Rabu, 16 April 2008

(MUAR) Selatan: Hutan bakau aset bernilai

BH

14/4/08
Oleh Jamaludin Husin
HABITAT: MONYET liar yang terdapat di hutan bakau Tanjung Ketapang, Muar, menjadi tarikan pengunjung.
Pemuliharaan kawasan mampu mewujudkan persekitaran menarik dan boleh dijadikan daya tarikan pengunjung MUAR: Langkah kerajaan negeri mewartakan hutan paya bakau di negeri ini sebagai kawasan larangan perlu diberi perhatian bagi mengelak kawasan itu diceroboh. Tindakan itu penting bagi memastikan kawasan yang keluasannya dianggarkan tidak melebihi 30,000 hektar yang masih tinggal di seluruh negeri dipelihara sepenuhnya.
Ini kerana hutan paya bakau adalah aset tidak ternilai harganya kerana berkait rapat dengan kehidupan manusia apabila pokok bakau mewujudkan ekosistem yang unik terutama dari segi flora dan faunanya. Berdasarkan kajian, daripada kira-kira 106,100 hektar kawasan hutan bakau yang terdapat di Semenanjung hanya 18 peratus yang dapat mengekalkan keasliannya, manakala sebahagian lagi sudah diteroka. Kawasan itu dimajukan dengan projek pembangunan kerana kedudukannya yang berdekatan pantai strategik ataupun pokok ditebang untuk dijadikan bahan binaan.
DAYA TARIKAN: SEBAHAGIAN pelancong dari Australia sedang menikmati keindahan pemandangan hutan bakau
Di daerah ini, misalnya, banyak kawasan hutan bakau turut diterokai, termasuk di tebing Sungai Muar dekat Tanjung Agas yang dibangunkan dengan pembinaan kompleks perniagaan serta kilang perindustrian dengan alasan untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk. Beberapa kawasan hutan bakau di Pantai Muar bertentangan Selat Melaka turut diteroka terutama berdekatan dengan pangkalan nelayan seperti di Seri Menanti dan Parit Karang Laut. Keadaan ini bukan saja memusnahkan hutan bakau, melenyapkan keindahan flora dan fauna, malah menimbulkan masalah kepada haiwan yang menjadikan hutan bakau sebagai habitatnya seperti monyet dan unggas. Seorang penduduk Seri Menanti, Jumain Ahmad, mendakwa hutan bakau yang ditebang kerana pembinaan jeti di pangkalan nelayan di situ, menyebabkan monyet liar berkeliaran di kawasan kebun dan memusnahkan tanaman penduduk
Beliau berkata, sebelum ini tidak terdapat seekor monyet pun di dalam kebun penduduk di kampungnya kerana haiwan itu mencari makanan di tepi pantai yang dipenuhi pokok bakau. "Bagaimanapun, sejak dua tahun kebelakangan ini, ribuan monyet liar berkeliaran dalam kebun kelapa sawit dan memusnahkan hasil tanaman penduduk, termasuk pisang, nanas, ubi dan keladi. "Haiwan itu bertindak sedemikian berikutan sebahagian hutan, termasuk pokok kayu bakau sudah ditebang bagi tujuan pembangunan," katanya. Seorang pemaju projek, Norizan Mahat, berkata langkah meneroka hutan bakau bagi tujuan pembangunan boleh menjejaskan struktur pantai kerana mendedahkannya kepada arus ombak dan air pasang surut. Sehubungan itu, katanya, pemuliharaan hutan bakau amat penting kerana hutan itu bukan saja dapat melindungi daripada hakisan. "Langkah memulihara hutan bakau juga mampu mewujudkan persekitaran menarik dan boleh dijadikan daya tarikan pengunjung berikutan keunikan pokoknya yang boleh hidup di air masin dan tidak mati di daratan. "Sebagai contoh, akar kayu bakau di sebatang pokok berkenaan di kawasan rekreasi Parit Karang Laut menjadi tempat kanak-kanak bermain kerana keadaannya yang unik dan menyerupai seperti sebuah peralatan permainan," katanya. Norizan berkata, langkah pihak berkuasa tempatan (PBT) memulihara hutan paya bakau di Pantai Tanjung Ketapang menjadikan kawasan itu sebagai daya tarikan pengunjung, termasuk pelancong asing. Beliau berkata, terbaru seramai 40 pelancong dari Australia melawat kawasan hutan bakau di Tanjung Ketapang. "Di samping menyaksikan keaslian flora dan fauna yang masih kekal di hutan berkenaan, mereka juga berpeluang melihat ribuan monyet liar yang banyak terdapat di dalam hutan paya bakau di situ," katanya. Seorang pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai John, berkata di kebanyakan negara Asia Tenggara dan Pasifik, hutan paya bakau dikomersialkan sama ada bagi tujuan pembinaan, kayu api dan arang. Bagaimanapun, beliau kagum dengan usaha Malaysia mengawal penerokaan hutan bakau sekali gus mengekalkannya sebagai kawasan pembiakan haiwan dan hidupan laut. Sehubungan itu, beliau menyarankan usaha kawalan itu diteruskan. John dan isterinya sependapat, keindahan semula jadi di Pantai Muar mewujudkan suasana segar dan nyaman.

(B PAHAT) Pelabur ASJ buat laporan polis, BPR

UM

BATU PAHAT 14 April - Seorang pelabur Amanah Saham Johor (ASJ) membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis ekoran notis pekeliling yang dihantar kepada para pemegang saham mengenai cadangan penamatan skim itu dijangka bermula 31 Mei ini.
Ayub Ahmad, 68, berkata, laporan itu dibuat kerana dia mengesyaki berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan saham berkenaan.
Menurutnya, laporan polis dan BPR itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat dan pejabat BPR Batu Pahat di sini pagi semalam.
"Penyelewengan dan penipuan itu telah menyebabkan ASJ mengalami kerugian besar iaitu mengikuti laporan audit 31 Mei 2007 hingga 30 November 2007, dana pelabur yang berjumlah RM48.7 juta merosot kepada RM23 juta," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ayub berkata, sebagai pelabur dalam skim itu, dia bertanggungjawab dan mahu perkara itu disiasat dengan harapan dapat melindungi harta bumiputera khususnya yang tinggal di luar bandar.
Sehubungan itu, dia menyeru semua pelabur ASJ agar mengadakan pertemuan sebelum tarikh Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang bakal membentang resolusi menamatkan skim itu pada 24 April ini di Johor Bahru.
Katanya, perbincangan itu penting bagi memastikan pelaburan mereka dilindungi dan mereka yang meminjam bank ketika membuat pelaburan tidak akan dikenakan sebarang tindakan termasuk tindakan muflis.
"Saya harap para pelabur tidak menghantar balik borang proksi kepada pengurus yang telah dikirimkan kepada pelabur-pelabur bagi memastikan usaha menamatkan skim ini dapat dipertimbangkan kembali," katanya.
Ayub memberitahu, dia akan mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memainkan peranan bagi membantu para pelabur agar pelaburan yang dibuat selama ini tidak sia-sia.
Katanya, kementerian berkenaan mungkin boleh mengambil alih dana yang terkumpul dan melaburkannya pada skim-skim lain yang berpotensi seperti menyimpannya di dalam Bank Rakyat.
Hari ini, Utusan Malaysia menyiarkan gesaan para pelabur yang mahu kerajaan negeri campur tangan dengan cadangan penamatan skim amanah tersebut yang dijangka dilaksanakan bermula 31 Mei ini.
Mereka mendakwa, penamatan skim yang diperkenalkan sejak 1992 itu tanpa mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada pelabur-pelabur terutama yang membuat pinjaman bank adalah tidak adil dan satu penganiayaan.
Pengumuman penamatan ASJ itu disampaikan kepada para pelabur menerusi surat pekeliling yang menjemput mereka menghadiri Mesyuarat Luar biasa (EGM) pada 24 April ini di Hotel Puteri Pacific, Johor Bahru.

(JOHOR) Johor catat penagih dadah kedua tertinggi

UM

Oleh HAMDAN TAAWDI

JOHOR BAHRU 14 April - Johor mencatat bilangan penagih dadah kedua tertinggi selepas Pulau Pinang dengan 2,004 orang daripada keseluruhan 14,489 penagih yang dikesan sepanjang tahun lalu.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor, K. Sukumaran berkata, bagaimanapun jumlah penagih yang dikesan di negeri itu menurun berbanding seramai 2,329 penagih pada tahun sebelumnya.
"Johor berada di tangga kedua kerana sesetengah negeri mencatatkan penurunan bilangan penagih yang amat ketara berbanding pada tahun sebelumnya.
"Malah, bilangan keseluruhan penagih yang dikesan di seluruh negara turut menurun berbanding tahun 2006 yang mencatatkan 22,811 penagih," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini bagi mengulas mengenai statistik penagihan dadah di negeri ini.
Sukumaran berkata, bilangan penagih dadah tertinggi dikesan di Pulau Pinang seramai 3,433 orang diikuti Johor, Kuala Lumpur (1,756), Kedah (1,604) dan Selangor (1,409).
"Perak pula mencatat bilangan penagih seramai 1,194 orang, Kelantan (884), Negeri Sembilan (826), Pahang (378), Melaka (313), Sabah (217), Sarawak (184), Perlis (147), Terengganu (127), Putrajaya (7) dan Labuan (6)," katanya.
Sementara itu, Sukumaran berkata, bilangan penagih dadah di Johor menurun sepanjang Januari lalu hasil penguatkuasaan berterusan pihak berkuasa.
"Jika tahun lalu, bilangan penagih dadah yang dikesan di negeri ini adalah yang kedua tertinggi, namun pada Januari lalu, bilangan penagih dikesan di Johor turun," katanya.
Katanya, seramai 1,717 penagih dikesan di seluruh negara sepanjang Januari lalu dengan Pulau Pinang kekal mencatatkan bilangan penagih tertinggi iaitu 350 orang, Selangor (221), Kuala Lumpur (217) dan Johor (203),
Tambahnya, ia diikuti Kedah seramai 150 orang, Perak (115), Kelantan (115) dan Pahang (110), Negeri Sembilan (84) Melaka (54), Sabah (45), Terengganu (30), Sarawak (10), Perlis (8) dan Labuan (5).

(MUAR) EGM: Muar alami masalah korum

Malaysiakini

Muda Mohd Noor Apr 15, 08 7:49pm


Umno bahagian Muar tidak boleh mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) kerana tidak cukup korum, jelas ketua bahagian, Datuk Mohd Shah Ismail.Pada mulanya, kata beliau, pihaknya menerima surat yang menyatakan 24 daripada 36 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian mahu EGM diadakan.Bagaimanapun, katanya, dalam tempoh 14 hari selepas menerima surat daripada kumpulan tersebut, yang dihantar pada 1 April, beberapa orang telah menarik diri."Ini bermakna korum tidak cukup daripada yang diperlukan iaitu seramai 23 orang AJK," katanya ketika dihubungi hari ini.Mohd Shah berkata, mereka yang menarik diri itu mendakwa telah dibayar oleh kumpulan tertentu untuk menyokong EGM tersebut diadakan."Saya tidak mempunyai masalah untuk membenarkan EGM jika mengikut syarat-syarat yang ditetapkan," katanya lagi.Mohd Shah juga mempertikaikan kesahihan cawangan-cawangan yang menyokong EGM tersebut.
Dakwaan dibayar"Ini kerana mengikut perlembagaan, cawangan perlu mengadakan mesyuarat khas terlebih dahulu sebelum menghantar senarai cawangan yang menyokong EGM kepada pihak bahagian.Bagaimanapun, beliau meragui terdapat cawangan-cawangan di Muar yang telah mengadakan mesyuarat khas bagi menyokong bahagian untuk tujuan tersebut.
Sementara itu, seorang AJK, Hassan Sulaiman Ninam Shah, ketika dihubungi berkata, ianya adalah dakwaan ketua bahagian sahaja.
"Penarikan diri mereka, tidak ada hitam putih," katanya sambil menafikan ada kalangan AJK terbabit telah dibayar untuk menyokong EGM.
Sebaliknya, beliau mendakwa bahawa Mohd Shah yang membayar kepada AJK terbabit supaya menarik diri.
"Kita akan tunjukkan buktinya kepada setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor esok," katanya.
Hassan berkata, beliau dan lima lagi AJK bahagian, akan menemui Tengku Adnan pagi esok di ibupejabat Umno di Kuala Lumpur.

(MUAR) EGM: Muar temui Umno Johor

Malaysiakini
Muda Mohd Noor Apr 14, 08 3:49pm


Umno bahagian Muar akan merujuk kepada badan perhubungan Johor esok bagi mengadu bahawa bahagian itu enggan mengeluarkan surat yang membolehkan ia mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM). Majoriti ahli jawatankuasa (AJK) bahagian itu dilaporkan mendesak supaya EGM diadakan dan surat mengenainya dihantar kepada setiausaha Umno bahagian pada 1 April.Umno Muar mempunyai masa 14 hari untuk mengeluarkan notis untuk mengadakan EGM tetapi sehingga hari ini tiada surat dikeluarkan.Sekumpulan AJK bahagian itu akan menemui setiausaha badan itu Datuk Ali Hassan untuk mendapatkan penjelasan mengapa surat belum dikeluarkan kepada bahagian itu.Seorang daripada mereka, Hassan Sulaiman Ninam Shah berkata pihaknya ingin meminta Ali menghubungi sendiri setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk mendapatkan restu bagi membolehkan Muar mengadakan EGM."Sekiranya Majlis Tertinggi juga gagal mengarahkan EGM diadakan, kami 26 AJK Umno bahagian Muar bersetuju akan meletakkan jawatan secara beramai-ramai," katanya ketika dihubungi hari ini.Awal bulan ini, 84 daripada 133 cawangan Umno di bahagian itu bersetuju EGM diadakan untuk membincangkan beberapa isu tentang parti selepas prestasi buruk Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac.Ia kemudiannya disokong oleh 26 daripada 33 ahli jawatankuasa bahagian yang menandatangani persetujuan meminta bahagian mengadakan EGM dalam tempoh 14 hari mulai 1 April lepas. Hassan berkata, sehingga hari ini pihaknya belum menerima sebarang jawaban dari Umno bahagian mengenai permohonan untuk mengadakan EGM tersebut.Katanya, surat mengenai perkara tersebut dihantar kepada bahagian Muar pada 1 April lalu tetapi pejabat bahagian itu mendakwa ia diterima pada 3 April.Beliau berkata, tiada sebab lagi untuk Umno bahagian tidak mengeluarkan surat untuk membolehkan bahagian Muar mengadakan EGM.Hassan berkata, mengikut perlembagaan parti, jika sebuah bahagian Umno memenuhi salah satu daripada tiga syarat, ibu pejabat parti tidak boleh menghalang bahagian tersebut daripada mengadakan mesyuarat EGM.Syarat tersebut ialah: pertama, jika dua pertiga AJK bahagian; kedua, separuh daripada jumlah cawangan, dan ketiga MT Umno mahukan EGM, bermakna ia boleh diadakan."Dua syarat pertama itu telah dipenuhi dan ini bermakna EGM tersebut boleh diadakan," katanya lagi.Hassan juga berkata, tiga cawangan Umno dalam bahagian Muar akan mengadakan EGM hujung minggu ini.Katanya, tiga cawangan tersebut mahu membincangkan tiga perkara iaitu prestasi parti dalam pilihanraya umum lalu, menghapuskan sistem kuota pencalonan dalam pemilihan parti dan peletakan jawatan AJK Muar.Sementara itu, Hassan mencadangkan supaya MT Umno meletakkan jawatan dan menubuhkan protem baru bagi menguatkan semula parti selepas kalah teruk dalam pilihanraya lalu.Beliau juga sangsi dengan rancangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memulihkan semula Umno seperti yang diuar-uarkannya."Orang sudah tidak percaya, bagaimanakah lagi beliau hendak memperbetulkan Umno itu," katanya lagi.

(JOHOR) DAP: Dedah pelaburan sebenar di WPI

Malaysiakini
Apr 14, 08 3:37pm

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa supaya mengumumkan jumlah pelaburan sebenar di Iskandar Malaysia bagi membuktikan kredibiliti kerajaan dalam membangunkan projek tersebut.Iskandar Malaysia nama baru bagi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) seperti diumumkan Abdullah pada Jumaat lepas.Penasihat ekonomi kepada setiausaha agung DAP, Tony Pua berkata, Abdullah telah mengumumkan bahawa Iskandar Malaysia menuju sasarannya untuk menarik pelaburan RM47 juta dalam tempoh dua tahun akan datang dan sehingga ini ia telah "mencapai" 70 peratus sasaran pelaburannya, atau sekurang-kurangnya RM33 bilion. Sehubungan itu, beliau yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara, menggesa Abdullah yang juga menteri kewangan, supaya mengumumkan butiran berikut: Daripada jumlah pelaburan yang telah "diperolehi" itu, apakah pecahannya antara perjanjian pelaburan yang sudah disahkan, contoh, ada klausa penalti jika ditamatkan; dan yang hanya berdasarkan kepada memorandum persefahaman (MOU) yang tidak terikat dengan sebarang kontrak. Daripada pelaburan yang "diperolehi" itu, apakah pecahan antara (pelaburan) kerajaan Malaysia, pelabur swasta tempatan dan pelabur asing? Daripada jumlah pelaburan yang diperolehi itu, berapa banyak dana yang telahpun dilaburkan di Iskandar Malaysia?"Rakyat Malaysia mengharapkan supaya Iskandar Malaysia mencatatkan kejayaan, terutama dalam menarik pelaburan terus asing ke negara ini. Kerap tukar nama"Bagaimanapun, untuk berbuat demikian, menteri kewangan mesti menyediakan maklumat yang kita perlukan untuk menilai status projek tersebut dan menyarankan rancangan-rancangan perlu untuk memastikan kejayaannya," kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.Mengulas nama baru koridor ekonomi itu, ahli parlimen itu berkata: "Harus diperhatikan bahawa ini adalah kali kedua projek tersebut bertukar nama sejak dilancarkan pada awal 2007, yang pada mulanya dinamakan sebagai 'Koridor Pembangunan Johor Selatan'."Kekerapan pertukaran nama projek tersebut memberi imej buruk terhadap kerajaan dan pihak pentadbiran kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan pelabur. "Tambahan pula, ia juga mencerminkan sebuah kepimpinan yang tidak mampu berpegang kepada satu keputusan, sekurang-kurangnya untuk satu tempoh masa yang munasabah, selepas ia dibuat." Menurutnya, perkembangan seumpama itu tentunya tidak baik "untuk memupuk keyakinan pelabur terhadap projek kita".

(JOHOR) Umno tidak sabar lihat PM berundur

Malaysiakini
Apr 13, 08 3:23pm

kemaskini 11: 18pm Selepas badan perhubungan Umno Johor mencadangkan "pelan peralihan" kuasa presiden dan perdana menteri, parti itu kelihatan tidak sabar-sabar lagi melihat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur. Sejak pertemuan Abdullah dengan Umno negeri itu Jumaat lalu, kenyataan-kenyataan agar penggantian dijalankan segera semakin lantang berkumandang - walaupun berlapik.Ia dimulakan dengan kenyataan naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin di akhbar milik parti itu, Mingguan Malaysia hari ini.Berpandukan kenyataan Muhyiddin di akhbar itu, agensi berita Bernama hari ini melaporkan "Umno akan hanyut dan tidak boleh bangkit lagi sekiranya tidak dilakukan perubahan segera terhadap pucuk pimpinan parti."Beliau dilaporkan berkata "sekiranya perubahan itu tidak dilakukan segera, Umno juga akan hilang kuasa dan tidak akan bangkit selama-lamanya."Tokoh Umno itu juga berkata pilihanraya umum lalu menunjukkan perasaan tidak senang hati rakyat terhadap kepimpinan parti - secara tidak langsung bermaksud gaya kepemimpinan Abdullah yang dilihat mentadbir negara dengan bantuan ahli keluarga dekatnya.Kini pelbagai pihak dari dalam dan luar parti, lapor agensi itu lagi, memperkatakan soal kepimpinan Umno yang dikaitkan dengan "masalah keluarga" dan sistem yang diamalkan.Dalam wawancara itu, Muhyiddin berkata: "Saya bimbang jika tidak ada satu perubahan berlaku seperti mana yang bukan sahaja dituntut oleh Umno tetapi orang luar Umno, rakyat akan terus tolak BN dan Umno. "Oleh itu, ahli parti harus fikir secara matang, perdana menteri sudah buat kenyataan. Pertama, beliau akan pergi bila sampai waktunya. "Kedua, beliau menyebut Datuk Seri Najib bakal penggantinya. Ketiga, beliau kata 'beri saya sedikit masa untuk perbetulkan parti sebelum saya menyerahkan parti kepada pengganti saya.'"Ramai berkata, itu bagus dan jelas dari segi pelan peralihan kuasa tetapi mereka juga bertanya, bila?"Beliau menambah, "saya fikir ada satu perasaan membuak-buak di peringkat bawah iaitu perasaan tidak puas hati yang ketara. Oleh itu saya berpendapat, kalau tidak berlaku perubahan dalam Umno maka banyak perkara tidak baik akan terjadi." Dalam wawancara yang sama, naib presiden Umno itu menyentuh soal tanggapan umum terhadap Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin. "Kita hendak tahu, apakah sebenarnya yang menyebabkan kita kalah teruk walaupun di peringkat awal orang sudah membuat andaian-andaian. "Pertama, mereka sebut soal kepimpinan (Abdullah), mereka menyalahkan perdana menteri yang juga presiden parti dan pengerusi BN. "Mereka juga mengaitkan dengan apa yang sering disebut 'fakta KJ' (faktor Khairy Jamaluddin). Mungkin ia tidak betul atau persepsi tetapi dalam pilihan raya dan politik, persepsi itu penting. "Ada rakyat yang mengatakan kepimpinan BN tidak menyerlah, lemah dan tidak berupaya menangani keadaan semasa," katanya.Sementara itu, Bernama hari ini juga menghubungi ketua penerangan Umno Johor Dr Mohd Puad Zarkashi bagi mengulas isu pelan penggantian kuasa.Dr Mohd Puad - dilaporkan seorang daripada beberapa ketua bahagian di Johor yang paling lantang meminta Abdullah berundur dalam mesyuarat minggu lepas - mengulangi gesaannya supaya proses peralihan itu disegerakan "agar tidak menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat".Ketua bahagian Batu Pahat itu berkata, pelan peralihan kuasa telah menjadi tradisi Umno dan BN seperti penggantian almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj kepada allahyarham Tun Abdul Razak dan ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah."Umno Johor pada perjumpaan dengan Abdullah Jumaat lepas meminta perdana menteri menyediakan pelan peralihan kuasa."Ia merupakan sesuatu yang perlu dilaksanakan. Ada juga ketua bahagian yang mahukan pelan itu dilaksanakan dengan segera," beliau dipetik sebagai berkata.Selain itu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo juga menyuarakan nada yang sama dalam satu artikel di blognya semalam."Bagi pemimpin Umno, seperti saya dan rakan-rakan ketua bahagian, yang telah dilatih untuk menghormati pemimpin, untuk meminta Pak Lah meletakkan jawatan secara terbuka adalah perbuatan terakhir yang terpaksa dilakukan. "Selalunya kami tunjukkan secara kiasan atau tidak langsung dengan harapan hasrat itu difahami," katanya.Beliau juga bersetuju dengan Umno Johor yang mencadangkan Abdullah menyediakan pelan peralihan untuk berundur dan mencari penggantinya."Peralihan ini boleh dilakukan dalam waktu terdekat atau jangka masa yang lebih panjang. Namun ia tidak seharus terlalu lama yang boleh menjejaskan pentadbiran negara mahu pun persiapan parti menjelang pilihanraya umum akan datang," katanya.