Isnin, 5 Mei 2008

(PULAI) Umno Pulai tidak akan adakan EGM hanya untuk jatuhkan pemimpin

BERNAMA


05-05-2008 05:30:19 PM
JOHOR BAHARU: Umno Bahagian Pulai tidak akan mengadakan Mesyuarat Perwakilan Khas (EGM) jika ia hanya bertujuan semata-mata untuk menjatuhkan atau mencari kesalahan pucuk pimpinan parti, katanya Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau berkata Umno bahagian itu juga tidak pernah memberi sebarang restu kepada mana-mana anggotanya untuk mengadakan majlis bertujuan membuat resolusi atau mencari penyelesaian untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya kesal dengan tindakan segelintir pihak yang mengadakan program menggunakan nama Umno Bahagian Pulai yang kononnya bertujuan mencari resolusi terhadap apa yang berlaku pada pilihan raya umum lalu," katanya di sini hari ini bagi mengulas penganjuran "Program Percambahan Minda 2008" oleh Majlis Permuafakatan Akar Umbi Umno Pulai semalam.
Program tersebut yang dihadiri 15 orang ketua cawangan dan 100 anggota Umno Pulai dirasmikan oleh anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Hamzah Zainuddin yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Nur Jazlan, yang juga Anggota Parlimen Pulai, turut melahirkan rasa kesal kerana Hamzah, selaku anggota MT, turut dibabitkan dalam penganjuran majlis berkenaan tanpa mengetahui keadaan sebenar di sebalik majlis itu.
"Majlis berkenaan tidak mendapat restu daripada saya sendiri sebagai Ketua Bahagian atau jawatankuasa Umno Bahagian.
"Penganjur majlis berkenaan mempunyai niat tersirat dengan cuba mencari populariti kerana pemilihan Umno peringkat bahagian dan cawangan akan berlangsung bermula Julai depan," katanya.
Ditanya sama ada, penganjuran majlis berkenaan merupakan suatu petanda beliau akan dicabar untuk jawatan Ketua Bahagian dalam pemilihan Umno akan datang, Nur Jazlan berkata beliau akan mempertahankan jawatan itu.
"Saya dicabar dalam pemilihan Umno bahagian 2004 oleh ahli jawatankuasa Umno bahagian sendiri ketika itu, serta menang dan saya akan mempertahankan jawatan ini, jika dicabar sekali lagi," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: