BERNAMA
05-05-2008 05:21:26 PM
KUALA LUMPUR: Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu yang mengandungi pelbagai tuntutan bagi mempertahankan kedudukan Melayu tidak harus dipandang remeh oleh kepimpinan Umno atau kerajaan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya ini adalah kerana resolusi yang dicapai merupakan hasil perbincangan yang timbul kerana orang Melayu di negara ini mempunyai persepsi bahawa pembelaan terhadap hakhak dan kepentingan mereka semakin lemah dan terhakis.
Muhyiddin yang juga Naib Presiden Umno berkata parti itu dan juga kerajaan harus memandang berat akan isuisu yang dibangkitkan kerana ia terhasil daripada perbincangan yang dihadiri oleh ramai tokoh yang memperjuangkan masa depan orang Melayu di negara ini.
"Ini merupakan melahirkan kebimbangan yang datang dari suara hati pemimpin-pemimpin Melayu serta badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili orang Melayu di negara ini.
"Sebenarnya apa yang diperjuangkan oleh mereka seharusnya juga apa yang diperjuangkan oleh Umno, cuma kepimpinan Umno pada hari ini dilihat seperti tidak lagi memberi perhatian," katanya selepas melawat persiapan akhir di tapak Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2008 (MIHAS 2008) di sebelah bangunan Matrade di sini, hari ini.
Beliau menyuarakan harapannya agar kepimpinan Umno dapat menerima usul kongres itu dengan hati yang terbuka dan ia tidak menimbulkan kesangsian kaum bukan Melayu.
Katanya orang bukan Melayu di negara ini tidak harus rasa tergugat oleh resolusi berkenaan kerana kongres itu tiada membuat tuntuntan terhadap hak bangsa lain seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Resolusi itu mengandungi tuntutan yang merangkumi aspek perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, Bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya termasuk menubuhkan "Majlis Muafakat Melayu Malaysia".
Resolusi itu telah diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar oleh ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein bersamasama dengan empat anggota kongres lain di Istana Bukit Serene di Johor, semalam.
Kongres tiga hari yang berakhir semalam dan bertemakan "Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa" itu dihadiri 2,100 peserta dan 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu. BERNAMA
Isnin, 5 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan