Selasa, 22 April 2008

(KOTA TINGGI) 498 anak peneroka ceria dapat tanah


BH 21/4/08




KOTA TINGGI: Seramai 498 anak peneroka di empat tanah rancangan Felda, iaitu Felda Pasir Raja, Sungai Sayong, Bukit Besar dan Bukit Ramun, di sini gembira apabila permohonan yang dibuat kira-kira empat tahun lalu untuk memiliki tanah lebihan di Felda terbabit akhirnya diluluskan kerajaan negeri, baru-baru ini. Pengurniaan tanah itu sekali gus memberi peluang kepada generasi kedua itu meneruskan usaha memajukan tanah rancangan yang sebelum ini dilakukan ibu bapa mereka sebagai peneroka pertama. Tanah yang ditetapkan hanya untuk membina rumah kediaman itu berkeluasan antara 185 meter persegi dan 370 meter persegi.
Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata mereka yang layak dan terpilih menerima tanah itu mesti bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak semua permohonan diterima. “Kita menerima lebih 1,000 permohonan daripada generasi kedua di keempat-empat tanah rancangan itu. Bagaimanapun, keluasan tanah yang terhad menyebabkan hanya sebahagian permohonan yang diluluskan. “Saya berharap Pejabat Tanah Daerah dengan kerjasama Felda dapat mengenal pasti jika ada lagi kawasan tanah sesuai dan bersifat ekonomikal untuk dikurniakan kepada anak peneroka yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Undian Tanah Penempatan Generasi Kedua di Felda Bukit Besar, di sini baru-baru ini. Hadir sama, Pegawai Tadbir Tanah Daerah, Azmi Rohani dan 68 orang anak generasi kedua Felda itu untuk mencabut undi kedudukan tanah dan menerima borang nota bayaran (borang 5A). Sementara itu, Azmi dalam sesi dialog bersama penerima tanah berkata, selepas menerima borang 5A, Pejabat Tanah Daerah memberi masa tiga bulan untuk pemilik membayar duit premium yang dianggarkan antara RM2,000 dan RM3,000 seorang. Beliau berkata, selepas bayaran dibuat, geran hak milik akan terus diberikan dan pemiliknya boleh terus membuat perancangan untuk membina rumah.
“Jangan sesekali ada yang cuba menjualnya kepada pihak lain. Pejabat Tanah sama sekali tidak membenarkan tindakan itu selaras undang-undang dan kanun tanah negara,” katanya.

(PENGGERANG) Pemuda UMNO bantah tutup kilang sawit

UM

JOHOR BAHRU 21 April - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang membantah penutupan Kilang Sawit Sening di Kota Tinggi berikutan impak besar yang bakal dialami masyarakat setempat di Gugusan Felda Adela.
Cadangan pihak Felda Palm Industries Sdn. Bhd. untuk menutup kilang tersebut pada 1 Mei ini akan menyebabkan seramai kira-kira 200 penduduk Felda yang bekerja di kilang tersebut hilang pekerjaan.
Penutupan kilang itu juga akan mengakibatkan kawasan Felda Sening kehilangan nadi pembangunannya dan berkemungkinan menyebabkan kos pengangkutan untuk pemprosesan buah sawit meningkat.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Abdul Razak Budu berkata, golongan yang menerima impak paling besar akibat penutupan kilang tersebut adalah generasi kedua dan ketiga Gugusan Felda Adela.
"Sekiranya mereka mahu menutup juga kilang ini, generasi kedua dan generasi ketiga Felda tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa berhijrah keluar mencari pekerjaan.
"Pentadbiran Felda sewajarnya peka terhadap perkara ini kerana penutupan kilang itu akan memberi impak besar terhadap masyarakat gugusan Felda Adela," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mingguan Malaysia pada 6 April lalu melaporkan lebih 50 penduduk Gugusan Felda Adela mengadakan demonstrasi bagi membantah penutupan kilang tersebut.
Abdul Razak berkata, dia bimbang penutupan kilang tersebut hanya akan menyebabkan kos pengangkutan untuk membawa buah sawit meningkat lebih mahal memandangkan ia terpaksa dihantar ke kilang pemprosesan yang terletak lebih jauh dari kawasan Felda itu.
"Pihak Felda sepatutnya melihat impak yang berlaku dengan penutupan kilang sawit Felda Air Tawar 2 yang menyebabkan kilang-kilang sawit berhampiran dengannya tidak mampu menampung buah sawit yang berlebihan," katanya.
Justeru, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Mohd. Amin Hamidon berharap masalah tersebut akan mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pembangunan Felda.
"Pemuda UMNO Bahagian Pengerang membantah penutupan kilang ini kerana pelbagai masalah akan timbul dan kami berharap perkara ia dapat diselesaikan segera," katanya.
Katanya, masalah itu telah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri Pelancongan.

(PONTIAN) KRT diminta bantu kurangkan kes jenayah

UM

PONTIAN 21 April - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) diminta membantu pihak berkuasa bagi mengurangkan kes-kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak dan murid-murid sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong berkata, selain menganjurkan aktiviti yang dapat merapatkan hubungan antara kaum, peranan KRT ketika ini perlu menjurus kepada soal keselamatan.
Menurutnya, beberapa kejadian yang melibatkan kes penculikan kanak-kanak serta jenayah lain dikatakan berpunca daripada kurangnya interaksi di kalangan penduduk setempat.
Justeru, penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di KRT adalah langkah terbaik bagi meningkatkan kerjasama di kalangan penduduk bagi memastikan keselamatan bersama.
"Peranan dan fungsi KRT yang pelbagai perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penduduk sama ada di taman-taman perumahan, pekan-pekan kecil, kampung dan sebagainya.
"Bagaimanapun, perlu ada kesedaran kerana soal keselamatan bukan sahaja terletak pada bahu agensi penguatkuasa tetapi juga masyarakat sekeliling," katanya ketika merasmikan Sukaneka Kanak-Kanak Tabika Perpaduan Daerah Pontian di Stadium Mini Pontian di sini semalam.
Program anjuran Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan Taman Saujana serta Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pontian (PPNIP) itu turut dihadiri pegawainya, Helmy Mohd. Yahya dan Pengerusi Penyelaras Tabika Perpaduan Taman Saujana, Hasmadi Mohd. Sayuti.
Sebanyak sembilan tabika di daerah ini mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diadakan seperti itik bertelur, kereta api dadu, menjunjung air berhalangan, boling padang, bom air dan tarik tali.
Siew Kiong berharap, setiap KRT di daerah Pontian akan mempunyai lebih banyak pasukan SRS kerana ia ternyata berkesan bagi mengurangkan kes-kes jenayah.
"KRT juga diharap dapat memantau kehadiran pekerja asing yang tinggal di kawasan mereka bagi memastikan kehadiran mereka tidak mendatangkan masalah kepada penduduk setempat," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap, hubungan antara kaum di KRT dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa menerusi aktiviti yang melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat.
Selain kegiatan sukan, kata Siew Kiong, aktiviti lain yang boleh dilakukan seperti gotong-royong, program sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Kebangsaan dan sebagainya.

(JOHOR) Ghani ketuai angkat sumpah


UM


Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
Abdul Ghani Othman (kanan) bersalaman dengan Ali Hassan yang dilantik semula sebagai Speaker Dewan Negeri pada upacara Angkat Sumpah Ahli Dewan Negeri di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 21 April - Seramai 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor termasuk enam daripada parti pembangkang yang memenangi kerusi masingmasing pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu mengangkat sumpah hari ini.
Upacara angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Speaker yang baru dilantik semula iaitu Datuk Mohd. Ali Hassan di Bukit Timbalan di sini.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom memulakan upacara berkenaan yang diikuti barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Upacara tersebut kemudiannya diteruskan oleh semua ADUN yang memenangi kerusi DUN di kawasan masing-masing termasuk enam daripada pembangkang.
Selain Mohd. Ali yang dilantik semula bagi penggal kedua sebagai Speaker, Datuk Othman Jais yang juga ADUN Buloh Kasap turut dilantik semula memegang jawatan Timbalan Speaker.
Sementara itu, Mohd. Ali yang ditemui selepas pelantikan itu melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan dan berjanji akan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.
"Walaupun bilangan anggota DUN Johor kini terdapat wakil pembangkang, saya tetap akan cuba memainkan peranan sebaik mungkin supaya perjalanan DUN dapat berlangsung dengan baik dan mengikut peraturan," katanya.
Enam wakil pembangkang ialah empat daripada DAP iaitu ADUN Senai, Ong Kow Meng; Skudai, Dr. Boo Cheng Hau; Bentayan, Wee Tong Hiang dan Mengkibol, Ng Lam Hua.
Pas pula mempunyai dua wakil menerusi ADUN Maharani, Dr. Mohd. Taslim dan Sungai Abong, Dr. Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh.
Pada pilihan raya umum lalu, DAP turut memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Parlimen Bakri menerusi Er Teck Hwa.

