Khamis, 10 April 2008

RM30j naik taraf DUN Rengit

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/EdisiWilayah/20080409084125/Article/index_html

9/4/2008

Oleh Mustapha Ismail
Pembinaan klinik kesihatan baru bolehkan penduduk terima khidmat perubatan lebih baik BATU PAHAT: Kira-kira RM30 juta disediakan kerajaan bagi melaksana beberapa projek pembangunan menaik taraf jalan dan membina klinik kesihatan baru dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Ayub Jamil, berkata peruntukan itu selaras hasrat kerajaan untuk memberi keselesaan serta membolehkan pelbagai lapisan rakyat dalam DUN terbabit, menikmati pelbagai perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan pada tahap terbaik.
Katanya, pihaknya juga akan melaksana beberapa projek pembangunan lain seperti membina surau baru dan meningkatkan kemudahan infrastruktur. "Sebuah klinik kesihatan baru dianggar bernilai RM18 juta akan dibina di pekan Rengit, sekali gus membolehkan orang ramai di kawasan sekitar menikmati perkhidmatan perubatan dan kesihatan lebih baik. "Selain itu, kerajaan juga menyediakan peruntukan lebih RM10 juta bagi melaksana kerja menaik taraf Jalan Parit Botak serta beberapa batang jalan kampung dan jalan ladang dalam DUN ini," katanya.
Selain itu, Ayub berkata, 25 surau lama dalam DUN berkenaan yang didapati sudah tidak sesuai dan kurang selamat, akan diganti dengan bangunan baru yang dijangka membabitkan kos pembinaan kira-kira RM3 juta. Beliau berkata, pihaknya juga merancang untuk merubah wajah pekan Rengit yang kini agak suram dengan membina beberapa bangunan baru, bagi menjadikannya lebih ceria dan mampu menarik pengunjung luar. Katanya, usaha berkenaan akan dilakukan dengan mendapatkan kerjasama daripada pemilik bangunan lama yang banyak terdapat di sekitar pekan itu, supaya menggantikannya dengan bangunan baru. Ayub berkata, masalah itu dapat dilaksana dan diatasi dengan mengadakan perbincangan bersama pemilik bangunan terbabit dan berharap mereka bersetuju untuk menjayakan rancangan itu.
"Usaha ini, adalah untuk mewujudkan suasana lebih ceria dan selesa di pekan berkenaan, sekali gus menjadikannya lokasi menarik untuk dikunjungi. "Pada masa sama, kita juga sedang berusaha dengan kerajaan negeri untuk mewartakan satu kawasan di pinggir di pekan ini, untuk dijadikan pusat perusahaan kecil dan sederhana DUN Rengit," katanya. Ayub berkata, pihaknya juga tidak melupakan beberapa aspek pembangunan lain yang dirasakan penting serta perlu diberi perhatian, terutama membabitkan pembangunan modal insan di kalangan penduduk DUN berkenaan. "Soal pendidikan di kalangan generasi muda turut menjadi perhatian dan pihak kami akan memastikan murid serta pelajar dalam DUN Rengit, mendapat kemudahan terbaik. "Semua dirancangkan itu bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di DUN Rengit, selain bermatlamat memupuk nilai murni di kalangan masyarakat berbilang kaum," katanya.

Tiada ulasan: