Jumaat, 25 April 2008

(JOHOR) Pengurus ASJ sedia disiasat BPR

BH 24/4/08

Oleh Srihanasham Noordin
Syarikat tidak sembunyikan maklumat berkaitan susutan dana kepada RM23 jutaJOHOR BAHRU: Pengurus skim unit Amanah Saham Johor (ASJ), Pelaburan Johor Berhad (PJB), bersedia untuk disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR), jika ada pihak terutama pemegang saham mengandaikan berlaku penyelewengan dalam pengurusan unit amanah itu. Timbalan Pengerusi PJB, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, berkata semua pemegang saham mempunyai kebebasan untuk meminta BPR menyiasat ASJ berikutan punca dana saham itu yang semakin susut daripada RM48 juta kepada RM23 juta.
Katanya, PJB yang juga anak syarikat Johor Corporation (JCorp) menguruskan ASJ sejak Mei 1992 tidak menyembunyikan apa-apa dan susutan dana berpunca daripada tindakan PJB melupuskan unit saham yang dijual semula pemegang saham kepada PJB. "Tindakan PJB melupuskan unit saham yang dijual semula pemegang saham adalah mengikut peraturan dan undang-undang dibenarkan. "Apabila pemegang saham menjual semula saham mereka, PJB berhak melupuskan unit itu bertujuan mengecilkan jumlah dana dan dana itu susut kerana ia digunakan membayar kembali kepada pelabur," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Luar Biasa (EGM) Pemegang-Pemegang Unit ASJ ditangguhkan di Hotel Puteri Pacific, di sini, semalam. EGM ASJ terpaksa ditangguhkan selepas hanya 1,286 pemegang unit hadir dan menghantar borang proksi. Jumlah itu tidak mematuhi 25 peratus kehadiran ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerusi Garis Panduan Skim Unit Amanah bagi membolehkan mesyuarat dijalankan untuk meluluskan resolusi luar biasa. Katanya, PJB pernah disiasat firma audit yang dilantik SC dan Bursa Malaysia pada 1998 hingga 1999 apabila nilai saham jatuh ketika kemelesetan ekonomi pada 1997. Sementara itu, katanya, EGM yang bertujuan menutup ASJ itu ditangguhkan ke 15 Mei depan.
Muhammad Ali berkata, dengan penangguhan itu, harga ASJ pada nilai aset bersih adalah RM0.549 sen setiap unit kerana harga tawaran Skim Belian Balik Bersyarat sudah tamat bulan ini. Bagaimanapun, katanya, pengurusan akan merayu kepada JCorp untuk menyambung semula perjanjian dan tawaran skim pemulihan itu pada harga RM1, sama seperti harga belian pemegang saham pada mula ASJ dilancarkan semula pada 1992. ASJ dulu dikenali sebagai Tabung Pelaburan Johor adalah skim unit amanah negeri yang pertama dilancarkan pada 25 Oktober 1977 sebelum dilancarkan semula oleh PJB menjadi dana yang menggabungkan modal individu Bumiputera. Pada Februari 2004, kerajaan negeri dan JCorp melaksanakan skim pemulihan harga ASJ secara berperingkat selama tiga tahun yang membenarkan pemegang saham menebus unit masing-masing pada harga RM1. Bermula 15 Februari 2007, pemegang saham dibenarkan menebus semua unit pegangan mereka pada nilai sama hingga 8 April lalu.

Tiada ulasan: