Jumaat, 25 April 2008

(MUAR) Kelas tuisyen Pemuda Umno

BH 25/4/08

MUAR: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan Seri Menanti dan Sungai Balang, di sini, berpeluang mengikuti kelas tuisyen bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, bermula 2 Mei ini. Kelas tuisyen anjuran Pergerakan Pemuda Umno Zon Seri Menanti itu akan diadakan di bangunan Sekolah Agama Seri Menanti pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 8 malam hingga 10 malam. Naib Pengerusi Penganjur, Zulkifli Yaakub, berkata program pendidikan itu bertujuan membantu pelajar mendapatkan keputusan cemerlang dalam tiga mata pelajaran yang menjadi teras di setiap peperiksaan yang bakal mereka duduki kelak.
Beliau berkata, program yang mendapat persetujuan Ketua Pemuda Umno Johor, Razali Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Muar itu menyediakan tenaga pengajar berkelayakan, termasuk guru berkelulusan pusat pengajian tinggi awam tanah air. "Sebahagian besar tenaga pengajar adalah anak tempatan yang berjaya dalam bidang pendidikan serta menunjukkan minat untuk menyumbang terhadap usaha memperkasakan pendidikan anak bangsa di luar bandar. "Langkah itu bertujuan mengelak pelajar luar bandar tercicir daripada menikmati peluang pendidikan nasional yang menyediakan pelbagai jurusan keilmuan mengikut kemampuan penguasaan pelajar," katanya.
Zulkifli berkata, langkah membuka kelas tuisyen di kampung itu juga membolehkan pelajar mengikuti kelas yang berdekatan dengan kediaman masing-masing tanpa memerlukan perbelanjaan pengangkutan. Beliau berkata, pelajar dan ibu bapa yang berminat menghantar anak mereka ke kelas berkenaan boleh menghubungi telefon bimbit 013-7247246 (Jumain), 019-7774624 (Cikgu Selamat), 019-7480231 (Cikgu Faizal), 012-3659253 (Razi) dan 013-6191097 (Zulkifli).

Tiada ulasan: