um 08/05/08
Oleh NORHUDA SULIEMAN
MUAR 7 Mei - Program Konvensyen Doktor Muda perlu diperluaskan di sekolah-sekolah sekolah bagi merangsang motivasi sekali gus mendedahkan murid dan pelajar terhadap peluang serta kerjaya dalam bidang perubatan atau kedoktoran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Md. Ali berkata, ini kerana masih banyak sekolah yang tidak berminat menganjurkan program itu walaupun mengetahui kebaikan aktiviti tersebut.
"Program itu bukan sahaja mampu memberi dorongan kepada murid untuk menggalakkan mereka menjadi seorang doktor apabila meningkat dewasa tetapi turut memberi kesedaran dalam bidang kesihatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Doktor Muda peringkat daerah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Abong di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Muar, Zulkifli Othman dan wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Muar, Jasni Nawi.
Program sehari itu disertai lebih 100 murid dari empat buah sekolah dan kali pertama diadakan di daerah ini melibatkan murid-murid dalam tahun tiga dan empat.
Sekolah-sekolah yang terlibat adalah SK Sungai Abong, SK Sultan Abu Bakar 1, SK Bandar Maharani dan SK Parit Setongkat.
Abdullah berkata, pihak sekolah sepatutnya lebih peka dan memberi komitmen terhadap Konvensyen Doktor Muda kerana ia dapat meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan di kalangan para pelajar dan murid.
"Pendedahan seperti ini penting kerana ia membolehkan para pelajar membantu diri sendiri, rakan dan anggota keluarga dalam mengamalkan cara hidup yang sihat," jelasnya.
Pelbagai aktiviti kesihatan diadakan bagi memeriahkan program tersebut seperti pertandingan menulis esei, bercerita, melukis poster, pameran aktiviti doktor muda, buku informasi kesihatan dan persembahan bakat.
Selain itu, pertandingan lain yang diadakan adalah anugerah tokoh doktor muda dan sekolah cemerlang program doktor muda cemerlang yang dimenangi SK Sungai Abong.
Dalam pada itu, Abdullah berharap program ini dapat diperkukuhkan dengan menggalakkan penglibatan guru, warga sekolah dan ibu bapa dalam usaha meningkatkan kesihatan murid-murid.
"Program seperti ini tidak seharusnya terhenti di peringkat sekolah rendah tetapi ia sepatutnya diteruskan sehingga ke peringkat sekolah menengah," katanya.
Khamis, 8 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan