tergambar satu harapan supaya ramai lagi masyarakat penyayang dan prihatin lain tampil menceriakan kehidupan mereka. Program berkenaan ditutup secara rasmi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Ayub Rahmat dan dihadiri bersama Penasihat Persatuan Mahasiswa Anak-Anak Johor UKM, Mohamad Jamal Ali.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan