Isnin, 5 Mei 2008

(CERAMAH) Forum UMNO Pasca Pilihan Raya Umum 12 : Suara Hati Rakyat





Forum UMNO Pasca Pilihan Raya Umum 12 : Suara Hati Rakyat
Sabtu 17 Mei 2008 (8.30 pg – 2.00 Ptg)

Di Hotel M-Suite Johor Bahru

Ucaptama : Tun Dr Mahathir Bin Mohamad

Ahli Panel : Datuk A. Kadir Jasin, Datuk Mukhriz Tun Mahathir

Moderator : Datuk Syed Hussein Al-HabsheeMasuk Percuma, semua dijemput hadir. Sila emailkan nama dan nombor telefon untuk pendaftaran ke

mykmujohor@yahoo.com


ATURCARA MAJLIS :
8.00 pagi :

Ketibaan para tetamu Ketibaan Moderator, Ahli Panel dan Tetamu Kehormat Ketibaan Y.A.Bhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad. Nyanyian Lagu Negaraku dan UMNO Bersatu.


8.45 pagi :

Bacaan DoaUcapan Aluan Pihak Penganjur
9.00 pagi:
.Ucapan Keluh Kesah Rakyat Perihatin

9.30. pagi
FORUM UMNO Pasca Pilihan Raya Umum 12: Suara Hati RakyatSesi Soal Jawab
11.30 pagi :


2.00 petang :

Ucapan Rumusan oleh Y.A.Bhg Tun Dr. Mahathir.Sesi Soal JawabPerlancaran Portal http://www.mykmujohor.com/Penyampaian Cenderamata.Kenyataan Akhbar.
Jamuan Ringan dan Bersurai.

(PULAI) Umno Pulai tidak akan adakan EGM hanya untuk jatuhkan pemimpin

BERNAMA


05-05-2008 05:30:19 PM
JOHOR BAHARU: Umno Bahagian Pulai tidak akan mengadakan Mesyuarat Perwakilan Khas (EGM) jika ia hanya bertujuan semata-mata untuk menjatuhkan atau mencari kesalahan pucuk pimpinan parti, katanya Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau berkata Umno bahagian itu juga tidak pernah memberi sebarang restu kepada mana-mana anggotanya untuk mengadakan majlis bertujuan membuat resolusi atau mencari penyelesaian untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya kesal dengan tindakan segelintir pihak yang mengadakan program menggunakan nama Umno Bahagian Pulai yang kononnya bertujuan mencari resolusi terhadap apa yang berlaku pada pilihan raya umum lalu," katanya di sini hari ini bagi mengulas penganjuran "Program Percambahan Minda 2008" oleh Majlis Permuafakatan Akar Umbi Umno Pulai semalam.
Program tersebut yang dihadiri 15 orang ketua cawangan dan 100 anggota Umno Pulai dirasmikan oleh anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Hamzah Zainuddin yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Nur Jazlan, yang juga Anggota Parlimen Pulai, turut melahirkan rasa kesal kerana Hamzah, selaku anggota MT, turut dibabitkan dalam penganjuran majlis berkenaan tanpa mengetahui keadaan sebenar di sebalik majlis itu.
"Majlis berkenaan tidak mendapat restu daripada saya sendiri sebagai Ketua Bahagian atau jawatankuasa Umno Bahagian.
"Penganjur majlis berkenaan mempunyai niat tersirat dengan cuba mencari populariti kerana pemilihan Umno peringkat bahagian dan cawangan akan berlangsung bermula Julai depan," katanya.
Ditanya sama ada, penganjuran majlis berkenaan merupakan suatu petanda beliau akan dicabar untuk jawatan Ketua Bahagian dalam pemilihan Umno akan datang, Nur Jazlan berkata beliau akan mempertahankan jawatan itu.
"Saya dicabar dalam pemilihan Umno bahagian 2004 oleh ahli jawatankuasa Umno bahagian sendiri ketika itu, serta menang dan saya akan mempertahankan jawatan ini, jika dicabar sekali lagi," katanya. BERNAMA

(KHAS) Jangan pandang remeh tuntutan kongres: Muhyiddin

BERNAMA

05-05-2008 05:21:26 PM
KUALA LUMPUR: Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu yang mengandungi pelbagai tuntutan bagi mempertahankan kedudukan Melayu tidak harus dipandang remeh oleh kepimpinan Umno atau kerajaan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya ini adalah kerana resolusi yang dicapai merupakan hasil perbincangan yang timbul kerana orang Melayu di negara ini mempunyai persepsi bahawa pembelaan terhadap hakhak dan kepentingan mereka semakin lemah dan terhakis.
Muhyiddin yang juga Naib Presiden Umno berkata parti itu dan juga kerajaan harus memandang berat akan isuisu yang dibangkitkan kerana ia terhasil daripada perbincangan yang dihadiri oleh ramai tokoh yang memperjuangkan masa depan orang Melayu di negara ini.
"Ini merupakan melahirkan kebimbangan yang datang dari suara hati pemimpin-pemimpin Melayu serta badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili orang Melayu di negara ini.
"Sebenarnya apa yang diperjuangkan oleh mereka seharusnya juga apa yang diperjuangkan oleh Umno, cuma kepimpinan Umno pada hari ini dilihat seperti tidak lagi memberi perhatian," katanya selepas melawat persiapan akhir di tapak Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2008 (MIHAS 2008) di sebelah bangunan Matrade di sini, hari ini.
Beliau menyuarakan harapannya agar kepimpinan Umno dapat menerima usul kongres itu dengan hati yang terbuka dan ia tidak menimbulkan kesangsian kaum bukan Melayu.
Katanya orang bukan Melayu di negara ini tidak harus rasa tergugat oleh resolusi berkenaan kerana kongres itu tiada membuat tuntuntan terhadap hak bangsa lain seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Resolusi itu mengandungi tuntutan yang merangkumi aspek perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, Bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya termasuk menubuhkan "Majlis Muafakat Melayu Malaysia".
Resolusi itu telah diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar oleh ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein bersamasama dengan empat anggota kongres lain di Istana Bukit Serene di Johor, semalam.
Kongres tiga hari yang berakhir semalam dan bertemakan "Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa" itu dihadiri 2,100 peserta dan 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu. BERNAMA

(PULAI) Ahli Parlimen gesa setinggan pindah ke PPR

BH 5/5/08

Oleh Srihanasham Noordin
JOHOR BAHRU: Penduduk penempatan setinggan sekitar Kempas, perlu berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas yang sudah siap dibina khusus untuk mereka bagi menikmati kemudahan perumahan yang lebih selesa dan teratur seperti dinikmati penduduk lain. Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata kerajaan membina perumahan berkenaan atas kesedaran untuk memberikan kemudahan kediaman lebih selesa, selamat dan teratur kepada penduduk setinggan Kempas kerana penempatan sedia ada sering memberikan pelbagai masalah seperti banjir selain ketiadaan bekalan air serta elektrik. "Memang, saya akui ada sedikit kelemahan daripada segi penyelenggaraan di PPR Kempas kerana projek berkenaan belum siap sepenuhnya. Lebih 100 keluarga yang berpindah terlebih dulu adalah untuk memberikan laluan kepada pembinaan tangki kumbahan.
"Saya yakin Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menyelesaikan masalah berkaitan penyelenggaraan sebaik penduduk berpindah yang dijangka selewat-lewatnya akhir tahun ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keengganan sebahagian besar penduduk setinggan Kempas yang tidak mahu berpindah ke PPR Kempas dengan alasan perumahan berkenaan tidak mempunyai kemudahan infrastruktur mencukupi dan kurang selesa. Nur Jazlan yang juga Ketua Umno bahagian Pulai berkata, PPR Kempas yang dibina dengan kos lebih RM20 juta adalah contoh pembangunan in-situ dengan penduduk setinggan tidak dipindahkan ke luar kawasan bagi membolehkan mereka terus tinggal di kawasan berkenaan.
Katanya, penduduk yang tinggal di PPR berkenan hanya perlu membayar sewa RM114 sebulan dan dapat menikmati kemudahan elektrik, air serta infrastruktur lain yang lebih sempurna berbanding rumah setinggan. "Berhubung aspek penjagaan kebersihan yang kurang di PPR berkenaan, adalah lebih baik, penduduk menubuhkan Jawatankuasa Penduduk dan mengadakan gotong royong setiap minggu. Mereka tidak boleh bergantung kepada kerajaan untuk membersihkan kawasan kediaman mereka. "Masalah kekurangan tempat letak kereta pula boleh diatasi dengan perbincangan sesama penduduk. Bagaimanapun, sudah pasti di mana-mana, rumah PPR serta pangsa akan menghadapi masalah tempat letak kereta," katanya. Nur Jazlan memberi jaminan beliau akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan SPNB supaya memastikan semua aspek penyelenggaraan akan diatasi sebelum semua penduduk berpindah ke kediaman baru berkenaan.
Beliau berkata, penduduk setinggan Kempas yang mempunyai masalah berkaitan PPR berkenaan perlu berjumpa dengannya serta Umno bahagian bagi membolehkan satu perbincangan konkrit dilakukan, bukannya mendapatkan bantuan daripada pihak lain terutama pembangkang. Selain itu, Nur Jazlan mahu penduduk terbabit tidak terlalu emosional dengan meminta pelbagai tuntutan daripada kerajaan untuk berpindah sedangkan mereka patutnya sedar kerajaan tidak pernah mengenakan sebarang hukuman atau meminta bayaran daripada tanah yang mereka duduki secara haram. "Kita perlu rasional dalam hal ini, janganlah terlalu emosional...segala masalah ada jalan penyelesaian. Kadang-kadang, bila kita berbincang, kita hanya memikirkan apa yang diminta dan dituntut tanpa memikirkan sebarang penyelesaian yang perlu diambil dengan segera,” katanya.

(MUAR) 12 pelajar pendidikan khas usahakan sawah.



BH 5/5/08




Oleh Ahmad Othman
TEKUN: Pelajar membersihkan kawasan sawah yang diusahakan mereka di Teluk Rimba, Muar.
Murid SMK Tengku Mahmood Iskandar mampu hasilkan 24 tan padi MR220 dalam tempoh 3 tahun
JOHOR BAHRU: Pelajar pendidikan khas di Muar yang mengusahakan 0.8 hektar sawah mampu mengeluarkan 24 tan padi jenis MR220 melalui enam pusingan musim menuai dalam tempoh tiga tahun lalu. Ini bermakna keluasan sawah yang diusahakan itu bersamaan keluasan dua ekar mengikut sistem ukuran Imperial itu dapat menghasilkan secara purata empat tan padi bagi satu pusingan dalam tempoh 16 minggu.
Masalah kekurangan sumber makanan asas terutama beras yang sebahagiannya terpaksa diimport boleh diatasi sekiranya pihak berwajib memusatkan program pengeluaran makanan tempatan. Ini dibuktikan sekumpulan 12 pelajar dari Kelas Integrasi Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmood Iskandar, Sungai Mati, Muar melalui projek sawah padi yang diselia dua guru Pendidikan Khas iaitu Norhan Ahmari, 35, dan Mohd Dan Yusuf, 44. Berhampiran sekolah itu ada sawah seluas 324 hektar di Kampung Teluk Rimba dan projek itu dimulakan dengan menyewa sebahagian kecil tanah, iaitu 0.8 hektar.

BEGINI: Mohd Dan (kiri) memberi penerangan kepada pelajar.
Niat mereka untuk mempelajari asas pertanian melalui program berbudi kepada tanah mendapat sokongan termasuk Jawatankuasa Kelompok Sawah Padi Kampung Sungai Mati, Muar, Jabatan Pertanian dan Bernas melalui ikatan perkongsian pintar. Dari sudut pendidikan khas, usaha ini adalah sebahagian dari cabang Program Transisi Jabatan Pendidikan Khas (JPK) membangunkan potensi pelajar berkeperluan khas untuk melangkah ke dalam kehidupan bermasyarakat dan menjana pendapatan khusus sebagai petani moden menggunakan kemudahan sedia ada apabila mereka dewasa kelak. Mohd Dan yang pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas Johor, berkata kerja memulakan bendang sawah itu dilakukan serentak dengan pesawah tempatan. Selepas benih diperoleh dari Jabatan Pertanian, tanah bendang dibajak dua kali sebelum ditaburkan benih yang direndam selama satu malam sebelum ditos. Kerja meracun rumput pula dijalankan pada minggu pertama, merumput dan membaja pada minggu ketiga, keenam dan kesembilan.
Sawah akan dikeringkan pada minggu ke-12 apabila pokok padi mula mengeluarkan bunga dan boleh dituai menjelang minggu ke-16. "Sebaik selesai kerja menuai, membakar jerami dilakukan dan bendang dibajak semula bagi mengelak rumput rampai tumbuh meliar. Setiap dua ekar yang mereka usahakan boleh menghasilkan purata empat tan padi bagi satu pusingan 16 minggu di mana hasil dijual ke kilang padi di Jalan Salleh, Muar atau Bukit Rambai, Melaka. "Selain dijual kepada pekilang, pesawah dibenarkan hanya mengambil 200 kilogram beras yang dihasilkan, " katanya. Mohd Dan berkata, selain pendidikan akademik, pelajar turut diberi latihan vokasional asas mengendali dan membaiki mesin kecil yang berkaitan. Selain itu, melalui penyelidikan dan mengambil faktor alam persekitaran ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi tempatan, pihaknya menanam pisang tanduk, pisang nipah dan pisang nangka di sepanjang sempadan pagar sekolah. Katanya, pisang itu kemudian dijadikan kerepek, digoreng dan dipasarkan sementara daun pisang dijadikan bungkusan makanan yang mendapat permintaan daripada peniaga makanan. Beliau berkata, tanaman serai diusahakan di tanah rizab milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhampiran institusi pendidikan itu untuk memaksimumkan penggunaan tanah. Pelajar Fadli Mustari, 17, berkata dia seronok belajar sambil bekerja kerana mendapat ilmu dan pengalaman. "Lagi pun banyak tanah yang boleh diusahakan. Berbudi kepada tanah banyak manfaat dan kita dapat keluarkan hasil bumi untuk sumber makanan, " katanya. Azhar Abdul Rahman, 19, pula berharap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) permudahkan pelajar berkeperluan khas sepertinya untuk mendapatkan lesen memandu traktor. "Musuh besar dan penghalang sebagai petani ialah malas dan angan-angan Mat Jenin," katanya.

(BATU PAHAT) Pelbagai usaha dilakukan bangunkan Senggarang

UM 5/5/08

BATU PAHAT 4 Mei - Pelbagai usaha sedang giat dilaksanakan bagi membangunkan Senggarang menerusi rangka Pembangunan Ekonomi Siri 1 yang membabitkan pelbagai sektor di kawasan berkenaan.
ADUN Senggarang, Ja'afar Hashim berkata, program pembangunan itu adalah usaha untuk memantapkan lagi ekonomi penduduk kawasan itu dengan tumpuan kepada mereka yang tidak berkemampuan.
Buat masa ini, enam syarikat swasta menyatakan minat untuk melabur dan membantu warga Senggarang meningkatkan taraf hidup ekonomi mereka melalui pelbagai projek yang dirancang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini, Ja'afar berkata, antara syarikat berkenaan adalah MAIS Food yang akan memperkenalkan penanaman cili secara fertigasi dan ikan keli salai.
"Sebuah lagi syarikat iaitu ANH Venture yang akan memperkenalkan Skim Rumah Mesra Mudah (SRMM) bagi golongan yang tidak berkemampuan untuk membina rumah sendiri tetapi mempunyai tanah," kata Ja'afar.
Menurut beliau, skim itu akan dilaksanakan mengikut kemampuan pemohon dan reka bentuk rumah juga berdasarkan kehendak mereka.
Bagaimanapun, setakat ini reka bentuk yang diperkenalkan ialah rumah setingkat yang mempunyai tiga bilik dan sebuah bilik air.
Ja'afar berkata, pembinaan rumah itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak ANH Venture dan apabila rumah siap dan mula diduduki barulah ansuran bulanannya mula dibayar oleh pemilik.
"Bank Simpanan Nasional (BSN) pula telah bersetuju untuk bekerjasama dengan memperkenalkan projek amal jariah itu bagi membantu mereka yang tidak mampu membaiki rumah," kata beliau.
Katanya, projek itu akan memperuntukkan RM5,000 bagi membaiki rumah yang rosak dan RM10,000 bagi membaiki rumah daif.
Menurutnya, projek itu merupakan bonus kepada kawasan Senggarang setelah BN merampas semula kerusi itu daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.
"Saya yakin mampu membangunkan ekonomi penduduk dengan usaha-usaha yang sedang dilakukan kerana penduduk Senggarang memang dahagakan pembangunan ekonomi yang lebih mantap di sini," ujarnya.

(KOTA TINGGI) ‘Kami mahu jambatan segera’


UM 5/5/08



Oleh FARIK SALLEH
Bumbung jeti yang rosak dan perlu diganti baru di Kampung Rantau Panjang, Kulai.
KOTA TINGGI 4 Mei – Penduduk Kampung Rantau Panjang di sini meminta kerajaan segera membina sebuah jambatan untuk kemudahan mereka menyeberangi Sungai Johor di sini.
Seorang penduduk, Samad Misbah, 60, berkata, jambatan ini amat diperlukan penduduk untuk menyeberangi sungai itu terutamanya apabila ada kematian kerana tanah perkuburan terletak seberang kampung berkenaan.
Samad yang juga Imam Masjid Jamek kampung berkenaan berkata, selama ini penduduk terpaksa menggunakan sampan untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan yang terletak di seberang sungai tersebut.
“Ini amat menyukarkan terutamanya apabila musim hujan atau pun ketika air surut kerana aliran air yang deras dan membahayakan.
“Sebelum ini pernah berlaku kejadian jenazah terjatuh ke dalam sungai dan ini amat menyedihkan.
“Oleh itu saya berharap kerajaan meluluskan segera permohonan yang telah diajukan sebelum ini untuk membina jambatan tersebut,” katanya yang telah lebih 20 tahun tinggal di kampung itu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penduduk kampung berkenaan terpaksa menyeberang Sungai Johor kira-kira 70 meter dan terpaksa berjalan kaki sejauh 300 meter lagi untuk sampai ke tanah perkuburan.
Sementara itu, Ketua Kampung itu, Mohd. Yunus Pikir berkata, dia dimaklumkan permohonan bagi mendapatkan jambatan telah pun diluluskan dan akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.
“Walaupun telah diluluskan, namun kami masih ternanti-nanti bilakah kerja-kerja pembinaan jambatan itu akan dimulakan,” katanya.
Menurutnya, Kampung Rantau Panjang kini mempunyai 300 penduduk daripada 70 keluarga.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba yang ditemui ketika membuat tinjauan di situ turut menyokong permohonan penduduk dan berharap jambatan yang amat diperlukan mereka akan dibina secepat mungkin.
“Dengan adanya jambatan itu nanti penduduk di sini tidak perlu lagi menggunakan sampan menyeberang sungai untuk membawa jenazah,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut meluluskan permohonan penduduk bagi membaiki dan menggantikan bumbung jeti yang telah rosak dimana kerja-kerja membaiki bumbung tersebut dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk kampung itu sendiri.

(JOHOR) Pertahan kedaulatan - Kongres Permuafakatan Melayu tubuh sekretariat tetap


UM 5/5/08


Oleh Maznah Mohd. Arsad



IKRAR... Para peserta Kongres Permuafakatan Melayu membaca ikrar yang terkandung dalam resolusi pada hari terakhir kongres itu di Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 4 Mei – Kongres Permuafakatan Melayu yang berakhir di sini hari ini sebulat suara bersetuju menubuhkan sekretariat tetap dikenali Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) bagi memantau, mempertahankan dan melaksanakan semua tuntutan berkaitan kedaulatan Melayu.
Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein berkata, sekretariat itu akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat dengan penglibatan jawatankuasa terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.
“Harus difahami, jika kerajaan tidak mengendahkan dan mengambil kira serta tidak melaksanakan satu pun pandangan kongres ini, ia seolah-olah kerajaan menolak suara akar umbi,” katanya.
Menurut Ismail, meskipun sekretariat itu tidak mempunyai kuasa eksekutif, ia akan membina saluran untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
“Pada prinsipnya kita akan jadikan MMMM sebagai tempat rujukan dan wadah rasmi bagi menggerakkan apa juga resolusi yang telah kita persetujui dalam kongres yang berlangsung selama tiga hari,” ujar Ismail pada sidang akhbar selepas mengumumkan resolusi yang dicapai pada Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.
Katanya: “Keputusan menubuhkan MMMM dibuat setelah mengambil kira suara-suara daripada sebahagian 2,100 peserta yang mewakili 200 NGO yang menyertai kongres ini.
“Mereka mahu MMMM berfungsi sebagai sebuah sekretariat. Penubuhan badan ini merupakan sebahagian daripada ikrar yang terkandung dalam resolusi kongres.”
Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu yang mengandungi pelbagai tuntutan bagi mempertahankan kedudukan Melayu diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar, dalam satu majlis ringkas di Istana Bukit Serene di sini petang ini.
Ia mengandungi tuntutan yang merangkumi aspek perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, bahasa Melayu, pendidikan,
sosial dan budaya termasuk syor menubuhkan MMMM.
Ismail yang juga Pengerusi Kongres Permuafakatan Melayu yakin semua resolusi yang dimaktubkan dalam kongres itu akan dijadikan pegangan masyarakat Melayu dan diguna pakai oleh kerajaan.
“Walaupun kongres bertemakan ‘Kedaulatan Melayu Paksi Kewujudan Bangsa’ ini digerakkan oleh NGO Melayu yang terdiri daripada para budayawan, ilmuwan, teknokrat, ahli perniagaan, usahawan, peniaga kecil dan orang ramai, kami yakin suara-suara kami yang mewakili peringkat akar umbi akan didengari oleh kerajaan,’’ katanya.
Menurut beliau, keyakinan itu diperkukuhkan dengan pengalaman beberapa kongres yang pernah diadakan sebelum ini apabila kerajaan mengambil kira pandangan yang dicadangkan dalam kongres-kongres itu untuk membantu melaksanakan agenda perjuangan bangsa dan agama.
Beliau memberikan contoh, menerusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang diadakan pada tahun 1956, kerajaan bersetuju menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ditanya bagaimana Kongres Permuafakatan Melayu dapat menyuarakan kepentingan Melayu di Pulau Pinang yang kini dipimpin oleh kerajaan bukan Melayu, beliau berkata, pihaknya akan menggunakan cara terbaik untuk menyampaikan tuntutan Melayu.
“Jika mereka ingin menjadi pemimpin yang baik, mereka perlu menjaga kepentingan semua (kaum) dengan sebaik mungkin,” ujar Ismail.

(JOHOR) Lapan resolusi pertahan hak Melayu

http://www.malaysiakini.com/news/82358


May 5, 08 3:48pm
Kongres permuafakatan Melayu yang berakhir semalam telah meluluskan lapan resolusi penting, termasuk gesaan supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu bagi mempertahankan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Sehubungan itu, kongres tersebut menuntut penubuhan Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) sebagai sekretariat bagi merealisasikan lapan resolusi tersebut yang merangkumi bidang perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya.Menurut laporan Bernama, resolusi dalam bidang Perlembagaan, antara lain, menuntut agar hak-hak, keistimewaan dan kedudukan orang Melayu dipertahankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.Mengenai tuntutan politik pula, kongres ini menuntut agar Raja-Raja Melayu menyempurnakan tugas dan mempertahankan kedaulatan Melayu.Bagi tuntutan ekonomi pula, ia menyentuh soal keadilan sosial dan pengagihan ekonomi diberi sama rata untuk semua warganegara seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutaan.Kongres itu juga menunutut menjadikan Islam sebagai cara hidup, pemikiran dan sistem perundangan negara.Dalam bidang pendidikan pula, kongres itu menuntut agar bahasa kebangsaaan dikukuhkan dalam sistem pendidikan Malaysia, menjadi alat komunikasi dan keilmuan bagi mencapai objektif pembinaan bangsa.Serah pada Majlis Raja-RajaSelain itu, kongres itu menolak sekeras-kerasnya dasar atau gagasan dan pelaksanaan pelbagai budaya yang mentafsir secara serong Perlembagaan Persekutuan.Resolusi tersebut telah diserahkan kepada Sultan Johor di Istana Bukit Serene dan akan dibawa kepada Majlis Raja-Raja agar diterimapakai oleh kerajaan demi kepentingan orang Melayu di Malaysia.Kongres itu yang diadakan di Johor Baru itu bertemakan 'Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa' dan dihadiri lebih 1,000 peserta yang mewakili 200 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.Ia dianggap antara pertemuan terbesar membabitkan orang Melayu yang pernah diadakan selepas perhimpunan yang membawa kepada penubuhan Umno lebih 60 tahun lalu.Kongres itu membincangkan tentang memperjuangkan hak dan kepentingan serta mempertahankan maruah Melayu ekoran semangat persepakatan yang dianggap kian ‘pudar' berdasarkan keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu. Kongres itu disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar.Kongres anjuran bersama oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) juga diadakan ekoran keputusan pilihanraya umum lalu yang menunjukkan masyarakat Melayu kini berpecah belah dan sedang berdepan dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi ekonomi dan politik.Selain Abim, antara NGO yang menghadiri kongres tersebut ialah Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Anak Melayu Johor dan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

(BATU PAHAT) Umno mesti jaga Johor...

http://www.malaysiakini.com/news/82329


May 5, 08 11:49am
Bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menjangka pembangkang akan menyerang 'habis-habisan' negeri Johor - kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) - dalam pilihanraya umum akan datang."Jagalah negeri Johor ini kerana ia (Johor) akan diserang habis-habisan oleh lawan dalam pilihanraya akan datang.
"PAS telahpun menembusi kubu kuat orang Melayu ini dengan menang dua kerusi DUN (Sungai Abong dan Maharani)," katanya.Dalam pilihanraya umum lalu, BN kehilangan enam kerusi DUN dan sebuah kerusi Parlimen kepada pembangkang di Johor. DAP memenangi kerusi DUN Senai, Sekudai, mengkibol dan Bentayah. Kerusi parlimen tunggal itu dimenangi oleh DAP di Bakri.Beliau mengingatkan demikian di majlis ceramah dan dialog bertajuk "Mengembalikan Kerelevanan Umno Di Hati Umat Melayu" anjuran Pemuda dan Wanita Umno Cawangan Bandar Bahagian Batu Pahat semalam, demikian menurut laporan Bernama.Tengku Razaleigh yang juga ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata selepas kejayaan memenangi Selangor, Perak, Pulau Pinang serta Kedah dan mempertahankan Kelantan, pembangkang akan memperhebatkan "serangan" untuk menguasai lebih banyak negeri dalam pilihanraya umum akan datang. Tengku Razaleigh berkata kekalahan BN terutamanya di tiga buah negeri yang disifatkan sebagai "kaya" seperti Pulau Pinang, Selangor dan Perak akan turut memberikan kesan terhadap keseluruhan pentadbiran kerajaan pusat.Pakatan Rakyat, kata ahli politik veteran Umno itu, yang kini berkuasa di lima buah negeri akan cuba memalukan Umno dan BN menerusi siri pendedahan tentang kesilapan yang dilakukan sebelum ini oleh kerajaan negeri yang diketuai oleh BN. Katanya kerajaan negeri terlibat yang kini dikuasai pembangkang sedang berusaha untuk mencungkil dan menggali segala kesilapan yang dilakukan oleh para pemimpin kerajaan negeri BN terdahulu. Bagaimanapun, kata Tengku Razaleigh, Umno mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi tindakan oleh parti pembangkang itu.

(Batu Pahat) Ku Li dakwa ahli dihalang hadir ceramahnya

http://www.malaysiakini.com/news/82339


May 5, 08 2:05pm
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau mendapat maklumat bahawa ada ahli Umno diugut supaya tidak menghadiri ceramahnya di Batu Pahat petang semalam dan di Muar malam tadi. Katanya beliau menerima aduan dari penganjur ceramahnya, iaitu Pemuda Umno Cawangan Bandar dalam Bahagian Batu Pahat, dan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Muar. "Ketua-ketua cawangan yang dijemput telah diminta supaya tidak hadir dalam perjumpaan itu dan ada sesetengahnya menerima ugutan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah "Ke Mana Umno dan Orang Melayu Selepas Pilihanraya Umum ke-12", di sebuah hotel di Muar malam tadi. Seramai 500 orang termasuk ahli jawatankuasa Umno bahagian-bahagian Ledang, Muar, Bakri dan Pagoh hadir, demikian menurut laporan Bernama. Tengku Razaleigh berkata kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana ceramah itu bukan perjumpaan haram. Beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku ekoran hasratnya untuk bertanding merebut jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

(PULAI) Ketua Umno Pulai bidas timbalan menteri

http://www.malaysiakini.com/news/82366

May 5, 08 4:55pm
Ketua Umno bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini kesal dengan tindakan seorang timbalan menteri yang merasmikan program percambahan minda 2008 di Pulai yang diadakan tanpa restu Umno bahagian berkenaan. .Datuk Hamzah Zainuddin - timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno - merasmikan majlis tersebut anjuran Majlis Permuafakatan Akar Umbi Umno Pulai, semalam.Menurut Bernama, Ia dihadiri oleh 15 orang ketua cawangan dan 100 ahli Umno bahagian Pulai.Katanya, Umno bahagian itu tidak pernah memberi sebarang restu kepada mana-mana ahlinya untuk mengadakan majlis bertujuan membuat resolusi atau mencari penyelesaian untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.“Majlis berkenaan tidak mendapat restu daripada saya sendiri sebagai ketua bahagian atau jawatankuasa Umno bahagian," katanya yang juga ahli parlimen Pulai. “Penganjur majlis berkenaan mempunyai niat tersirat dengan cuba mencari populariti kerana pemilihan Umno peringkat bahagian dan cawangan akan berlangsung bermula Julai depan,” katanya. Ditanya sama ada, penganjuran majlis berkenaan merupakan suatu petanda beliau akan dicabar untuk jawatan ketua bahagian dalam pemilihan Umno akan datang, Nur Jazlan berkata beliau akan mempertahankan jawatan itu. “Saya dicabar dalam pemilihan Umno bahagian 2004 oleh ahli jawatankuasa Umno bahagian sendiri ketika itu, serta menang."Saya akan mempertahankan jawatan ini, jika dicabar sekali lagi," kata Nur Azlan.Menurutnya lagi, Umno bahagian Pulai tidak akan mengadakan mesyuarat khas perwakilan (EGM) jika ia hanya bertujuan semata-mata untuk menjatuhkan atau mencari kesalahan pucuk pimpinan parti.“Saya kesal dengan tindakan segelintir pihak yang mengadakan program menggunakan nama Umno bahagian Pulai yang kononnya bertujuan mencari resolusi terhadap apa yang berlaku dalam pilihanraya umum lalu,” katanya.