BH 08/05/08
Oleh Paiman Selamat
Kedudukan strategik penghubung antara timur dan barat beri kelebihan untuk jana pembangunan di kawasan utara
SEGAMAT: Majlis Daerah Segamat (MDS) akan dinaikkan taraf sebagai Majlis Perbandaran Segamat (MPS) tidak lama lagi, sekali gus menjadikan kawasan di utara Johor ini sebagai hab ekonomi baru di negeri ini.
Pelbagai rancangan dan persediaan direncanakan bagi tujuan ini, Antara usaha keras yang dibuat, meningkatkan kebersihan dan mengindahkan bandar Segamat.
MDS juga meluluskan projek pembinaan pasar awam baru dua tingkat dengan perbelanjaan RM4 juta. Projek itu akan mula dibina 8 Ogos ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.
Ketua Whip MDS, Zakaria Auda, berkata untuk mencapai hasrat menjadi MDS sebagai MPS, semua pihak, termasuk pembayar cukai perlu bekerjasama dalam semua aspek.
Antara langkah awal, katanya, menceriakan bahagian tebing dan pesisiran Sungai Segamat dengan pelbagai projek yang dikenal pasti boleh menarik perhatian pelancong.
"Projek menceriakan sungai itu akan dilaksanakan di antara kawasan jambatan pertama dan jambatan kedua Segamat.
“Selain itu, Pangkalan Jesah tepi Sungai Segamat juga bakal dilengkapi pelbagai kemudahan rekreasi seperti trek pejalan kaki, tempat berehat, penyediaan landskap yang menarik, tempat memancing dan trek joging," katanya.
Hakikatnya, pembangunan Segamat ketika ini berjalan dengan sederhana, namun ia berpotensi dimajukan berikutan kedudukan strategiknya yang menjadi laluan perhubungan di antara negeri di pantai timur dan barat.
Rancangan menaik taraf jalan Tangkak-Segamat amat bertepatan sekali dalam usaha menyediakan laluan selesa dari Segamat ke Lebuh Raya Utara Selatan supaya daerah Segamat tidak terasing daripada pembangunan negeri.
Rancangan itu dijadikan antara keutamaan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berikutan kepentingannya sebagai pemangkin kepada pembangunan dan kegiatan ekonomi di utara Johor, sekali gus menseimbangkan kemajuan antara wilayah.
Segamat sebenarnya mempunyai kedudukan yang strategik kerana bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Pahang selain empat daerah lain iaitu Muar, Tampin, Rompin dan Batu Pahat.
Pekan kecil seperti Pekan Jabi, Bukit Siput, Segamat Baru dan Bandar Putra Segamat turut dibangunkan di kawasan berdekatan bandar Segamat sekali gus mendorong pertumbuhan penduduk bandar sehingga mencapai 100,000 orang.
Segamat berpotensi untuk menjadi hab pengangkutan penting seandainya pelabuhan darat yang wujud sejak 1996 dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Selain itu, terdapat dua institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (Unitar) yang turut menyuntik kepada kegiatan ekonomi di Segamat.
UiTM yang dibangunkan pada penghujung 1980-an terletak di Jementah dan mula beroperasi pada 1991 manakala Unitar yang dibina di selatan bandar Segamat pada penghujung 1990-an mula menerima penuntut pada 1998.
Keputusan menaik taraf MDS pastinya menggembirakan penduduk sekitar, yang pasti akan mendapat manfaat terutama dari segi kerancakan pertumbuhan ekonomi di kawasan utara Johor itu.
Penduduk Paya Pulai, Mohd Anuar Ibrahim, berharap kenaikan taraf pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan sekali gus meningkatkan taraf kehidupan penduduk sekitar.
"Segamat yang bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Pahang sewajarnya dibangunkan seperti kerajaan membangunkan Iskandar Malaysia di selatan Johor," katanya.
Seorang lagi penduduk, Wakimon Amir, berkata orang ramai memang menunggu pengisytiharan MDS kepada MPS kerana perubahan itu akan memberi banyak manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berharap sebarang peningkatan taraf itu tidak akan membebankan penduduk dengan kenaikan cukai pintu atau bayaran letak kereta.
"Penduduk faham apabila sudah bergelar majlis perbandaran, dana diperlukan untuk membangunkan kawasan ini tetapi biarlah menerusi pendekatan lain yang tidak membebankan pembayar cukai," katanya.
Khamis, 8 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan