Jumaat, 2 Mei 2008

(TENGGARA) Halimah tidak pertahan Ketua Bahagian Tenggara

UM

KOTA TINGGI 27 April - Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Saddique tidak akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tenggara pada pemilihan akan datang.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor berkata, keputusan melepaskan jawatan yang disandang sejak empat tahun lalu itu adalah atas dasar perpaduan Melayu dan memperkukuhkan UMNO bahagian.
"Demi kepentingan parti, UMNO Bahagian Tenggara dan perpaduan masyarakat Melayu, saya mengambil keputusan tidak menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Bahagian UMNO Tenggara pada pemilihan bahagian 2008 ini," katanya.
Halimah, 46, berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perjumpaan dan Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Jentera Pilihan Raya Cawangan-Cawangan dalam UMNO Bahagian Tenggara di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki; Ketua Pergerakan Pemudanya, Suhaimi Khalid; Naib Ketua Wanita UMNO bahagian, Latifah Sudin dan Ketua Puteri, Anita Murad.
Sebanyak 42 cawangan dalam UMNO bahagian itu akan mengadakan pemilihan pada September ini.
Halimah berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan perpecahan dan UMNO bahagian kembali kuat sebagaimana ia ditubuhkan pada 1994.
"Ia supaya UMNO Bahagian Tenggara kembali ke asal usul sejarah penubuhannya iaitu pada tahun 1994 dengan kaedah berpolitik secara sihat," katanya.
Dalam ucapannya itu, Halimah secara peribadi mencadangkan agar Baderi menggantikannya kerana beliau adalah pemimpin yang berwibawa dan paling layak.
"Saya harap beliau dapat menerima tanggungjawab ini. Sama ada beliau dapat menerimanya atau tidak ia bergantung kepada sokongan oleh ahli parti," jelasnya.
Halimah berkata, kesetiaan dirinya kepada UMNO tidak akan berbelah bahagi dan terus memberi sokongan kepada Baderi untuk memimpin dengan sokongan 100 peratus terhadap kepimpinan bahagian akan datang.
Beliau turut mengajak semua ahli parti supaya bersama mengukuhkan ikatan persaudaraan, bekerja kuat, berpadu dan melupakan segala persengketaan bagi memulihkan UMNO Bahagian Tenggara.

(JOHOR) Universiti Sains Angkasa Lepas bakal dibina di Johor

UM

JOHOR BAHRU 27 April – Sebuah syarikat tempatan bersama rakan kongsi luar negara bercadang menubuhkan sebuah universiti bernilai RM6.1 bilion yang mengkhusus pengajian sains angkasa lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Next Systems Sdn. Bhd., Noor Faizal Abdul Samad berkata, cadangan penubuhan universiti itu, yang masih di peringkat perbincangan dengan rakan kongsi luar negara, akan dikemukakan kepada kerajaan setelah segala perancangan selesai.
Katanya, sebuah kawasan seluas 1,000 hektar di Kota Tinggi telah dikenal pasti untuk pembinaan universiti yang akan dikenali sebagai Universiti Sains Angkasa Lepas Malaysia (UniSam).
“Jika cadangan terhadap penubuhan UniSam itu diterima, Malaysia akan muncul sebagai negara ketiga di dunia yang mempunyai universiti sains angkasa lepas selepas Embry Riddle Aeronautical University di Florida dan International Space University, Strasbourg, Perancis,” katanya kepada Bernama dalam satu temuramah eksklusif di sini, baru-baru ini.
Noor Faizal berkata, penubuhan universiti bertujuan mengembalikan era kegemilangan Islam di dalam bidang sains angkasa lepas seperti astronomi dan lain-lain.
Sains angkasa lepas, katanya, tidak hanya berkait dengan perkara-perkara di angkasa lepas tetapi turut merangkumi pelbagai perkara serta teknologi yang kini digunakan dengan meluas oleh manusia di bumi.
Beliau memberikan contoh mudah iaitu bateri “Lithium” yang menurutnya adalah satu teknologi yang tercipta hasil kajian pihak berkuasa angkasa lepas Amerika Syarikat, NASA, ketika di angkasa lepas.
“Teknologi sains angkasa lepas itu amat penting kerana ia telah berkembang kepada teknologi-teknologi lain yang memberikan faedah kepada manusia. UniSam yang akan berteraskan kepada kajian akan membantu kita meneroka teknologi-teknologi ini,” katanya.
Noor Faizal berkata, UniSam akan mempunyai lapan fakulti meliputi bidang-bidang kritikal di dalam kajian sains angkasa lepas seperti Kejuruteraan Angkasa Lepas dan Aeronautik, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Biologi, Bio Molekular dan Perubatan.
Bidang-bidang lain termasuklah Kejuruteraan Kimia dan Bio Kimia, Kejuruteraan Komputer, Robotik dan Perisian, Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, Kejuruteraan Geologi, Atmosferik dan Planetari dan Kejuruteraan Matematik, Fizik dan Astronomi.
Beliau berkata, pihaknya bercadang menarik saintis-saintis sains angkasa lepas Islam yang terkenal di dunia seperti Prof. Ahmed Zemail, Prof. Ibrahim Semiz dan beberapa saintis terkenal untuk berkhidmat di UniSam.
Fakulti-fakulti terbabit, katanya, akan mempunyai 29 buah makmal yang dilengkapi dengan peralatan paling moden di Malaysia dan rantau bagi membolehkan projek-projek penyelidikan penuntutnya.
Di antara peralatan-peralatan yang dicadangkan untuk dibina di UniSam merupakan teknologi-teknologi ulung seperti Fusion Reactor atau Thermonuclear Reactor, Linear Collider, Large Binocular Telescope-Neural Network Telescope, High Performance Computing (HPC), Supersonic Wind Tunnel dan makmal simulasi 3D.
Nor Faizal berkata, pembinaan makmal dan peralatan berteknologi canggih di UniSam serta kehadiran saintis sains angkasa lepas terkemuka antarabangsa akan menjadikan universiti berkenaan sebagai pusat rujukan kepada saintis dalam dan luar negara.
“Ini akan menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan kepada kajian sains angkasa lepas,” katanya, sambil menambah kata bahawa, sebuah kolej universiti juga dicadang dibina untuk pelajar-pelajar peringkat menengah rendah, bertujuan mempersiapkan mereka sebelum memasuki UniSam.
– Bernama

(MUAR) EGM: Umno Muar tunggu jawapan...

MALAYSIAKINI


Muda Mohd Noor Apr 28, 08 3:50pm
Umno bahagian Muar masih menunggu jawapan setiausaha agung parti Datuk Tengku Adnan Mansor bagi mengadakan perhimpunan agung khas (EGM), kata seorang ahli jawatankuasanya Hassan Sulaiman Ninam Shah."Sehingga sekarang Tengku Adnan belum memberi jawaban mengenai perkara tersebut sedangkan kami telah menemuinya sejak dua minggu lalu."Bila beliau (Tengku Adnan) hendak membuat keputusan kerana kami menunggu sudah lama? Beliau kata hendak berjumpa Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai pengerusi pengurusan Umno, masalahnya (apakah) beliau sudah jumpa dengan Najib," katanya ketika dihubungi hari ini.Hassan berkata, enam AJK Muar termasuk beliau telah menemui Tengku Adnan pada 17 April lalu untuk membincangkan perkara tersebut.Bagaimanapun, setiausaha agung Umno itu mahu merujuk perkara tersebut kepada Najib terlebih dahulu."Saya juga telah mendapatkan nasihat daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkara tersebut tetapi naib presiden Umno itu mahu menunggu keputusan mesyuarat pengurusan parti terlebih dahulu," katanya lagi.Menurut perlembagaan Umno, kata Hassan, Majlis Tertinggi (MT) Umno mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sama ada sesebuah bahagian boleh mengadakan EGM atau sebaliknya.Katanya, jika tiada penyelesaian, beliau bercadang meminta pengerusi Umno bahagian Muar untuk memanggil bahagian mengadakan EGM tersebut."Mengikut perlembagaan parti, AJK bahagian boleh meminta pengerusi atau timbalan pengerusi bahagian untuk memanggil bahagian mengadakan EGM," katanya lagi.Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Umno bahagian Muar akan mengadakan majlis dialog yang membabitkan beberapa pemimpin politik Umno pada 4 Mei.Hassan berkata, antara yang diundang ialah ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir dan ketua bahagian Batu Pahat, Datuk Mohd Puad Zarkashi."Kita juga mengundang empat ketua bahagian (di daerah Muar) iaitu Muar, Pagoh, Ledang dan Bakri untuk hadir," tambahnya.Ketika diminta mengulas tindakan ketua Pemuda Umno meminta maaf kerana menghunus dan mencium keris, Hassan berkata tindakan Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu sebagai "memalukan".Katanya, tindakan tersebut memalukan seluruh orang Melayu, bukan sahaja dalam kalangan ahli Umno."Buat apa minta maaf lagi... masa angkat keris berlagak sangat. Mengapakah tidak berfikir masa angkat. Tiada lagi orang pandang Hishammuddin selepas ini," katanya.

(JOHOR) Karpal dakwa diancam bunuh kerana hina Islam

BH 27/4/08

GEORGETOWN: Penasihat DAP Kebangsaan, Karpal Singh, semalam, membuat laporan polis berhubung berita yang disiarkan dalam laman web Pas Johor yang mendakwa beliau memburukkan Islam dan darahnya halal untuk dibunuh. Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, R S N Rayer, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, kira-kira jam 2.30 petang. Bercakap kepada pemberita selepas itu, Karpal berkata, perbuatan pihak tertentu memburukkannya adalah fitnah.
"Saya bukan anti-Islam dan dakwaan yang dilemparkan itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata," katanya. Beliau berkata, tindakan pihak tertentu menuduhnya sebagai seorang anti-Islam tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan apa yang diperjuangkan. Katanya, tiada sebab untuknya berbuat demikian kerana baginya agama Islam adalah agama rasmi negara dan bukannya sebagai negara Islam kerana Malaysia dianggap negara sekular.
Beliau kesal dengan dakwaan yang dilemparkan seorang penulis dikenali sebagai Aliff menerusi laman web Pas Johor yang mengatakan bahawa dirinya memburukkan Islam dan darahnya halal untuk dibunuh. “Bagi saya, ini adalah sesuatu yang sukar diterima sehingga saya menerima ancaman bunuh kerana didakwa memburukkan agama Islam, sekali gus membuatkan orang Islam menganggap saya sebagai Salman Rushdie. "Saya tidak faham sama sekali mengapa segelintir pihak mahu menuduh saya sebagai seorang anti-Islam kerana selama ini amat menghormati agama lain. Apa yang akan saya peroleh jika bertindak demikian," katanya. Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak tidak menyamakannya dengan Salman Rushdie dan ancaman bunuh ke atasnya tidak menyelesaikan masalah.

(KLUANG) Pelbagai pihak hulur bantuan

UM

BATU PAHAT 26 April - Pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) mula menghulurkan bantuan kepada seorang bapa yang kini tidak mampu bekerja kerana mengalami kecederaan di kaki.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Md. Jais Sarday berkata, Mustafa Maamur (gambar), 33, cukup bertuah kerana menerima bantuan sara hidup RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau berkata, selain itu, peruntukan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan berjumlah RM1,718 juga telah diluluskan untuk keluarga lelaki itu.
"Malah bil air berjumlah RM125 dan elektrik RM200.94 juga telah diselesaikan oleh dua orang perseorangan termasuk Ketua Wanita UMNO Kluang, Senator Sharifah Azizah Syed Zain," katanya di sini hari ini.
Md. Jais berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rayuan Mustapa yang hilang punca pendapatan akibat terbabit dalam kemalangan lima tahun lalu yang disiarkan Mingguan Malaysia semalam.
Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan nasib rakyat miskin dan tidak berkemampuan.

(KLUANG) Jangan musnah tanaman pekebun

UM


Jangan musnah tanaman pekebun
oleh JAAFAR AHMAD
JOHOR BAHRU 26 April - Sahabat Suaram Johor meminta Pejabat Tanah Kluang supaya tidak memusnahkan tanaman milik 26 pekebun Projek Buku Hijau di tanah seluas kira-kira 18 hektar di Kampung Gajah, Kluang.
Pengerusinya, Low Meng Leong berkata, tindakan itu akan mengakibatkan para pekebun mengalami kerugian hampir RM1 juta kerana telah mengusahakan tanah itu sejak 1968.
Menurutnya, walaupun projek itu ditamatkan pada 1992, namun pekebun berkenaan telah memohon kepada kerajaan untuk melanjutkan lagi tempoh menguruskan tanaman itu, tetapi sehingga kini tidak menerima sebarang jawapan.
"Malangnya, pekebun mendapati satu papan tanda bagi cadangan projek penempatan mangsa banjir telah didirikan di tepi jalan besar Kampung Gajah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, papan tanda itu turut menyatakan pembinaan rumah teres, kedai, masjid serta bangunan lain tidak jauh dari situ.
Meng Leong berkata, Pejabat Tanah Kluang pula telah mengeluarkan notis pada 14 Mac lalu untuk memusnahkan tanaman di atas tanah terbabit dalam masa 14 hari.
Sehubungan itu, Sahabat Suaram menggesa kerajaan negeri menarik balik arahan tersebut dan mengadakan perjumpaan dengan para pekebun berkenaan bagi menyelesaikan isu itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Hoo Seong Chang melahirkan simpati terhadap pekebun terbabit ekoran tindakan Pejabat Tanah Kluang memusnahkan tanaman itu bagi memberi laluan kepada projek penempatan mangsa banjir Kampung Sri Cahaya, Kluang, tiga hari lalu.
Tanaman itu termasuk pokok pisang, betik, tebu dan timun yang merupakan tanaman kontan.
"Saya akan membawa perkara ini pada mesyuarat Exco kerajaan negeri pada waktu terdekat," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor.

(TEANGGARA) Halimah tidak pertahan jawatan Ketua UMNO bahagian

27/04/2008 3:04pm
KOTA TINGGI 27 April – Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Saddique berkata, beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan UMNO bahagian akan datang.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor itu berkata, keputusan melepaskan jawatan yang disandang sejak empat tahun lalu itu adalah atas dasar perpaduan Melayu dan untuk memperkukuhkan UMNO bahagian itu.
"Demi kepentingan parti, UMNO Bahagian Tenggara dan perpaduan masyarakat Melayu maka dengan ini saya mengambil keputusan tidak menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Bahagian UMNO Tenggara pada pemilihan bahagian 2008 ini," katanya.
Halimah, 46, berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perjumpaan dan Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Jentera Pilihan Raya Cawangan-Cawangan dalam UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Serbaguna Felda Linggiu, Kota Tinggi, di sini, hari ini. - Utusan