(JOHOR) BPR perlu siasat laporan audit ASJ

UM

BATU PAHAT 20 April - Badan Pencegah Rasuah (BPR) diminta menjalankan siasatan ke atas Laporan Audit Amanah Saham Johor (ASJ) kerana dana pelaburannya yang berjumlah RM48.7 juta didakwa merosot teruk kepada RM23 juta dalam tempoh enam bulan sahaja.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfuz Mohamad berkata, laporan audit itu adalah dari 31 Mei hingga 30 November 2007 yang menunjukkan dana tersebut berkurangan dalam tempoh yang singkat.
"Tindakan Johor Corporation (JCorp) melalui anak syarikatnya Pelaburan Johor Berhad (PJB) menamatkan Skim ASJ juga dianggap sebagai tindakan tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini menyiarkan notis penamatan Skim ASJ yang bertarikh 1 April dan pemegang-pemegang Unit ASJ dipanggil untuk mengadakan mesyuarat luar biasa pada 24 April ini.
Mahfuz mendakwa, penamatan itu menunjukkan JCorp seperti cuba lari daripada tanggungjawab atas prestasi buruk ASJ sejak 1997.
Beliau berkata, sepatutnya Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman selaku Pengerusi JCorp manakala Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berusaha memulihkan harga pasaran ASJ dan bukan menamatkannya.
"Saya difahamkan selepas Skim Pembelian Semula ASJ yang diperkenalkan pada tahun 2004 masih terdapat 77,000 pelabur ASJ dengan nilai pelaburan RM22.9 juta," jelasnya.
Mahfuz berkata, jika dibandingkan dengan amanah saham negeri lain, mereka tetap boleh memberikan agihan dividen contohnya Amanah Saham Darul Iman (ASDI) Terengganu, mengagihkan dividen pada kadar 4 sen seunit walaupun turut mengalami kejatuhan harga saham.
Katanya lagi, pada 21 Februari 2008 Amanah Saham Kedah (ASK) yang juga mengalami kejatuhan harga sebelum ini dapat mengagihkan dividen 5 sen seunit kepada pelaburnya membabitkan bayaran sebanyak RM7.57 juta.
"Ini bermakna PJB gagal menguruskan dana pelaburan ASJ dengan berkesan dan profesional," dakwanya.
Justeru, beliau berkata, Pas Johor menggesa supaya JCorp membatalkan niat untuk menamatkan Skim ASJ tetapi sebaliknya perlu merangka satu pelan tindakan yang lebih agresif dan mampan bagi memulihkan harga ASJ.
Menurut beliau, kerugian yang dialami oleh pelabur ASJ pada masa sekarang adalah bersifat 'atas kertas' dan tindakan menamatkan ASJ merupakan tindakan merealisasikan kerugian atas kertas menjadi realiti.
"Bagi pelabur yang membuat pinjaman bank maka mereka cukup terbeban dengan ansuran bulanan dan bayaran tahunan oleh pihak bank dan sebahagian mereka telah diambil tindakan undang-undang juga muflis," jelasnya.
Tegas Mahfuz, JCorp perlu bertanggungjawab atas kegagalan ASJ dan mengambil langkah berani membeli balik kesemua saham ASJ pada harga asal RM1 seunit secara tunai.
Ini katanya, dapat membantu pelabur-pelabur ASJ khususnya yang membuat pinjaman bank kerana kesemua mereka adalah orang Melayu.

(BATU PAHAT) EGM Umno Batu Pahat Sabtu ini

MK


Muda Mohd Noor Apr 22, 08 2:30pm

Umno Batu Pahat menjadi bahagian pertama di Johor yang akan mengadakan mesyuarat khas (EGM) Sabtu ini.Ketua bahagian tersebut, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesahkan perkara itu ketika dihubungi malaysiakini hari ini.Menurutnya, EGM itu akan diadakan selepas lebih dua pertiga daripada jumlah cawangan di bahagian tersebut bersetuju mesyuarat khas itu diadakan.Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan butir-butir yang akan dibahaskan dalam mesyuarat khas tersebut.Bagaimanapun, isu utama yang menjadi perdebatan hangat sekarang ialah mengenai cadangan menghapuskan kuota pencalonan bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden serta ahli majlis tertinggi.Sebelum ini, Umno bahagian Gua Musang telah mengadakan EGM pada 4 April lalu dan meluluskan usul pindaan beberapa bahagian perlembagaan parti, Umno bahagian Cheras pula akan mengadakan EGM Ahad ini, diikuti oleh bahagian Bandar Tun Razak (Wilayah Persekutuan) pada 1 Mei depan.Manakala Umno bahagian Pasir Mas pula akan mengadakan mesyuarat khas tersebut pada 3 Mei depan.
Pelan peralihan kuasa
Sementara itu, seorang pemimpin Umno bahagian Batu Pahat ketika dihubungi memberitahu, antara isu utama yang akan dibangkitkan dalam EGM tersebut ialah mengenai peralihan kuasa dalam parti dan kerajaan.Katanya, ia selaras dengan keputusan badan perhubungan Umno Johor yang mahu perdana menteri membuat peralihan kuasa ekoran kekalahan teruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu."Saya mendapat tahu Dr Mohd Puad adalah antara pemimpin yang bercakap di majlis tersebut dan meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat pelan peralihan jawatan parti dan kerajaan," katanya lagi.Difahamkan tiga pemimpin bahagian Umno Johor selain menteri besar, Datuk Abdul Ghani Othman telah meminta perdana menteri mengadakan pelan peralihan kuasa bagi meredakan kemarahan rakyat.

(JOHOR) Buka Umno untuk bukan Melayu?


MK



Apr 20, 08 11:38pm




Ahli akar umbi pergerakan Pemuda Umno di Johor mencadangkan parti itu membuka keahlian kepada kaum-kaum bukan Melayu seperti pernah disarankan oleh pengasasnya Datuk Onn Jaafar.Cadangan itu termasuk 149 idea baru yang dikemukakan kepada pergerakan Pemuda negeri itu untuk memajukan lagi parti selepas kekalahan teruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac, kata ketuanya Razali Ibrahim hari ini. Beliau bagaimanapun menjelaskan idea itu bukan pendirian pergerakan tersebut, lapor laman web The Star Online. Razali juga mendedahkan, menurut laporan itu lagi, ahli-ahli akar umbi Umno berpendapat orang ramai tidak lagi yakin pada laporan media arus perdana dan akibatnya mereka mencari maklumat alternatif melalui internet. Bagaimanapun ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih menganggap media alternatif ini menjadi punca kemerosotan pengaruh BN akibat elemen fitnah dan kekeliruan yang disebarkannya.Dalam wawancara dengan akhbar Mingguan Malaysia hari ini, beliau berkata: "Ia (penyalahgunaan SMS) fenomena baru, tetapi ini tidak ada bezanya dengan keadaan yang suatu ketika dulu terpaksa dilalui oleh pemimpin-pemimpin Umno dan BN, iaitu serangan yang dilakukan melalui surat layang, surat khabar ‘nyamuk’ dan majalah-majalah. "Walaupun apa yang disebarkan ada sesetengahnya menggunakan perkara yang benar, separuh benar dan fitnah semata-mata tetapi Umno dan BN terpaksa menanganinya. "Kini politik persepsi itu menggunakan pula SMS dan blog-blog bagi mempengaruhi rakyat," katanya. Menjawab soalan "selepas perubahan bagi jawatan naib ketua Pemuda pada 2004 (sejak dipegang Khairy Jamaluddin), ramai berpendapat Datuk Seri (Hishammuddin) tidak mempunyai 'cengkaman' ke atas pergerakan itu, sebaliknya ia lebih dikuasai oleh individu-individu tertentu", Hishammuddin berkata "dengan kemudahan teknologi maklumat, akhirnya sesuatu perkara seperti tuduhan atau dakwaan yang tidak tahu kesahihannya disebarkan dan berjaya mempengaruhi orang ramai. "Ini budaya baru yang bagi saya sudah wujud dan menjadi realiti."Sambil menyifatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pengembang "politik persepsi", beliau juga berkata: "Saya harus mengakui sememangnya ada kelemahan dalam Umno dan BN tetapi ia diburukkan lagi dengan kewujudan politik persepsi dan politik 'menakut-nakutkan' orang ramai terhadap pemimpin parti berkenaan. Ini termasuklah dalam isu saya menghunus keris."Beliau juga mengulas kegagalan BN menjawab laporan-laporan di blog-blog sebagai punca kekalahan parti itu kali ini."Kita hanya perlu menjawab tuduhan yang tidak benar kerana orang ramai harus diberi pemahaman bahawa dalam perkembangan teknologi (ICT) sekarang, apa-apapun boleh dilakukan termasuklah mengubah suai gambar-gambar pemimpin bagi mewujudkan politik menakut-nakutkan ini," katanya.Beliau juga enggan menerima kenyataan bahawa pengundi muda tidak menyokong BN akibat kegagalan pergerakan itu. "Kita harus melihat dalam skop lebih luas. Kalau hendak tumpukan kepada generasi muda, bagaimana pula dengan guru-guru yang tidak berpuas hati dengan kita? Begitu juga pegawai-pegawai kerajaan, golongan dewasa dan kaum lain?"Kenapa kita bercakap soal pengundi muda Melayu menolak Umno? Bagaimana dengan pengundi-pengundi Cina dan India? Apakah peranan parti-parti komponen BN dalam menanganinya? "Atas sebab itulah, saya tidak mahu melihat punca masalah kekalahan BN berkisar kepada kelemahan Pemuda Umno sahaja dalam menangani generasi muda."