http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/EdisiWilayah/20080409084027/Article/index_html
9/4/2008
Oleh Srihanasham Noordin
PENGERANG: Tindakan syarikat Felda Palm Industries Sdn Bhd (Felda Palm) menutup operasi Kilang Sawit Sening di Gugusan Felda Adela, dekat sini, menjejaskan pendapatan penduduk, sekali gus memberi kesan terhadap keanggotaan Umno Parlimen Pengerang. Naib Ketua Pemuda Umno bahagian Pengerang, Mohd Amin Hamidon, berkata penutupan kilang itu akan menyebabkan Umno cawangan Kilang Sawit Sening yang mempunyai kira-kira 200 ahli akan terpaksa dibubarkan. Katanya, Parlimen Pengerang mempunyai 33 cawangan termasuk di Kilang Sawit Sening membabitkan kira-kira 33,000 pengundi termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat dan Penawar.
"Masalah ini sudah dikemukakan kepada Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan kami berharap perkara ini diajukan terus kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana ini membabitkan anak syarikat Felda," katanya ketika ditemui di Perumahan Staf Kilang Sawit Sening, di sini, semalam. Semalam, kira-kira 50 penduduk Gugusan Felda Adela termasuk Felda Adela, Sening, Kledang dan Tunggal mengadakan demonstrasi aman membantah keputusan Felda Palm yang menutup kilang berkenaan. Mohd Amin berkata, terdapat dua kilang memproses sawit di gugusan itu iaitu Kilang Sawit Sening dan Adela dengan jarak antara kedua-duanya hampir 20 kilometer dan selepas penutupan kilang berkenaan, semua operasi akan berpindah ke Kilang Sawit Adela.
Katanya, kilang itu sudah beroperasi 29 tahun dan menjadi antara pusat kegiatan belia di tanah rancangan itu kerana hampir semua kakitangan kilang berkenaan adalah penduduk tempatan. Penduduk Felda Tunggal, Shahrin Miswan, 28, berkata kos memproses sawit akan meningkat apabila Kilang Sawit Sening ditutup kerana semua hasil sawit di lima ladang termasuk dari Sening, Tunggal, Kledang dan beberapa pekebun kecil terpaksa dihantar ke Kilang Sawit Adela. Katanya, Kilang Sawit Adela tidak akan mampu untuk menampung proses hasil semua ladang di situ dalam tempoh enam tahun akan datang kerana pokok sawit yang sudah habis ditebang akan ditanam semula. "Saya berharap pengurusan kilang itu mengambil iktibar daripada kesan penutupan kilang sawit di Felda Air Tawar 2 yang menyebabkan kesukaran kepada pemborong sawit akibat pertambahan kos apabila terpaksa menghantar hasil ke kilang swasta di Felda Semenchu," katanya.
Penduduk Felda Kledang, Mohd Tarmizi Abdullah, 33, berkata semua kakitangan sudah dimaklumkan bahawa mereka akan ditukarkan ke cawangan kilang lain di seluruh negara termasuk di Shah Alam dan Pahang. Katanya, kebanyakan pekerja kilang sudah berkeluarga dan berdepan dengan keadaan terpaksa berhenti kerja apabila mereka enggan menerima tawaran syarikat untuk bekerja di cawangan lain. "Setahu kami, kilang itu tidak pernah merugikan, tetapi, mungkin syarikat mahu melipatgandakan keuntungan tanpa memikirkan akibat terpaksa diterima pekerja yang kebanyakan anak Felda di sini," katanya.
Khamis, 10 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan