http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/EdisiWilayah/20080409084304/Article/index_html
9/4/2008
Oleh Paiman Selamat
Penduduk Kampung Seberang Batu Badak puas hati langkah Pejabat Daerah Segamat SEGAMAT: Kira-kira 60 penduduk Kampung Seberang Batu Badak, di sini bersyukur apabila jambatan di kampung itu yang sebahagiannya runtuh akibat banjir besar pada akhir 2006 lalu dibaiki, baru-baru ini. Kerja pembaikan jambatan yang dijalankan Pejabat Daerah Segamat itu membolehkan penduduk kampung kini dapat tidur 'nyenyak' selepas lebih setahun hidup dalam kebimbangan kerana menggunakan jambatan sementara yang dibaiki mereka sendiri.
Kejadian banjir besar akhir 2006 menyebabkan sebahagian jambatan kampung itu runtuh dan dibaiki sementara secara bergotong-royong oleh penduduk kampung dengan menggunakan kayu beluti untuk membolehkan kenderaan melalui jambatan berkenaan. Jambatan itu penting kepada penduduk yang ingin keluar masuk kampung untuk pelbagai urusan terutama menghantar dan mengambil anak-anak pergi dan balik sekolah. Seorang penduduk kampung, Zakaria Hamzah, 50, berkata sejak pembaikan jambatan oleh pejabat daerah itu siap, baru-baru ini, kebimbangan penduduk yang sering menggunakan jambatan itu sudah tidak ada lagi.
Beliau berkata, dengan usaha pihak berwajib berkenaan, penduduk kampung kini dapat menggunakan jambatan itu dengan tenang, selamat dan yakin kerana ia dibina lebih kukuh dan terjamin. Katanya, sebelum kejadian banjir besar itu, kampungnya memang sering ditimpa masalah itu hingga ada ketikanya terpaksa dua ke tiga kali setahun berpindah ke pusat pemindahan. "Bagaimanapun, banjir akhir 2006 dianggap paling besar kerana ia bukan saja menyebabkan sebahagian jambatan runtuh, malah beberapa rumah rosak teruk kerana dilanda banjir dan arus deras. "Bagaimanapun, saya bersyukur rumah yang kami diami sekeluarga tidak dihanyutkan banjir besar itu," katanya.
Seorang penduduk Kampung Batu Badak, berhampiran Kampung Seberang Batu Badak, Hassan Hussin 41, berkata, usaha pihak bertanggungjawab membina semula bahagian jambatan yang runtuh menggembirakan penduduk kampung. Beliau berkata, permukaan jambatan yang baru dibaiki itu menggunakan batu putih dan ia lebih kukuh berbanding jambatan sementara yang dibina menggunakan kayu beluti sebagai lantai. "Jambatan sementara yang dibina dulu besar risikonya kerana kurang kukuh dan boleh rosak pada bila-bila masa saja, terutama jika digunakan kenderaan berat,” katanya. Sementara itu, seorang pesara guru, Ghazali Yahaya, 60, berkata sebelum ini, penduduk sering bimbang dengan keselamatan ketika menggunakan jambatan sementara kerana tidak kukuh. "Walaupun kebanyakan pengguna tahu jambatan yang dibina sementara dulu tidak kukuh, masih ada pemandu kenderaan berat yang tidak mengendahkannya dan terus menggunakan jambatan itu untuk mengangkut barang berat," katanya. Ghazali berkata, beliau dan penduduk kampung kini bersyukur apabila jambatan itu dibaiki sewajarnya. Bagaimanapun, beliau berharap pihak berwajib sentiasa membersihkan puntung kayu hanyut dan sampah sarap yang tersangkut di bahagian bawah jambatan. "Jika ia lambat dibersihkan, dikhuatiri banjir yang mungkin berlaku pada masa depan boleh mengakibatkan sebahagian jambatan itu rosak semula kerana laluan air sungai berkenaan tersekat," katanya
Khamis, 10 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan