UM 3/5/08
JOHOR BAHRU 2 Mei - Seramai 500 penghuni setinggan dari 13 kampung sekitar Kempas dekat sini meminta kerajaan negeri membela nasib mereka dengan memberikan pampasan berupa tanah, wang tunai atau penempatan yang lebih baik apabila mereka berpindah dari kediaman sedia ada.
Tuntutan itu dibuat dalam satu perhimpunan yang diadakan di pekarangan salah sebuah rumah penduduk terbabit di sini semalam.
Perhimpunan anjuran Jawatankuasa Bertindak Setinggan Kempas itu diadakan berikutan penduduk enggan berpindah ke flat yang disediakan kerajaan di Projek Perumahan Rakyat Denai di situ pada Jun depan.
Pengerusinya, Ramli Ibrahim, 52, berkata, semua penduduk setinggan diminta menurunkan tandatangan meminta kerajaan memenuhi tuntutan mereka.
"Kerajaan suruh kami pindah ke flat 17 tingkat di Jalan Denai tetapi perumahan tersebut banyak masalah dan sedikit sebanyak akan mengganggu kehidupan seharian kami.
"Antaranya tiada lif, tong sampah, tempat letak kereta terhad, keselamatan, jalan raya yang baik, saluran sampah, tapak permainan kanak-kanak, sijil layak menduduki (CF) dan pihak penyelenggaraan,'' katanya.
Selain itu, tambah Ramli, penduduk di sini juga inginkan kepastian sama ada perpindahan tersebut hanya sementara atau sewa beli.
Katanya, pada bulan depan, satu memorandum akan dihantar kepada Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mengenai permohonan itu.
Katanya, semua penduduk di situ hanya akan bersetuju berpindah sekiranya kerajaan memenuhi segala permintaan mereka.
"Kami hanya mahu kerajaan prihatin dengan nasib kami yang sebahagiannya telah tinggal di sini sejak lebih 15 tahun lalu,'' katanya.
Ahad, 4 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan