Khamis, 8 Mei 2008

(PONTIAN) Peruntukan khas atasi banjir kilat Pekan Nanas

UM 08/05/08

PONTIAN 7 Mei - Satu peruntukan khas akan dipohon daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku di bandar Pekan Nanas dan sekitarnya.

Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng berkata, peruntukan tersebut akan digunakan bagi memperbaiki sistem saliran yang dikenali pasti tidak mampu menampung jumlah air hujan yang banyak pada satu-satu masa.

Beliau berkata, antara kawasan terlibat ialah Kampung Parit Pasir, Taman Sri Pekan, Kompleks Penghulu Mukim Jeram Batu-Pengkalan Raja, Taman Utama, Taman Tuah, Taman Ria, Taman Sentosa, Taman Hidayat dan beberapa tempat lain.

"Kami memahami akan masalah serta kesusahan para penduduk yang berhadapan dengan masalah banjir kilat apabila hujan turun dengan lebat dalam tempoh beberapa jam sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan karnival mesra padu dan perasmian Pusat Rukun Tetangga Pekan Nanas sempena sambutan Minggu Hari Perpaduan peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Nanas A, B dan C di sini baru-baru ini.

Jeck Seng berkata, pihaknya juga akan mendapatkan pandangan daripada beberapa jabatan kerajaan bagi mengenal pasti punca berlakunya banjir kilat di kawasan Pekan Nanas.

"Kita tidak menolak kemungkinan pembangunan pesat yang berlaku termasuk wujudnya kawasan perumahan baru telah memberi kesan kepada sistem saliran sedia ada," katanya.

Bagaimanapun katanya, banjir kilat yang melanda baru-baru ini agak serius kerana beberapa kawasan dinaiki air secara serentak apabila hujan dalam tempoh 2 hingga 3 jam.

Pada majlis tersebut, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada ketiga-tiga KRT Pekan Nanas A, B dan C bagi menjalankan aktiviti masing-masing.

Tiada ulasan: