BH 5/5/08
Oleh Srihanasham Noordin
JOHOR BAHRU: Penduduk penempatan setinggan sekitar Kempas, perlu berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas yang sudah siap dibina khusus untuk mereka bagi menikmati kemudahan perumahan yang lebih selesa dan teratur seperti dinikmati penduduk lain. Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata kerajaan membina perumahan berkenaan atas kesedaran untuk memberikan kemudahan kediaman lebih selesa, selamat dan teratur kepada penduduk setinggan Kempas kerana penempatan sedia ada sering memberikan pelbagai masalah seperti banjir selain ketiadaan bekalan air serta elektrik. "Memang, saya akui ada sedikit kelemahan daripada segi penyelenggaraan di PPR Kempas kerana projek berkenaan belum siap sepenuhnya. Lebih 100 keluarga yang berpindah terlebih dulu adalah untuk memberikan laluan kepada pembinaan tangki kumbahan.
"Saya yakin Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menyelesaikan masalah berkaitan penyelenggaraan sebaik penduduk berpindah yang dijangka selewat-lewatnya akhir tahun ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keengganan sebahagian besar penduduk setinggan Kempas yang tidak mahu berpindah ke PPR Kempas dengan alasan perumahan berkenaan tidak mempunyai kemudahan infrastruktur mencukupi dan kurang selesa. Nur Jazlan yang juga Ketua Umno bahagian Pulai berkata, PPR Kempas yang dibina dengan kos lebih RM20 juta adalah contoh pembangunan in-situ dengan penduduk setinggan tidak dipindahkan ke luar kawasan bagi membolehkan mereka terus tinggal di kawasan berkenaan.
Katanya, penduduk yang tinggal di PPR berkenan hanya perlu membayar sewa RM114 sebulan dan dapat menikmati kemudahan elektrik, air serta infrastruktur lain yang lebih sempurna berbanding rumah setinggan. "Berhubung aspek penjagaan kebersihan yang kurang di PPR berkenaan, adalah lebih baik, penduduk menubuhkan Jawatankuasa Penduduk dan mengadakan gotong royong setiap minggu. Mereka tidak boleh bergantung kepada kerajaan untuk membersihkan kawasan kediaman mereka. "Masalah kekurangan tempat letak kereta pula boleh diatasi dengan perbincangan sesama penduduk. Bagaimanapun, sudah pasti di mana-mana, rumah PPR serta pangsa akan menghadapi masalah tempat letak kereta," katanya. Nur Jazlan memberi jaminan beliau akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan SPNB supaya memastikan semua aspek penyelenggaraan akan diatasi sebelum semua penduduk berpindah ke kediaman baru berkenaan.
Beliau berkata, penduduk setinggan Kempas yang mempunyai masalah berkaitan PPR berkenaan perlu berjumpa dengannya serta Umno bahagian bagi membolehkan satu perbincangan konkrit dilakukan, bukannya mendapatkan bantuan daripada pihak lain terutama pembangkang. Selain itu, Nur Jazlan mahu penduduk terbabit tidak terlalu emosional dengan meminta pelbagai tuntutan daripada kerajaan untuk berpindah sedangkan mereka patutnya sedar kerajaan tidak pernah mengenakan sebarang hukuman atau meminta bayaran daripada tanah yang mereka duduki secara haram. "Kita perlu rasional dalam hal ini, janganlah terlalu emosional...segala masalah ada jalan penyelesaian. Kadang-kadang, bila kita berbincang, kita hanya memikirkan apa yang diminta dan dituntut tanpa memikirkan sebarang penyelesaian yang perlu diambil dengan segera,” katanya.
Isnin, 5 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan