Selasa, 6 Mei 2008

(MUAR) 'Ada ahli UMNO dihalang hadir ceramah saya'

UM 6/5/08

MUAR 5 Mei - Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau mendapat maklumat bahawa ada anggota UMNO diugut supaya tidak menghadiri ceramahnya di Batu Pahat petang semalam dan di sini malam tadi.

Katanya, beliau menerima aduan daripada penganjur ceramahnya, iaitu Pemuda UMNO Cawangan Bandar dalam Bahagian Batu Pahat, dan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Muar.

"Ketua-ketua cawangan yang dijemput telah diminta supaya tidak hadir pada perjumpaan itu dan ada sesetengahnya menerima ugutan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah 'Ke Mana UMNO dan Orang Melayu Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12', di sini malam tadi.

Seramai 500 orang termasuk ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Ledang, Muar, Bakri dan Pagoh hadir.

Tengku Razaleigh berkata, kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana ceramah itu bukan perjumpaan haram.

Beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku ekoran hasratnya untuk bertanding merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

- Bernama

(AYER HITAM) Semua parti Melayu digesa sokong majlis muafakat

UM 6/5/08

Oleh Jaafar Ahmad

JOHOR BAHRU 5 Mei - UMNO Bahagian Ayer Hitam menyambut baik langkah Kongres Permuafakatan Melayu menubuhkan Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) bagi memantau, mempertahankan dan melaksanakan semua tuntutan berkaitan kedaulatan Melayu.

Ketuanya, Datuk Samsol Bari Jamali berkata, ini kerana penubuhan MMMM akan menjadi pelengkap kepada UMNO yang turut berjuang memartabatkan bangsa Melayu termasuk agama Islam dan raja-raja Melayu.

Bagaimanapun, menurutnya, penubuhan majlis itu tidak akan memberi kesan mendalam jika tidak didokong oleh semua pihak termasuk parti-parti politik Melayu yang berlainan ideologi.

"Saya melihat penubuhan MMMM adalah positif kerana ia memperjuangkan kedaulatan dan hak Melayu," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein semalam, bahawa Kongres Permuafakatan Melayu akan menubuhkan MMMM yang dianggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Menurutnya, MMMM akan dijadikan tempat rujukan dan wadah rasmi bagi menggerakkan apa juga resolusi yang telah dipersetujui dalam kongres tiga hari yang berakhir semalam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Johor cawangan Kluang, Mahmud Rohani berkata, penubuhan MMMM memang wajar bagi memastikan kedaulatan bangsa Melayu dan raja-rajanya tidak dicabar pihak tertentu.

"Ini kerana MMMM akan menjadi pemantau terhadap apa juga perkembangan yang membabitkan kepentingan dan hak Melayu," katanya.

Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu telah memberikan kesan terhadap bangsa Melayu sehingga memerlukan satu usaha drastik untuk mengembalikan kekuatannya.

"MMMM yang dianggotai NGO sewajarnya diberikan ruang untuk sama-sama memperjuangkan kedaulatan Melayu," katanya.

Isnin, 5 Mei 2008

(CERAMAH) Forum UMNO Pasca Pilihan Raya Umum 12 : Suara Hati Rakyat





Forum UMNO Pasca Pilihan Raya Umum 12 : Suara Hati Rakyat
Sabtu 17 Mei 2008 (8.30 pg – 2.00 Ptg)

Di Hotel M-Suite Johor Bahru

Ucaptama : Tun Dr Mahathir Bin Mohamad

Ahli Panel : Datuk A. Kadir Jasin, Datuk Mukhriz Tun Mahathir

Moderator : Datuk Syed Hussein Al-HabsheeMasuk Percuma, semua dijemput hadir. Sila emailkan nama dan nombor telefon untuk pendaftaran ke

mykmujohor@yahoo.com


ATURCARA MAJLIS :
8.00 pagi :

Ketibaan para tetamu Ketibaan Moderator, Ahli Panel dan Tetamu Kehormat Ketibaan Y.A.Bhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad. Nyanyian Lagu Negaraku dan UMNO Bersatu.


8.45 pagi :

Bacaan DoaUcapan Aluan Pihak Penganjur
9.00 pagi:
.Ucapan Keluh Kesah Rakyat Perihatin

9.30. pagi
FORUM UMNO Pasca Pilihan Raya Umum 12: Suara Hati RakyatSesi Soal Jawab
11.30 pagi :


2.00 petang :

Ucapan Rumusan oleh Y.A.Bhg Tun Dr. Mahathir.Sesi Soal JawabPerlancaran Portal http://www.mykmujohor.com/Penyampaian Cenderamata.Kenyataan Akhbar.
Jamuan Ringan dan Bersurai.

(PULAI) Umno Pulai tidak akan adakan EGM hanya untuk jatuhkan pemimpin

BERNAMA


05-05-2008 05:30:19 PM
JOHOR BAHARU: Umno Bahagian Pulai tidak akan mengadakan Mesyuarat Perwakilan Khas (EGM) jika ia hanya bertujuan semata-mata untuk menjatuhkan atau mencari kesalahan pucuk pimpinan parti, katanya Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau berkata Umno bahagian itu juga tidak pernah memberi sebarang restu kepada mana-mana anggotanya untuk mengadakan majlis bertujuan membuat resolusi atau mencari penyelesaian untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya kesal dengan tindakan segelintir pihak yang mengadakan program menggunakan nama Umno Bahagian Pulai yang kononnya bertujuan mencari resolusi terhadap apa yang berlaku pada pilihan raya umum lalu," katanya di sini hari ini bagi mengulas penganjuran "Program Percambahan Minda 2008" oleh Majlis Permuafakatan Akar Umbi Umno Pulai semalam.
Program tersebut yang dihadiri 15 orang ketua cawangan dan 100 anggota Umno Pulai dirasmikan oleh anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Hamzah Zainuddin yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Nur Jazlan, yang juga Anggota Parlimen Pulai, turut melahirkan rasa kesal kerana Hamzah, selaku anggota MT, turut dibabitkan dalam penganjuran majlis berkenaan tanpa mengetahui keadaan sebenar di sebalik majlis itu.
"Majlis berkenaan tidak mendapat restu daripada saya sendiri sebagai Ketua Bahagian atau jawatankuasa Umno Bahagian.
"Penganjur majlis berkenaan mempunyai niat tersirat dengan cuba mencari populariti kerana pemilihan Umno peringkat bahagian dan cawangan akan berlangsung bermula Julai depan," katanya.
Ditanya sama ada, penganjuran majlis berkenaan merupakan suatu petanda beliau akan dicabar untuk jawatan Ketua Bahagian dalam pemilihan Umno akan datang, Nur Jazlan berkata beliau akan mempertahankan jawatan itu.
"Saya dicabar dalam pemilihan Umno bahagian 2004 oleh ahli jawatankuasa Umno bahagian sendiri ketika itu, serta menang dan saya akan mempertahankan jawatan ini, jika dicabar sekali lagi," katanya. BERNAMA

(KHAS) Jangan pandang remeh tuntutan kongres: Muhyiddin

BERNAMA

05-05-2008 05:21:26 PM
KUALA LUMPUR: Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu yang mengandungi pelbagai tuntutan bagi mempertahankan kedudukan Melayu tidak harus dipandang remeh oleh kepimpinan Umno atau kerajaan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya ini adalah kerana resolusi yang dicapai merupakan hasil perbincangan yang timbul kerana orang Melayu di negara ini mempunyai persepsi bahawa pembelaan terhadap hakhak dan kepentingan mereka semakin lemah dan terhakis.
Muhyiddin yang juga Naib Presiden Umno berkata parti itu dan juga kerajaan harus memandang berat akan isuisu yang dibangkitkan kerana ia terhasil daripada perbincangan yang dihadiri oleh ramai tokoh yang memperjuangkan masa depan orang Melayu di negara ini.
"Ini merupakan melahirkan kebimbangan yang datang dari suara hati pemimpin-pemimpin Melayu serta badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili orang Melayu di negara ini.
"Sebenarnya apa yang diperjuangkan oleh mereka seharusnya juga apa yang diperjuangkan oleh Umno, cuma kepimpinan Umno pada hari ini dilihat seperti tidak lagi memberi perhatian," katanya selepas melawat persiapan akhir di tapak Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2008 (MIHAS 2008) di sebelah bangunan Matrade di sini, hari ini.
Beliau menyuarakan harapannya agar kepimpinan Umno dapat menerima usul kongres itu dengan hati yang terbuka dan ia tidak menimbulkan kesangsian kaum bukan Melayu.
Katanya orang bukan Melayu di negara ini tidak harus rasa tergugat oleh resolusi berkenaan kerana kongres itu tiada membuat tuntuntan terhadap hak bangsa lain seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Resolusi itu mengandungi tuntutan yang merangkumi aspek perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, Bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya termasuk menubuhkan "Majlis Muafakat Melayu Malaysia".
Resolusi itu telah diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar oleh ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein bersamasama dengan empat anggota kongres lain di Istana Bukit Serene di Johor, semalam.
Kongres tiga hari yang berakhir semalam dan bertemakan "Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa" itu dihadiri 2,100 peserta dan 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu. BERNAMA

(PULAI) Ahli Parlimen gesa setinggan pindah ke PPR

BH 5/5/08

Oleh Srihanasham Noordin
JOHOR BAHRU: Penduduk penempatan setinggan sekitar Kempas, perlu berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas yang sudah siap dibina khusus untuk mereka bagi menikmati kemudahan perumahan yang lebih selesa dan teratur seperti dinikmati penduduk lain. Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata kerajaan membina perumahan berkenaan atas kesedaran untuk memberikan kemudahan kediaman lebih selesa, selamat dan teratur kepada penduduk setinggan Kempas kerana penempatan sedia ada sering memberikan pelbagai masalah seperti banjir selain ketiadaan bekalan air serta elektrik. "Memang, saya akui ada sedikit kelemahan daripada segi penyelenggaraan di PPR Kempas kerana projek berkenaan belum siap sepenuhnya. Lebih 100 keluarga yang berpindah terlebih dulu adalah untuk memberikan laluan kepada pembinaan tangki kumbahan.
"Saya yakin Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menyelesaikan masalah berkaitan penyelenggaraan sebaik penduduk berpindah yang dijangka selewat-lewatnya akhir tahun ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keengganan sebahagian besar penduduk setinggan Kempas yang tidak mahu berpindah ke PPR Kempas dengan alasan perumahan berkenaan tidak mempunyai kemudahan infrastruktur mencukupi dan kurang selesa. Nur Jazlan yang juga Ketua Umno bahagian Pulai berkata, PPR Kempas yang dibina dengan kos lebih RM20 juta adalah contoh pembangunan in-situ dengan penduduk setinggan tidak dipindahkan ke luar kawasan bagi membolehkan mereka terus tinggal di kawasan berkenaan.
Katanya, penduduk yang tinggal di PPR berkenan hanya perlu membayar sewa RM114 sebulan dan dapat menikmati kemudahan elektrik, air serta infrastruktur lain yang lebih sempurna berbanding rumah setinggan. "Berhubung aspek penjagaan kebersihan yang kurang di PPR berkenaan, adalah lebih baik, penduduk menubuhkan Jawatankuasa Penduduk dan mengadakan gotong royong setiap minggu. Mereka tidak boleh bergantung kepada kerajaan untuk membersihkan kawasan kediaman mereka. "Masalah kekurangan tempat letak kereta pula boleh diatasi dengan perbincangan sesama penduduk. Bagaimanapun, sudah pasti di mana-mana, rumah PPR serta pangsa akan menghadapi masalah tempat letak kereta," katanya. Nur Jazlan memberi jaminan beliau akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan SPNB supaya memastikan semua aspek penyelenggaraan akan diatasi sebelum semua penduduk berpindah ke kediaman baru berkenaan.
Beliau berkata, penduduk setinggan Kempas yang mempunyai masalah berkaitan PPR berkenaan perlu berjumpa dengannya serta Umno bahagian bagi membolehkan satu perbincangan konkrit dilakukan, bukannya mendapatkan bantuan daripada pihak lain terutama pembangkang. Selain itu, Nur Jazlan mahu penduduk terbabit tidak terlalu emosional dengan meminta pelbagai tuntutan daripada kerajaan untuk berpindah sedangkan mereka patutnya sedar kerajaan tidak pernah mengenakan sebarang hukuman atau meminta bayaran daripada tanah yang mereka duduki secara haram. "Kita perlu rasional dalam hal ini, janganlah terlalu emosional...segala masalah ada jalan penyelesaian. Kadang-kadang, bila kita berbincang, kita hanya memikirkan apa yang diminta dan dituntut tanpa memikirkan sebarang penyelesaian yang perlu diambil dengan segera,” katanya.

(MUAR) 12 pelajar pendidikan khas usahakan sawah.



BH 5/5/08




Oleh Ahmad Othman
TEKUN: Pelajar membersihkan kawasan sawah yang diusahakan mereka di Teluk Rimba, Muar.
Murid SMK Tengku Mahmood Iskandar mampu hasilkan 24 tan padi MR220 dalam tempoh 3 tahun
JOHOR BAHRU: Pelajar pendidikan khas di Muar yang mengusahakan 0.8 hektar sawah mampu mengeluarkan 24 tan padi jenis MR220 melalui enam pusingan musim menuai dalam tempoh tiga tahun lalu. Ini bermakna keluasan sawah yang diusahakan itu bersamaan keluasan dua ekar mengikut sistem ukuran Imperial itu dapat menghasilkan secara purata empat tan padi bagi satu pusingan dalam tempoh 16 minggu.
Masalah kekurangan sumber makanan asas terutama beras yang sebahagiannya terpaksa diimport boleh diatasi sekiranya pihak berwajib memusatkan program pengeluaran makanan tempatan. Ini dibuktikan sekumpulan 12 pelajar dari Kelas Integrasi Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmood Iskandar, Sungai Mati, Muar melalui projek sawah padi yang diselia dua guru Pendidikan Khas iaitu Norhan Ahmari, 35, dan Mohd Dan Yusuf, 44. Berhampiran sekolah itu ada sawah seluas 324 hektar di Kampung Teluk Rimba dan projek itu dimulakan dengan menyewa sebahagian kecil tanah, iaitu 0.8 hektar.

BEGINI: Mohd Dan (kiri) memberi penerangan kepada pelajar.
Niat mereka untuk mempelajari asas pertanian melalui program berbudi kepada tanah mendapat sokongan termasuk Jawatankuasa Kelompok Sawah Padi Kampung Sungai Mati, Muar, Jabatan Pertanian dan Bernas melalui ikatan perkongsian pintar. Dari sudut pendidikan khas, usaha ini adalah sebahagian dari cabang Program Transisi Jabatan Pendidikan Khas (JPK) membangunkan potensi pelajar berkeperluan khas untuk melangkah ke dalam kehidupan bermasyarakat dan menjana pendapatan khusus sebagai petani moden menggunakan kemudahan sedia ada apabila mereka dewasa kelak. Mohd Dan yang pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas Johor, berkata kerja memulakan bendang sawah itu dilakukan serentak dengan pesawah tempatan. Selepas benih diperoleh dari Jabatan Pertanian, tanah bendang dibajak dua kali sebelum ditaburkan benih yang direndam selama satu malam sebelum ditos. Kerja meracun rumput pula dijalankan pada minggu pertama, merumput dan membaja pada minggu ketiga, keenam dan kesembilan.
Sawah akan dikeringkan pada minggu ke-12 apabila pokok padi mula mengeluarkan bunga dan boleh dituai menjelang minggu ke-16. "Sebaik selesai kerja menuai, membakar jerami dilakukan dan bendang dibajak semula bagi mengelak rumput rampai tumbuh meliar. Setiap dua ekar yang mereka usahakan boleh menghasilkan purata empat tan padi bagi satu pusingan 16 minggu di mana hasil dijual ke kilang padi di Jalan Salleh, Muar atau Bukit Rambai, Melaka. "Selain dijual kepada pekilang, pesawah dibenarkan hanya mengambil 200 kilogram beras yang dihasilkan, " katanya. Mohd Dan berkata, selain pendidikan akademik, pelajar turut diberi latihan vokasional asas mengendali dan membaiki mesin kecil yang berkaitan. Selain itu, melalui penyelidikan dan mengambil faktor alam persekitaran ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi tempatan, pihaknya menanam pisang tanduk, pisang nipah dan pisang nangka di sepanjang sempadan pagar sekolah. Katanya, pisang itu kemudian dijadikan kerepek, digoreng dan dipasarkan sementara daun pisang dijadikan bungkusan makanan yang mendapat permintaan daripada peniaga makanan. Beliau berkata, tanaman serai diusahakan di tanah rizab milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhampiran institusi pendidikan itu untuk memaksimumkan penggunaan tanah. Pelajar Fadli Mustari, 17, berkata dia seronok belajar sambil bekerja kerana mendapat ilmu dan pengalaman. "Lagi pun banyak tanah yang boleh diusahakan. Berbudi kepada tanah banyak manfaat dan kita dapat keluarkan hasil bumi untuk sumber makanan, " katanya. Azhar Abdul Rahman, 19, pula berharap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) permudahkan pelajar berkeperluan khas sepertinya untuk mendapatkan lesen memandu traktor. "Musuh besar dan penghalang sebagai petani ialah malas dan angan-angan Mat Jenin," katanya.