Selasa, 22 April 2008

(PONTIAN) KRT diminta bantu kurangkan kes jenayah

UM

PONTIAN 21 April - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) diminta membantu pihak berkuasa bagi mengurangkan kes-kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak dan murid-murid sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong berkata, selain menganjurkan aktiviti yang dapat merapatkan hubungan antara kaum, peranan KRT ketika ini perlu menjurus kepada soal keselamatan.
Menurutnya, beberapa kejadian yang melibatkan kes penculikan kanak-kanak serta jenayah lain dikatakan berpunca daripada kurangnya interaksi di kalangan penduduk setempat.
Justeru, penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di KRT adalah langkah terbaik bagi meningkatkan kerjasama di kalangan penduduk bagi memastikan keselamatan bersama.
"Peranan dan fungsi KRT yang pelbagai perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penduduk sama ada di taman-taman perumahan, pekan-pekan kecil, kampung dan sebagainya.
"Bagaimanapun, perlu ada kesedaran kerana soal keselamatan bukan sahaja terletak pada bahu agensi penguatkuasa tetapi juga masyarakat sekeliling," katanya ketika merasmikan Sukaneka Kanak-Kanak Tabika Perpaduan Daerah Pontian di Stadium Mini Pontian di sini semalam.
Program anjuran Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan Taman Saujana serta Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pontian (PPNIP) itu turut dihadiri pegawainya, Helmy Mohd. Yahya dan Pengerusi Penyelaras Tabika Perpaduan Taman Saujana, Hasmadi Mohd. Sayuti.
Sebanyak sembilan tabika di daerah ini mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diadakan seperti itik bertelur, kereta api dadu, menjunjung air berhalangan, boling padang, bom air dan tarik tali.
Siew Kiong berharap, setiap KRT di daerah Pontian akan mempunyai lebih banyak pasukan SRS kerana ia ternyata berkesan bagi mengurangkan kes-kes jenayah.
"KRT juga diharap dapat memantau kehadiran pekerja asing yang tinggal di kawasan mereka bagi memastikan kehadiran mereka tidak mendatangkan masalah kepada penduduk setempat," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap, hubungan antara kaum di KRT dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa menerusi aktiviti yang melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat.
Selain kegiatan sukan, kata Siew Kiong, aktiviti lain yang boleh dilakukan seperti gotong-royong, program sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Kebangsaan dan sebagainya.

Tiada ulasan: