Jumaat, 25 April 2008

(TENGGARA) Generasi kedua Felda dibela

BH 25/4/08

Oleh Johan Afandi
Jawatankuasa bertindak pastikan mereka dapat tapak rumah, nikmati kemudahan pembangunan terancangKOTA TINGGI: Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Tapak Kediaman Generasi Kedua Felda yang ditubuhkan di setiap tanah rancangan Felda di kawasan Parlimen Tenggara akan memastikan generasi kedua peneroka dapat menikmati kemudahan seperti peneroka terdahulu. Ahli Parlimennya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata jawatankuasa yang akan bekerjasama rapat dengan setiap agensi serta jabatan kerajaan berkaitan akan memastikan generasi kedua mendapat tapak kediaman sendiri selain menikmati pembangunan secara lebih terancang.
Beliau berkata, langkah itu perlu memandangkan generasi kedua Felda di empat tanah rancangan Felda dalam Parlimen Tenggara, Bukit Ramun, Bukit Besar, Sungai Sayong serta Pasir Raja, kini sudah melebihi 50,000 orang. "Melihat kepada angka ini, keperluan untuk menyediakan kediaman kepada generasi kedua ini amat mendesak. "Jawatankuasa ini akan membangunkan tapak kediaman untuk mereka selain membantu Ahli Parlimen melihat permohonan untuk meningkatkan kemudahan asas serta menyediakan pelan pembangunan yang lebih terancang," katanya di sini, semalam.
Halimah berkata, beliau juga akan meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) daerah untuk mengenal pasti tanah kosong milik kerajaan negeri dalam Parlimen Tenggara untuk dikurniakan kepada generasi kedua Felda bagi memastikan mereka tidak terus bergantung dengan keluarga masing-masing. Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan kawasan khusus di semua empat penempatan Felda berkenaan bagi pembangunan tapak kediaman generasi kedua pada Ogos lalu. "Seramai 573 generasi kedua Felda dari empat penempatan itu menerima tapak kediaman masing-masing dan mereka kini dalam proses membayar premium kepada PTG daerah sebelum menerima hak milik masing-masing," katanya.

Tiada ulasan: