Jumaat, 2 Mei 2008

(JB) Hashim, Khalid angkat sumpah

BH 2/5/08

JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Zon Majidee, Hashim Ahmad dipilih sebagai Ketua Whip Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) manakala Ketua Pemuda Umno bahagian Johor Bahru, Khalid Mohamad, dilantik sebagai Ahli Majlis MBJB Zon Larkin. Mereka mengangkat sumpah menerima jawatan masing-masing di depan Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Naim Nasir di Bilik Datuk Bandar MBJB di sini, kelmarin. Hashim yang kekal memegang jawatan Ahli Majlis Zon Majidee, menggantikan bekas Ketua Whip MBJB, Adam Sumiru yang kini dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Puteri manakala Khalid mengisi kekosongan Zon Larkin, yang sebelum ini dipegang oleh Adam.
Pelantikan itu menjadikan jumlah keseluruhan ahli majlis kepada seramai 22 orang dengan dua lagi jawatan masih belum diisi. Dua jawatan itu ialah Ahli Majlis bagi Zon Pelangi, sebelum ini disandang Mok Chek Hou (kini Adun Stulang) dan jawatan Ahli Majlis Zon Bandar, yang dipegang Adun Pengkalan Rinting, Chia Song Cheng.

(JB) Mesyuarat Penuh MBJB: Siaran langsung dalam laman web

BH 2/5/08

Laporan Azida Shaharuddin
Orang ramai boleh dengar isu dibangkitkan ahli majlis secara telus JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) muncul sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang melaksanakan Mesyuarat Penuhnya secara siaran langsung bagi tontonan ramai khususnya warga bandar raya ini menerusi laman web mereka. Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Naim Nasir, berkata setiap kali pihaknya mengadakan Mesyuarat Penuh MBJB, orang ramai kini boleh melayari laman web PBT itu di www.mbjb.gov.my, untuk menyaksikan persidangan berkenaan secara langsung setiap bulan bagi mengetahui pelbagai perkara yang dibincangkan.
Beliau berkata, menerusi perkhidmatan itu juga, orang ramai juga boleh mendengar isu-isu yang dibangkitkan ahli majlis termasuk masalah berkaitan penduduk setempat di bandar raya ini. "Siaran langsung ini dirakam empat kamera yang dilengkapi dalam dewan pejabat MBJB, yang merakam segala perkara ketika mesyuarat diadakan, dan pada masa sama disalurkan secara terus ke laman web kami. "Hari ini (semalam) adalah peringkat percubaan pertama PBT ini melaksanakan sistem perkhidmatan secara langsung ini, dan saya percaya ia akan diteruskan pada bulan akan datang," katanya ketika mempengerusikan sidang Mesyuarat Penuh MBJB, di sini, kelmarin.
Sehubungan itu, Mohd Naim berkata, usaha itu adalah antara komitmen MBJB dalam menjadikan PBT itu telus kepada masyarakat. "Selain itu, mereka yang melayari laman web kami juga dapat melihat penyata kewangan yang dipamerkan supaya orang ramai tahu ke mana wang mereka dibelanjakan, iaitu menerusi hasil kutipan cukai oleh pihak kami, dan aktiviti yang dijalankan MBJB untuk orang ramai, " katanya.

(JOHOR) Peneroka kini boleh miliki rumah selesa


BH 2/5/08


Oleh Srihanasham Noordin



SELESA: Rumah peneroka yang diubah suai di Felda Endau, Mersing.
Penghuni Kampung Felda Endau nikmat skim skim pinjaman baiki, besarkan rumah JOHOR BAHRU: Felda memperkenalkan skim pinjaman untuk membaiki dan membesarkan rumah tanpa faedah kepada semua peneroka bagi memberi peluang kepada masyarakat Felda memiliki kediaman yang lebih selesa berbanding rumah asal tanah rancangan itu. Pengurus Besar Wilayah Johor Bahru, Sheikh Abdul Hadi Sheikh Omar, berkata Kampung Felda Endau, antara Felda tertua di negeri ini tidak terkecuali daripada menikmati manfaat skim itu dan setakat ini, permohonan tujuh peneroka Felda itu sudah diluluskan.
Katanya, setiap peneroka diberi pinjaman maksimum sehingga RM40,000 dengan beberapa syarat ditetapkan termasuk umur tidak melebihi 70 tahun dan nama peminjam perlu ada dalam geran. "Sejak dilancarkan pada tahun lalu, Felda meluluskan RM250,000 pinjaman bagi skim itu supaya peneroka dapat tinggal di kediaman yang lebih besar dan selesa," katanya pada satu majlis di sini Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Endau, Zainal Abidin Osman; Ketua Kampung Felda Endau, Raja Manap Raja Ali dan setiausaha Jawatankuasa Kecil Kampung (JKKK) Felda Endau, Shamsudin Atan.
Sheikh Abdul Hadi berkata, Felda juga meluluskan pembiayaan rumah lapan peneroka iaitu golongan ibu tunggal, anak cacat atau suami hilang keupayaan untuk bekerja dengan memperuntukkan RM10,000 bagi pembinaan setiap rumah berkenaan yang kini siap untuk diduduki. Selain itu, katanya, Felda memperuntukkan RM651,000 yang disalurkan sejak 2005 bagi pembangunan dan baik pulih infrastruktur kemudahan awam dan sungai dengan jumlah paling tinggi pada tahun lalu bagi kerja membaiki saliran perparitan. Katanya, sebanyak RM329,000 diperuntukkan tahun lalu untuk menjalankan kerja membaik pulih parit dan longkang, selain RM80,000 dan RM50,000 lagi bagi sekolah agama dan masjid di Felda itu. Zainal Abidin berkata, peruntukan yang disalurkan Felda memberi banyak bantuan kepada penduduk dan pada masa sama, peneroka turut menerima peruntukan daripada kerajaan negeri setiap tahun bagi pembangunan dan program kemasyarakatan.
"Baru-baru ini juga, kerajaan meluluskan permohonan membina masjid baru untuk menggantikan masjid sedia ada bernilai RM1.3 juta bagi kegunaan penduduk setempat. "Proses menyerahkan geran kepada semua peneroka juga sedang disiapkan dan kini sedang mencari tarikh sesuai bagi menyempurnakan penyerahannya," katanya. Sementara itu, Raja Manap berkata, sejak Felda itu diteroka pada 1959 dan mula diduduki setahun selepasnya, Felda itu menikmati pelbagai arus kemodenan dengan bekalan elektrik sepenuhnya pada 1980 dan mempunyai empangan serta loji air untuk dibekalkan kepada penduduk setempat dan seluruh Endau. Katanya, JKKK mengadakan mesyuarat bulanan setiap dua bulan bagi membincangkan pelbagai program yang diadakan hampir setiap bulan, menyertai pelbagai pertandingan peringkat Felda, daerah dan negeri serta menganjurkan Liga Bola Sepak Endau. "Kampung kami juga menyertai pertandingan Desa Cemerlang 2008 dan dijangka menjadi lokasi lawatan dalam rangka Kembara Mahkota Johor tahun ini," katanya. Kampung Felda Endau di kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar dengan majoriti penduduk menanam getah dan kelapa sawit dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk sekolah, jalan raya, masjid, surau, pondok polis, klinik kesihatan, perpustakaan dan padang permainan. Seramai 958 penduduk mendiami Felda itu di 255 rumah dan berdasarkan bancian terkini, 17 rumah di kampung itu terbengkalai dan ditinggalkan akibat masalah waris selepas kematian peneroka generasi pertama.

(JOHOR) 9 teras perjuangan dibentang

JOHOR BAHRU 1 Mei - Satu kertas kerja mengenai pembentukan Rukun Perjuangan Melayu akan dibentangkan pada malam terakhir Kongres Permuafakatan Melayu yang akan diadakan di sini mulai esok.
Ketua 1 Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Md. Ali Hanafiah berkata, sebanyak sembilan teras Rukun Perjuangan Melayu akan dibentangkan yang bertujuan untuk memastikan orang Melayu bersatu hati dalam menegakkan hak dan keadilan yang diperjuangkan.
"Antara intipati rukun itu ialah menjaga, memelihara dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan kedaulatan sebagai tonggak kewujudan Persekutuan Melayu serta mempertahankan kedudukan dan kesucian Islam sebagai agama rasmi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dijadual merasmikan kongres dua hari berkenaan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.
Kongres anjuran Majlis Muafakat Melayu yang diterajui Gabungan Penulis Nasional (Gapena) itu dijangka dihadiri 1,000 wakil daripada 300 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan merupakan reaksi terhadap perkembangan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Perhimpunan tersebut diadakan berikutan keputusan pilihan raya umum menunjukkan masyarakat Melayu kini berpecah belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi ekonomi dan politik.
Amiruddin berkata, satu jawatankuasa tetap Majlis Pemuafakatan Melayu turut akan ditubuhkan bagi memantau perkembangan orang Melayu secara berterusan.
"Jawatankuasa tersebut akan ditugaskan untuk memantau perjuangan orang Melayu secara berterusan dan menyeluruh," jelasnya.
Antara mereka yang akan hadir dalam kongres tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Johor, Tan Sri Muhammad Ali Hashim; tokoh budaya, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Hassan Ahmad.
Utusan Malaysia merupakan akhbar rasmi kongres berkenaan.
Amiruddin berkata, kongres itu hanya melibatkan wakil-wakil NGO dan bukan mereka yang terlibat dalam politik.
"Ini tiada kaitan dengan mana-mana parti politik," jelasnya.
Beliau turut dijemput orang ramai khususnya kaum Melayu bersama-sama menyertai program itu sebagai pemerhati.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia petang ini di Persada mendapati semua kerusi dan persiapan pentas telah dilakukan bermula tengah hari tadi.
Dewan yang boleh memuatkan hampir 3,000 orang itu turut dihiasi poster kongres di bahagian pintu masuknya.

(JOHOR) Kongres Permuafakatan Melayu bermula hari ini

UM 2/5/08

JOHOR BAHRU 1 Mei - Lebih 1,000 peserta yang mewakili 300 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan ‘berkampung’ selama dua hari di sini mulai esok untuk membincangkan pelbagai isu yang dijangka membawa kebangkitan baru kaum terbesar di Malaysia itu.
Kongres Permuafakatan Melayu itu merupakan antara pertemuan terbesar membabitkan orang Melayu pernah diadakan selepas perhimpunan yang membawa kepada penubuhan UMNO lebih 60 tahun lalu.
Perhimpunan esok bagi memperjuangkan hak dan kepentingan serta mempertahankan maruah Melayu ekoran semangat persepakatan yang dianggap kian ‘pudar’ berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.
Kongres itu dijadual disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar.
Kongres anjuran Majlis Muafakat Melayu yang diterajui Gabungan Penulis Nasional (Gapena) itu juga diadakan berikutan keputusan pilihan raya umum lalu menunjukkan masyarakat Melayu kini berpecah belah dan sedang berdepan dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi ekonomi dan politik.
Antara NGO ke kongres itu adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Anak Melayu Johor dan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini yang menjadi lokasi penting kongres berkenaan dijangka menjadi tumpuan ramai untuk mengetahui hasil dan resolusi yang akan dirumuskan bagi mempertahankan kedaulatan Melayu di negara ini.
Malah, sidang tersebut akan memberi peluang kepada wakil NGO berkenaan meluahkan pendapat dan seterusnya membuat resolusi penting pada Sidang Meja Bulat yang diadakan pada hari kedua kongres tersebut.
Sidang Meja Bulat yang bermula pukul 8.30 malam itu akan dipengerusikan oleh Prof. Datuk Zainal Kling dan Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan daripada Gabungan Penulis Nasional (Gapena).
Kongres itu dijadual bermula pukul 3 petang esok.
Sesi pembentangan melibatkan empat kertas kerja yang berkaitan Kedaulatan Politik Melayu, Kedaulatan Perlembagaan Malaysia, Kedaulatan Ekonomi Melayu dan Kedaulatan Agama, Kebudayaan dan Pendidikan Melayu.
Utusan Malaysia adalah akhbar rasmi kepada kongres ini.

(JOHOR) Subramaniam lawat estet siasat aduan pekerja

BH 2/5/08

JOHOR BAHRU: Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan lawatan mengejut di kawasan estet seluruh negara bagi meninjau keadaan pekerja asing berikutan menerima aduan kononnya kebajikan hampir 80 peratus pekerja asing di ladang terabai. Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata beliau sendiri akan turun padang melawat estet di Johor sebagai lokasi pertama bagi meningkatkan kesedaran majikan terutama pengurusan estet mengenai tanggungjawab terhadap kebajikan pekerja asing. Katanya, pekerja asing yang bekerja di negara ini dilindungi mengikut akta tertentu yang membolehkan mereka mempunyai hak menikmati gaji setimpal dan imbuhan lain daripada majikan.
"Majikan perlu sedar bahawa mereka perlu menghormati pekerja asing yang bekerja dengan mereka kerana pekerja asing itu manusia seperti kita," katanya di sini, semalam. Dr Subramaniam berkata, masalah itu semakin sukar diselesaikan apabila kebanyakan pekerja asing terbabit tidak diambil bekerja secara langsung dengan syarikat pengurusan estet, tetapi melalui ejen pekerja asing. Mengulas tindakan Kerajaan Selangor yang ingin mengubah cadangan mengenakan caj levi terhadap pekerja asing di negeri itu, Dr Subramaniam berkata, keputusan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana peraturan itu di bawah kuasa pentadbiran Persekutuan.
Katanya, alasan Kerajaan Selangor ingin menggunakan kutipan wang levi daripada majikan pekerja asing sebagai dana untuk melatih belia tempatan dalam pelbagai bidang kemahiran tidak perlu kerana kerajaan sudah menyediakan 26 institusi latihan perindustrian di negara ini. "Seramai 18,000 belia dapat menjalani latihan pada satu-satu masa dalam pelbagai bentuk kemahiran di institusi kerajaan dan sebenarnya, kita memang sentiasa memikirkan kaedah terbaik menyediakan latihan dalam melahirkan modal insan untuk mengisi keperluan industri," katanya. Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan mengenakan caj RM9 sebulan atau RM100 setahun terhadap kira-kira 1.5 juta pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai sektor bagi menyelesaikan masalah belia tempatan menganggur di negeri itu. Bagaimanapun, kelmarin, beliau berkata, kerajaan negeri sedang meneliti kaedah lain untuk dikenakan kepada pekerja asing yang tinggal di Selangor apabila levi tidak boleh dikenakan kerana mendapat bantahan beberapa pihak.

(JOHOR) Bernama: Pemuda PAS tidak iring pelajar

MALAYSIAKINI


May 1, 08 1:30pm
Ketua Pemuda PAS Johor tidak mengiringi seorang pelajar menyerah diri kepada polis berhubung siasatan kes ugutan bunuh terhadap pengerusi DAP Karpal Singh, jelas agensi berita nasional Bernama hari ini.Awal minggu ini, Khairul Faizi Ahmad Kamil termasuk antara empat pemimpin Pemuda PAS negeri yang dilaporkan oleh agensi berita itu turut serta ke ibu pejabat polis daerah Johor Bahru selatan untuk tujuan tersebut.Bernama juga mengakui kesilapan laporannya pada 28 April lalu berhubung penglibatan Pemuda PAS Johor. "Kesilapan itu adalah dikesali," kenyataan ralat agensi itu dipetik.Pembetulan itu diterbitkan tengah hari ini selepas sayap PAS itu semalam menuntut agensi berita menjelaskan kekeliruan tersebut dan memohon maaf kepada Khairul Faizi.Pemuda PAS negeri mengancam untuk mengambil tindakan saman terhadap agensi berita itu jika "permohonan maaf dan penjelasan secara terbuka tidak dilakukan dalam tempoh tujuh hari" mulai semalam."Setelah berita ini disiarkan, saya telah mendapat kritikan daripada beberapa pihak terhadap tindakan saya kerana (disalahanggap) telah mengiringi pelajar tersebut ke balai polis sedangkan perkara tersebut tidak ada kaitannya secara langsung dengan saya dan Pemuda PAS Johor," kata Khairul Faizi.Dalam laporan awalnya, pelajar kolej berumur 19 tahun menyerah diri kepada polis bagi siasatan kes ugut Karpal, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, yang dimuatkan dalam tulisan di laman web PAS Johor.Remaja itu yang dilaporkan diiringi bapanya tiba di balai polis Johor Bahru selatan pada pukul 1 tengah hari.