UM 3/5/08
JOHOR BAHRU 2 Mei - UMNO Cawangan Danga akan menganjurkan program percambahan minda bertujuan mencari rumusan konkrit bagi dijadikan pelan tindakan ke arah memulihkan semula keyakinan ahli UMNO dan orang Melayu terhadap keupayaan parti itu.
Ketuanya, Mohd. Yunus Malek berkata, program yang akan diadakan di Institut Teknologi Perindustrian Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Bukit Senyum, Ahad ini, dianjurkan dengan kerjasama Majlis Permuafakatan Kepimpinan UMNO Akar Umbi Bahagian Pulai.
Katanya, program itu atas permintaan ahli-ahli peringkat akar umbi UMNO bahagian itu ekoran prestasi buruk UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
''Ini bukan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), sebaliknya para peserta juga termasuk ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan lain di seluruh negeri yang benar-benar merangkumi akar umbi UMNO,'' katanya yang juga merangkap pengarah program tersebut, kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya lagi, antara mereka yang dijangka hadir pada program yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 6 petang itu ialah ketua-ketua Wanita, Pemuda dan Puteri dan ahli-ahli di peringkat cawangan lain.
KemerosotanMenurutnya, program berbentuk bengkel itu akan membincangkan beberapa tajuk iaitu punca kekalahan Barisan Nasional (BN) serta UMNO di beberapa negeri, kemerosotan undi BN dalam pilihan raya dan tindakan bagi memenangi semula hati rakyat.
''Turut dibincangkan adalah kaedah terbaik memilih pemimpin di semua peringkat, masalah dihadapi pemimpin cawangan, kaedah menangani fitnah pembangkang, kesan pembangunan projek mega kepada sosio ekonomi serta geopolitik orang Melayu,'' katanya.
Katanya lagi, isu-isu yang berkaitan sensitiviti kaum Melayu seperti ketuanan Melayu, agama Islam dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga akan dibincangkan.
Ahad, 4 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan