Khamis, 8 Mei 2008

(PULAI) Penganjur jawab kenyataan Nur Jazlan

http://www.malaysiakini.com/news/82510

Jimadie Shah Othman | May 8, 08 12:24pm
Ketua Umno cawangan Danga, Mohd Yunos Malek terperanjat dan kesal dengan kenyataan Ketua Umno bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang membidas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin kerana turun padang merasmikan program percambahan minda 2008 anjuran cawangan tersebut hujung minggu lalu.

"Seharusnya beliau (Nur Jazlan) perlu berterima kasih atas kesudian ahli Majlis Tertinggi hadir dan berbangga kerana peringkat akar umbi dalam bahagiannya mampu bertindak proaktif bagi mengembalikan semula keyakinan kepada Barisan Nasional (BN).

"Kami (pimpinan dan ahli di akar umbi) mengambil inisiatif mengadakan program ini semata-mata bertujuan untuk mencari rumusan konkrit punca kekalahan BN dan kaedah menenangkan hati rakyat dari akar umbi, melalui satu program yang tertib dan ilmiah iaitu bengkel dan sidang pleno," kata Mohd Yunos yang juga menjadi pengarah program itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mohd Yunos yang juga pengerusi majlis permuafakatan akar umbi bahagian Pulai itu juga berkata, beliau tidak mempunyai sebarang niat politik atau mengejar populariti dengan menganjurkan program itu.

"Selepas pilihanraya umum yang lalu, dengan kemerosotan undi, kami rasa perlu ada rumusan secara ilmiah dibuat daripada hanya bercakap-cakap di warung kopi," katanya lagi.

Sebelum ini, Bernama memetik Nur Jazlan Mohamed sebagai kesal dengan tindakan Hamzah merasmikan program tersebut, yang menurutnya, diadakan tanpa restu Umno bahagian berkenaan.

Hamzah juga adalah ahli Majlis Tertinggi Umno. Menurut Bernama, Ia dihadiri oleh 15 orang ketua cawangan dan 100 ahli Umno bahagian Pulai.

Nur Jazlan mendakwa penganjur majlis itu mempunyai niat tersirat dengan cuba mencari populariti kerana pemilihan Umno peringkat bahagian dan cawangan akan berlangsung bermula Julai depan.

Tiada ulasan: