Khamis, 10 April 2008

Umno batu Pahat adakan EGM 26 April

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/EdisiWilayah/20080409083817/Article/index_html

9/4/2008

BATU PAHAT: Umno Bahagian Batu Pahat akan mengadakan mesyuarat khas perwakilan (EGM) pada 26 April ini, bagi memberi peluang kepada pemimpin pelbagai peringkat serta akar umbi meluahkan pandangan mengenai hala tuju parti. Keputusan itu dibuat selepas 23 ahli jawatankuasanya yang hadir pada mesyuarat khas Umno bahagian itu, petang semalam, sebulat suara bersetuju untuk mengadakan EGM berkenaan. Ketuanya, Dr Mohd Puad Zakarshi, berkata keputusan mengadakan EGM itu diambil selepas memperoleh persetujuan daripada dua pertiga ahli jawatankuasa Umno bahagian, selaras Perkara 14.6.1 peraturan parti.
"Seramai 23 daripada 32 ahli jawatankuasa Umno bahagian yang hadir pada mesyuarat khas petang semalam, mengambil keputusan dan bersetuju supaya Umno bahagian mengadakan EGM berkenaan. "Malah, mereka yang tidak dapat hadir pada mesyuarat itu, turut menyatakan pendirian dan akan mengemukakan surat persetujuan masing-masing kepada Umno bahagian, mengenai keputusan berkenaan," katanya. Dr Mohd Puad berkata, EGM bakal diadakan itu juga menjadi pentas mencari kesepakatan mengenai langkah perlu diambil, bagi mengukuhkan parti dan sekali gus menjadikan Umno terus relevan.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut memberi peluang kepada pemimpin dan ahli Umno di peringkat bahagian mengemukakan perancangan strategik, untuk disampaikan kepada pucuk pimpinan parti. Katanya, tindakan yang bertujuan untuk menyelamatkan Umno itu, juga mahu pucuk pimpinan mendengar pandangan pemimpin peringkat bawahan, selain mendesak mereka mengambil langkah drastik untuk melakukan perubahan dalam parti. "Semua langkah dan desakan ini, bertujuan untuk mengelak ahli Umno terus keliru dan bosan berikutan kegagalan pucuk pimpinan parti melaksana langkah bagi menyelesaikan cabaran politik era baru. "Selain itu, ahli Umno kini semakin resah kerana tidak ada petunjuk jelas berkaitan hala tuju parti, terutama selepas memperolehi keputusan kurang memberangsangkan pada pilihan raya umum lalu," katanya.

Tiada ulasan: