Rabu, 16 April 2008

(SEGAMAT) Selatan: 'Pengundi muda tak pilih BN'

BH

15/4/08

Selatan: 'Pengundi muda tak pilih BN'

SEGAMAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Ayub Rahmat mengakui antara kekurangan sokongan pengundi muda adalah antara faktor kemerosotan kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12. Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Sekijang, berkata ini berikutan pengundi muda terpengaruh dengan pelbagai dakyah negatif yang memburukkan kerajaan BN. Katanya, pengundi muda dipengaruhi pelbagai isu yang mungkin diperoleh daripada orang berpengaruh di persekitaran tempat tinggal mereka atau laman web.
"Mereka mengambil semua maklumat tidak sahih ini sebagai pegangan untuk memilih kerajaan tanpa mendapatkan pandangan orang lain. "Lebih memburukkan keadaan, mereka turut mempengaruhi ibu bapa dan keluarga supaya tidak mengundi Barisan Nasional (BN) sebaliknya mengundi pembangkang," katanya. Ayub berkata demikian pada majlis Ukhuwah Kasih anjuran Persatuan Mahasiswa Anak-anak Johor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam (Pekayis) Segamat, di sini, baru-baru ini.
Beliau turut menasihatkan mahasiswa supaya tahu tanggungjawab mereka dalam menentukan hala tuju dan kepemimpinan demi untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara. Katanya, selaku mahasiswa, mereka perlu ada pendirian yang tepat untuk memilih siapa yang benar-benar layak menjadi kerajaan selain mampu menilai parti mana yang sebenarnya selama ini banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara.

Tiada ulasan: