Jumaat, 25 April 2008

(SPG RENGGAM) PAS tidak rela Johor jadi 'Muzium Umno'

Salman Hussin Fri Apr 25, 08 12:11:23 pm MYT
KLUANG, 25 April (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr Mahfodz Mohamad, bertekad tidak akan merelakan negeri ini terus kekal sebagai kubu kuat Umno di negara ini, apatah lagi hasrat untuk menobatkan Johor sebagai 'Muzium Umno'. -->-->
"Bahkan sekarang ini pun istilah keramat ini sudah mulai luntur sedikit demi sedikit ditelan zaman, hanya menunggu masa dan ketikanya sahaja untuk pupus dan lenyap dari muka bumi Johor ini, Insya-Allah.
"Kita akan menyekat sebarang usaha untuk terus merealisasikan ungkapan ini di Johor dan kita akan memastikan bukan sahaja Negeri Johor tidak berjaya dijadikan sebagai 'Muzium Umno', sebaliknya kita berazam untuk meletakkan Umno sebagai 'artifak' yang hanya sesuai dipamerkan di dalam muzium sahaja," katanya di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas sindiran sesetengah pihak berikutan kegagalan PAS Johor menawan negeri ini pada Pilihan raya Umum Ke-12 lalu.
Pada PRU lalu, PAS Johor hanya mampu menawan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), iaitu Maharani dan Sungai Abong, DAP pula memperolehi satu kerusi Parlimen (Bakri) dan empat Dun (Bentayan, Mengkibul, Senai dan Skudai), manakala Dun tunggal dimenangi pembangkang (PAS) pada PRU Ke-11, iaitu Dun Senggarang, gagal dipertahankan.
"Walau pun sindiran ini sangat tajam bagi kita, namun, PAS Johor menganggap ianya satu gurauan yang perlu dijadikan iktibar dan cabaran yang perlu diterima secara positif oleh setiap pendokong Pakatan Rakyat di negeri ini, khususnya PAS.
"PAS Johor tidak sedikit pun berkecil hati atau marah terhadap sindiran sahabat-sahabat kita yang menang di beberapa negeri pada PRU baru-baru ini, sebaliknya kita akan menjadikan ianya sebagai satu cabaran yang perlu diberi perhatian serius dan tidak boleh dipandang enteng," katanya pada majlis perasmian tujuh cawangan baru PAS, di Parlimen Simpang Renggam, dekat sini, baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis ini Anggota Parlimen Jerai, Ustaz Mohamad Firdaus Jaafar, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Atan Gombang, Ketua Dewan Ulamak PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussein, serta 200 ahli baru dari cawangan Bukit Batu, Bukit Keremoiyang, Kampung Md Amin, Kampung Batu 6, kampung Penak, Empangan Macap dan Paya Mas, yang menyertai PAS selepas PRU lalu.
Katanya, penyertaan 200 ahli baru PAS di Parlimen Simpang Renggam ini menunjukkan PAS semakin mendapat perhatian dan sokongan rakyat, fenomena seumpama ini juga berlaku di semua kawasan selepas PRU lalu dan ini adalah petanda yang sangat positif bagi masa depan PAS Johor.
"Ini kerana rakyat hari ini terutama kalangan anak-anak muda dan juga golongan bukan Islam merasakan Umno-BN sudah tidak relevan lagi masa kini, sebab itu mereka beramai-ramai beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat pula.
"Perkembangan menarik yang berlaku mutakhir ini di Johor jelas menunjukkan harapan yang sangat cerah bagi kita untuk menggagalkan usaha untuk menjadikan negeri ini sebagai 'Muzium Umno'," ujarnya lagi.
Sementara itu Anggota Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, semasa berucap pada majlis yang sama, menyelar sikap pemimpin Umno yang tidak dapat menerima kekalahan mereka pada PRU Ke-12 lalu.
"Dalam apa-apa keadaan sekali pun, mereka seboleh-bolehnya mahu kemenangan sentiasa memihak kepada mereka, walaupun jelas rakyat sudah tidak mahukan mereka lagi, tetapi amat sukar bagi mereka untuk menerima kenyataan ini, sikap ini menggambarkan pemikiran yang jumud serta tidak profesional pemimpin Umno," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kementerian Pelancungan, membatalkan hubungan dengan lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, baru-baru ini.
Katanya, mereka lupa bahawa lima negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat adalah atas kehendak rakyat, mereka wajar menghormati keputusan rakyat ini, bukan menafikannya.
"Tindakan memutuskan hubungan serta membatalkan peruntukan dalam sektor pelancongan di lima negeri di kuasai Pakatan Rakyat ini adalah satu tindakan yang sangat tidak cerdik dan angkuh, tindakan ini juga sekali gus akan menambahkan lagi kemarahan rakyat terhadap mereka," katanya.
Firdaus yang juga exco pemuda PAS Pusat, selanjutnya berkata, inilah sikap sebenar pemimpin-pemimpin Umno, mereka begitu angkuh dan sombong.
"Mereka lupa disebabkan keangkuhan dan kesombongan inilah yang menyebabkan rakyat menolak mereka pada PRU lalu.
"Jika perangai mereka ini berterusan maka tidak mustahil suatu hari nanti rakyat Johor juga akan mengikuti jejak langkah rakyat negeri-negeri lain yang dikuasai Pakatan Rakyat, menolak mereka pada PRU Ke-13 nanti," katanya. - mns

(JOHOR) 8,000 unit rumah di Johor tidak laku

UM

Oleh Maznah Mohd. Arsad
JOHOR BAHRU 24 April - Sebanyak 8,000 unit rumah bernilai kira-kira RM1 bilion di negeri ini yang telah siap dibina sejak lima tahun lalu tidak laku dijual.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Johor, Steven Shum berkata, punca rumah itu tidak terjual terbahagi kepada beberapa faktor antaranya kerana kurang mendapat sambutan daripada pembeli bumiputera.
Faktor lain pula katanya, ialah lokasi kurang strategik manakala bakinya ialah kurang minat daripada para pembeli lain.
"Kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diminta memberikan perhatian sewajarnya terhadap masalah itu.
"Sebagai contoh, soal rumah milik bumiputera, kerajaan dicadangkan agar melonggarkan beberapa syarat bagi membolehkan rumah tersebut dijual," katanya pada sidang akhbar sempena Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2008 di City Square di sini hari ini.
Mengenai ekspo itu, Steven berkata, ia adalah sambutan tahun ke-10 bagi mempamerkan model rumah dari pelbagai jenis dan kategori yang kesemuanya bernilai RM2.1 bilion.
Menurutnya, ekspo tersebut memberi peluang kepada para pemaju untuk mempamerkan produk hartanah masing-masing.
Pada waktu yang sama, orang ramai boleh menilai serta membuat pemilihan sebelum membeli rumah yang dirasakan sesuai untuk mereka.
Beliau memberitahu, pihaknya menjangkakan ekspo kali ini mampu menjual rumah yang nilainya sekitar RM100 juta.
"Sasaran kita bukan sahaja pelanggan domestik malah pelanggan asing yang terdiri daripada ahli perniagaan dan juga profesional dari Singapura, India, negara-negara Timur Tengah, Vietnam dan Sri Lanka," katanya.

(JOHOR) Hasil padi 10 tan sehektar


UM




Oleh SUNARTI KIBAT
ABD. Aziz Kaprawi ketika melawat ladang buah naga di Kampung Chamek, Kluang, petang semalam.
BATU PAHAT 24 April - Johor menyasarkan untuk meningkatkan keluaran padi kepada 10 tan metrik sehektar bagi setiap musim sebagai langkah membantu menambah pengeluaran beras tempatan pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Abd. Aziz Kaprawi berkata, sasaran itu akan cuba dicapai menerusi langkah mengoptimumkan pengeluaran dengan menggunakan pengurusan terbaik.
Beliau berkata, melalui usaha itu ia akan meningkatkan lagi jumlah sumbangan Johor terhadap keluaran padi negara pada masa depan.
Katanya, ketika ini Johor menyumbangkan sekitar 0.5 peratus keluaran padi negara dan ia masih dianggap kecil serta mempunyai banyak ruang untuk dipertingkatkan.
"Pengurusan yang kurang baik dan cekap setakat ini dikenal pasti punca pengeluaran padi di negeri ini belum mencapai jumlah pengeluaran optimum," katanya.
Johor kini mempunyai seluas 2,300 hektar kawasan sawah padi di Endau, Sagil, Sungai Balang dan Kahang dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 3.5 tan metrik sehektar.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ladang buah naga dan ternakan kambing milik Abdul Khalid Baba di Kampung Chamek, Kluang petang semalam.
Abd. Aziz kemudiannya mengadakan lawatan ke Projek Sawah Padi Organik di Kahang iaitu dalam siri program lawatan kerjanya selepas mengetahui portfolio berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja memberitahu, antara pendekatan yang dilakukan adalah dengan menggunakan jentera moden dan prasarana pertanian yang terbaik terutamanya sistem pengairan.
Beliau berkata, para petani patut diberikan subsidi dalam mendapatkan kemudahan menggunakan jentera pertanian moden dan terkini.
Katanya, sistem pengairan yang disediakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) amat penting bagi kawasan-kawasan terbabit dan ia harus dipastikan berfungsi dengan baik.
Usaha tersebut memerlukan kos yang tinggi dan beliau berharap peruntukan berjumlah RM4 bilion untuk pertanian padi turut disalurkan ke Johor.
"Kalau dapat satu peratus daripada peruntukan tersebut pun sudah memadai untuk melaksanakan usaha-usaha tersebut," katanya.
Bagaimanapun, Abd. Aziz memberitahu, Johor belum bercadang untuk menambah jumlah keluasan sawah padi dan hanya akan menumpukan usaha mengoptimumkan penggunaan kawasan yang ada.

(MUAR) Kelas tuisyen Pemuda Umno

BH 25/4/08

MUAR: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan Seri Menanti dan Sungai Balang, di sini, berpeluang mengikuti kelas tuisyen bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, bermula 2 Mei ini. Kelas tuisyen anjuran Pergerakan Pemuda Umno Zon Seri Menanti itu akan diadakan di bangunan Sekolah Agama Seri Menanti pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 8 malam hingga 10 malam. Naib Pengerusi Penganjur, Zulkifli Yaakub, berkata program pendidikan itu bertujuan membantu pelajar mendapatkan keputusan cemerlang dalam tiga mata pelajaran yang menjadi teras di setiap peperiksaan yang bakal mereka duduki kelak.
Beliau berkata, program yang mendapat persetujuan Ketua Pemuda Umno Johor, Razali Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Muar itu menyediakan tenaga pengajar berkelayakan, termasuk guru berkelulusan pusat pengajian tinggi awam tanah air. "Sebahagian besar tenaga pengajar adalah anak tempatan yang berjaya dalam bidang pendidikan serta menunjukkan minat untuk menyumbang terhadap usaha memperkasakan pendidikan anak bangsa di luar bandar. "Langkah itu bertujuan mengelak pelajar luar bandar tercicir daripada menikmati peluang pendidikan nasional yang menyediakan pelbagai jurusan keilmuan mengikut kemampuan penguasaan pelajar," katanya.
Zulkifli berkata, langkah membuka kelas tuisyen di kampung itu juga membolehkan pelajar mengikuti kelas yang berdekatan dengan kediaman masing-masing tanpa memerlukan perbelanjaan pengangkutan. Beliau berkata, pelajar dan ibu bapa yang berminat menghantar anak mereka ke kelas berkenaan boleh menghubungi telefon bimbit 013-7247246 (Jumain), 019-7774624 (Cikgu Selamat), 019-7480231 (Cikgu Faizal), 012-3659253 (Razi) dan 013-6191097 (Zulkifli).

