Khamis, 8 Mei 2008

(JOHOR) 'Ku Li tidak perlu ceramah di Johor'

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm

UM 7/7/08

JOHOR BAHRU 6 Mei - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah diminta menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha memulihkan UMNO Kelantan dan tidak 'menyibukkan' diri berceramah di negeri lain terutamanya Johor.

Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali berkata, ia adalah kerana khidmat Tengku Razaleigh lebih diperlukan di negeri kelahirannya itu berbanding di Johor.

Menurutnya, senario sekarang tidak memerlukan pemimpin Kelantan itu berada di negeri ini kerana UMNO Johor tidak menghadapi sebarang masalah termasuk soal kepimpinan.

''Malah, UMNO Johor mempunyai tatacara sendiri untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau perkara tanpa memerlukan orang luar,'' katanya mengulas rungutan Tengku Razaleigh mengenai ada pihak menghalang ahli UMNO menghadiri ceramahnya di Batu Pahat dan Muar, kelmarin.

Samsol Bari berkata, walaupun terdapat satu atau dua cawangan UMNO di Johor menjemputnya ke negeri ini, maka ia tidak bermakna seluruh bahagian perlu menghadiri majlis tersebut.

''Tengku Razaleigh jangan 'syok sendiri' dan tumpukan perhatian di Kelantan,'' katanya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Ali Mohamed meminta Tengku Razaleigh agar tidak menyalahkan pihak lain jika kedatangannya ke Johor tidak mendapat sambutan ahli-ahli UMNO.

Menurutnya, ini kerana kedatangannya ke Johor tidak bersesuaian dengan masa, ekoran ketika ini UMNO sedang giat berusaha untuk mengukuhkan lagi kekuatannya.

''Sedangkan matlamat Tengku Razaleigh semata-mata untuk meraih sokongan bagi bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti Disember ini,'' katanya.

Menurutnya, tindakan itu membuktikan beliau lebih mementingkan diri sendiri daripada berusaha menyatukan semula serta memulihkan keyakinan orang Melayu kepada UMNO.

Tiada ulasan: