UM 08/05/08
KOTA TINGGI 7 Mei - Nasib malang yang menimpa 72 keluarga di Felda Bukit Besar di sini apabila rumah mereka rosak akibat dipukul ribut baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Saddique.
Halimah yang melawat Felda berkenaan dengan diiringi Pegawai Daerah Kota Tinggi, Norizan Kulup menyumbangkan bantuan wang tunai dan makanan bagi meringankan bebanan mangsa.
Menurut Halimah, dalam kejadian ribut yang berlaku pukul 2.45 petang itu, sebanyak empat buah rumah penduduk mengalami kerosakan serius sehingga tidak dapat didiami lagi.
"Memandangkan kerosakan rumah keluarga ini terlalu teruk, saya selaku Ahli Parlimen kawasan ini memberi sumbangan peribadi sebanyak RM1,000 selain bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) kepada setiap keluarga.
"Selain itu, kos bagi membaik pulih rumah turut disalurkan dengan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi setiap rumah," katanya selepas menyampaikan sumbangan berkenaan kepada mangsa ribut di Dewan Raya Felda Bukit Besar di sini baru-baru ini.
Halimah berkata, bagi 68 rumah penduduk lain yang mengalami kerosakan kecil, bantuan sebanyak RM500 telah disalurkan kepada setiap keluarga.
"Bagi bantuan ini, MAIJ telah menyumbangkan sebanyak RM300 bagi setiap keluarga dan pihak saya menambah bakinya," katanya.
Beliau memberitahu, kerosakan rumah penduduk terbabit telah ditaksirkan dan bantuan untuk membaikinya akan disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Peruntukan turut diberikan bagi memperbaiki pelbagai bangunan awam yang mengalami kerosakan akibat kejadian ribut itu termasuk klinik desa, sekolah agama dan Pusat Giat Mara di kawasan berkenaan.
Halimah meminta penduduk yang mengalami kerosakan akibat kejadian itu tetapi masih belum mendapat bantuan supaya segera membuat laporan di pejabat ketua kampung Felda tersebut.
"Saya sendiri terkejut dengan kejadian ribut ini kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya berharap para penduduk yang menjadi mangsa ribut dapat bersabar dalam menghadapi dugaan ini," katanya.
Khamis, 8 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan