
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
MOHD. Basri Marjani menunjukkan tembok yang rosak di Kampung Sungai Pulai Laut, dekat Muar, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
MUAR 6 Mei - Ratusan hektar pokok kelapa sawit di Kampung Sungai Pulai Laut dekat sini terancam akibat dilanda air pasang laut apabila pihak berwajib lewat membaiki kerosakan tembok di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.
Selain kerosakan tanaman sawit, penduduk kampung itu turut bimbang apabila air pasang dan hujan lebat sering mengakibatkan kawasan kediaman mereka dilanda banjir kilat berikutan kerosakan benteng berkenaan.
Bilal Masjid Kampung Parit Pulai, Mohd. Basri Marjani, 65, berkata, masalah itu bermula kira-kira enam bulan lalu apabila sebahagian daripada benteng di pesisiran muara sungai kampung itu runtuh.
Menurutnya, kerosakan tembok sepanjang empat meter itu menyebabkan air dari Selat Melaka mengalir ke kampung itu dan kawasan tanaman di sekitar Kampung Sungai Pulai Laut.
"Kami telah membuat aduan masalah ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Muar yang kemudiannya mengarahkan sebuah syarikat kontraktor untuk memperbaiki benteng itu penghujung tahun lalu.
"Bagaimanapun, kerja-kerja memperbaiki benteng itu dilaksanakan dengan perlahan sehingga menyebabkan masalah ini tidak dapat diatasi sehingga kini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Basri berkata, selain kerosakan benteng, penduduk kampung itu turut menghadapi masalah apabila pintu air di kampung itu sering dikunci menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir terus ke Selat Melaka.
Dakwanya, JPS telah mengambil seorang pekerja dari Parit Jawa untuk mengendalikan pintu air itu tetapi perkhidmatannya tidak memuaskan kerana pekerja itu tidak membuka pintu air tersebut terutamanya pada waktu malam ketika air surut bagi mengalirkan air dari darat ke selat.
"Tindakan penjaga pintu air ini ditambah dengan kerosakan benteng ini menyebabkan beberapa rumah sering dilanda banjir kilat, khususnya ketika air pasang laut dan hujan lebat," jelasnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Asiah Mukri, 52, berkata, rumahnya yang terletak berdekatan selat sering dilanda banjir kilat setiap kali air pasang dan hujan lebat berikutan masalah itu.
"Rumah saya dilanda banjir sekurang-kurangnya dua kali sebulan dan kami sekeluarga bimbang jika air pasang melanda pada malam hari.
"Saya serta enam anak juga bimbang binatang bisa akan muncul setiap kali banjir kilat kerana kedudukan rumah kami yang berhampiran dengan paya bakau," katanya.
Sementara itu, Pegawai JPS daerah Muar, Rehan Ahmad ketika dihubungi segera mengarahkan agar kontraktor yang dilantik memperbaiki kerosakan tembok itu.
Menurutnya, projek memperbaiki benteng tersebut yang bernilai RM100,000 sepatutnya siap dalam tempoh beberapa minggu, tetapi pihak kontraktor itu lewat menyiapkannya sehingga memakan masa kira-kira lebih empat bulan.
"Saya telah memberi amaran kepada kontraktor berkenaan supaya segera menyiapkan tugas mereka atau mengambil risiko JPS akan menukar kontraktor lain sekiranya ia gagal dilaksanakan segera.
"JPS sedar masalah ini menyebabkan penduduk kawasan itu ditimpa masalah dan jabatan berjanji akan memastikan masalah tersebut segera diatasi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan