Oleh HAMDAN TAWADI

ANDI Noryadin Ahmad (kiri) dibantu jirannya menyelamatkan beberapa peralatan setelah rumahnya tenggelam ke dalam laut akibat dipukul ombak di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang dekat Johor Bahru, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
JOHOR BAHRU 7 Mei - Seorang lelaki warga emas yang lumpuh sebelah badan sejak 15 tahun lalu nyaris mati lemas apabila rumahnya musnah dipukul ombak di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, rumah Daeng Mat Salleh, 70, yang terletak dalam 'perkampungan air' di tepi laut tenggelam dipukul ombak tinggi akibat gelombang kuat daripada pergerakan kapal dan bot besar di perairan itu.
Selepas dipukul gelombang itu, rumah tersebut tiba-tiba tenggelam ke dalam laut perlahan-lahan manakala Daeng yang berada dalam bilik rumah hanya mampu menjerit meminta tolong kerana tidak boleh bergerak ekoran badannya lumpuh.
Daeng yang berseorangan di rumah tersebut, terus menjerit dan air mencecah hingga ke paras leher sebelum seorang jiran yang terdengar jeritan itu menyelamatkannya.
Jirannya, Mohd. Faizal Mohd. Ali, 30, bersama beberapa penduduk kampung bergegas menyelamatkan Daeng dengan membawanya keluar dari rumah tersebut tanpa mengalami kecederaan.
Daeng berkata, dia bersyukur kerana terselamat daripada kejadian tersebut sebelum rumah milik menantunya, Andi Noryadin Ahmad, 42, itu tenggelam dalam perairan tersebut.
Menurutnya, semasa kejadian, dia yang sedang baring di bilik tiba-tiba terdengar bunyi kuat seperti guruh disusuli bunyi kayu patah.
"Tiba-tiba rumah roboh dan mulai tenggelam dan saya hanya mampu menjerit minta tolong.
"Apabila air sampai ke paras leher, saya terdengar Faizal menjerit bertanya saya lalu saya membalas panggilan tersebut dan akhirnya saya diselamatkan," katanya.
Sementara itu, Mohd. Faizal berkata, sebelum menyelamatkan Daeng, dia terpaksa mengalihkan kayu yang berada di leher warga emas itu.
"Bukan sahaja air sudah sampai ke tengkuknya, ada pula kayu yang menghalang, namun nasib baik kami dapat menyelamatkannya," kata buruh kontrak itu.
Andi Noryadin berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja dan dua orang anaknya pergi ke sekolah manakala isterinya keluar menemui rakan menyebabkan mertuanya itu tinggal seorang diri.
Katanya, dia bergegas pulang setelah mengetahui tentang kejadian itu daripada jiran-jiran yang menghubunginya namun ketika sampai, hampir keseluruhan rumahnya ditenggelami air.
"Sepanjang 10 tahun tinggal di sini, ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku.
"Habis barang elektrik saya rosak, namun syukur ayah mertua dapat diselamatkan, jiran-jiran juga dapat menyelamatkan barang kemas isteri yang disimpan dalam almari," katanya yang bekerja sebagai juruelektrik.
Tambahnya, dia sekeluarga terpaksa menumpang di rumah jiran buat sementara waktu dan berharap ada pihak yang sudi tampil meringankan bebannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan