UM 5/5/08
BATU PAHAT 4 Mei - Pelbagai usaha sedang giat dilaksanakan bagi membangunkan Senggarang menerusi rangka Pembangunan Ekonomi Siri 1 yang membabitkan pelbagai sektor di kawasan berkenaan.
ADUN Senggarang, Ja'afar Hashim berkata, program pembangunan itu adalah usaha untuk memantapkan lagi ekonomi penduduk kawasan itu dengan tumpuan kepada mereka yang tidak berkemampuan.
Buat masa ini, enam syarikat swasta menyatakan minat untuk melabur dan membantu warga Senggarang meningkatkan taraf hidup ekonomi mereka melalui pelbagai projek yang dirancang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini, Ja'afar berkata, antara syarikat berkenaan adalah MAIS Food yang akan memperkenalkan penanaman cili secara fertigasi dan ikan keli salai.
"Sebuah lagi syarikat iaitu ANH Venture yang akan memperkenalkan Skim Rumah Mesra Mudah (SRMM) bagi golongan yang tidak berkemampuan untuk membina rumah sendiri tetapi mempunyai tanah," kata Ja'afar.
Menurut beliau, skim itu akan dilaksanakan mengikut kemampuan pemohon dan reka bentuk rumah juga berdasarkan kehendak mereka.
Bagaimanapun, setakat ini reka bentuk yang diperkenalkan ialah rumah setingkat yang mempunyai tiga bilik dan sebuah bilik air.
Ja'afar berkata, pembinaan rumah itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak ANH Venture dan apabila rumah siap dan mula diduduki barulah ansuran bulanannya mula dibayar oleh pemilik.
"Bank Simpanan Nasional (BSN) pula telah bersetuju untuk bekerjasama dengan memperkenalkan projek amal jariah itu bagi membantu mereka yang tidak mampu membaiki rumah," kata beliau.
Katanya, projek itu akan memperuntukkan RM5,000 bagi membaiki rumah yang rosak dan RM10,000 bagi membaiki rumah daif.
Menurutnya, projek itu merupakan bonus kepada kawasan Senggarang setelah BN merampas semula kerusi itu daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.
"Saya yakin mampu membangunkan ekonomi penduduk dengan usaha-usaha yang sedang dilakukan kerana penduduk Senggarang memang dahagakan pembangunan ekonomi yang lebih mantap di sini," ujarnya.
Isnin, 5 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan