Rabu, 23 April 2008

(JOHOR) Konvensyen Pemuda Johor Rumuskan 149 Perkara Untuk Mantapkan Parti

http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=7448

20/4/08

Oleh Indera Ahmad
Johor Bahru -- Konvensyen Pemuda UMNO Johor yang berlangsung semalam telah membangkitkan 149 perkara termasuk faktor kepimpinan dan peranan Pergerakan Pemuda UMNO dalam merealisasikan matlamat parti.
Konvensyen berkenaan yang dihadiri 350 orang termasuk Ketua Pemuda Bahagian dan Ketua Pemuda Cawangan dari Johor merupakan usaha pergerakan itu untuk menilai keadaan semasa politik negara. Ketua P
emuda UMNO negeri, YB Razali Ibrahim berkata semua wakil yang hadir telah membangkitkan pelbagai perkara dan idea untuk untuk diketengahkan kepada pucuk pimpinan parti dalam usaha mengukuhkan kembali UMNO.
"Saya cukup bangga dengan penyertaan para peserta yang memberikan pelbagai pendapat berhubung keadaan yang berlaku. Semua perkara itu akan dikemukakan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
"Saya amat berharap suara akar umbi ini akan mendapat perhatian daripada pucuk pimpinan selain dapat memperkukuhkan perpaduan UMNO di samping dijadikan rujukan untuk memperkemaskan lagi strategi parti", katanya.
Sebanyak empat bengkel diwujudkan pada konvensyen berkenaan iaitu UMNO Parti Melayu, Formula Barisan Nasional, Adakah Masih Relevan, Peranan Ahli Pemimpin dan Pemuda serta Apa Orang Muda Mahu Dan Sanggup Sumbangkan.
Razali yang juga Ahli Parlimen Muar seterusnya berkata konvensyen berkenaan adalah yang terbaik untuk seluruh ahli pemuda negeri itu memberikan pandangan masing-masing.
"Selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, kami tidak berpeluang mengumpul semua petugas pilihan raya yang terlibat, jadi ini adalah ruang terbaik untuk mengumpul semua pemimpin Pemuda.
"Pelbagai perkara telah dibangkitkan dan kami catatkan semua perkara ini untuk dijadikan rujukan pucuk pimpinan parti," ujarnya.