(TENGGARA) Generasi kedua Felda dibela

BH 25/4/08

Oleh Johan Afandi
Jawatankuasa bertindak pastikan mereka dapat tapak rumah, nikmati kemudahan pembangunan terancangKOTA TINGGI: Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Tapak Kediaman Generasi Kedua Felda yang ditubuhkan di setiap tanah rancangan Felda di kawasan Parlimen Tenggara akan memastikan generasi kedua peneroka dapat menikmati kemudahan seperti peneroka terdahulu. Ahli Parlimennya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata jawatankuasa yang akan bekerjasama rapat dengan setiap agensi serta jabatan kerajaan berkaitan akan memastikan generasi kedua mendapat tapak kediaman sendiri selain menikmati pembangunan secara lebih terancang.
Beliau berkata, langkah itu perlu memandangkan generasi kedua Felda di empat tanah rancangan Felda dalam Parlimen Tenggara, Bukit Ramun, Bukit Besar, Sungai Sayong serta Pasir Raja, kini sudah melebihi 50,000 orang. "Melihat kepada angka ini, keperluan untuk menyediakan kediaman kepada generasi kedua ini amat mendesak. "Jawatankuasa ini akan membangunkan tapak kediaman untuk mereka selain membantu Ahli Parlimen melihat permohonan untuk meningkatkan kemudahan asas serta menyediakan pelan pembangunan yang lebih terancang," katanya di sini, semalam.
Halimah berkata, beliau juga akan meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) daerah untuk mengenal pasti tanah kosong milik kerajaan negeri dalam Parlimen Tenggara untuk dikurniakan kepada generasi kedua Felda bagi memastikan mereka tidak terus bergantung dengan keluarga masing-masing. Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan kawasan khusus di semua empat penempatan Felda berkenaan bagi pembangunan tapak kediaman generasi kedua pada Ogos lalu. "Seramai 573 generasi kedua Felda dari empat penempatan itu menerima tapak kediaman masing-masing dan mereka kini dalam proses membayar premium kepada PTG daerah sebelum menerima hak milik masing-masing," katanya.

(MERSING) Felda Endau jauh ketinggalan

BH 25/4/08
Oleh Sahlina Sahkirin
INDAH KHABAR DARI RUPA: Mohd Noer menunjukkan pintu gerbang Felda Endau.




USANG: Rumah yang dibina ketika mula-mula peneroka menduduki Felda Endau kira-kira 50 tahun lalu.


Peneroka tanah rancangan tertua di Johor masih diami rumah asal, tidak nikmati pembangunan seperti kawasan lainMERSING: Felda Endau di sini, yang mencecah usia lebih 50 tahun, adalah tanah rancangan Felda yang tertua di daerah ini, tetapi pembangunannya tidak mencerminkan usia yang menyamai kemerdekaan negara, jika dibandingkan dengan tanah rancangan lain. Tidak seperti jirannya iaitu Felda Gugusan Tenggaroh dan Nitar, Felda Endau nyata jauh ketinggalan daripada segi pembangunan serta kemudahan yang sepatutnya sudah dinikmati penduduk.
Tinjauan Berita Harian ke kawasan berkenaan mendapati, tidak banyak perubahan yang berlaku di penempatan berkenaan dengan masih banyak lagi rumah asal peneroka yang terus didiami generasi kedua dan ia mencerminkan ketiadaan kemajuan yang sepatutnya dinikmati mereka. Berikutan itu, penduduk Felda berkenaan, majoriti generasi keduanya, mahukan pembangunan pesat seperti yang terdapat di Felda lain di negara ini, turut berlaku di tanah rancangan berkenaan. Seorang daripada generasi kedua Felda itu, Mohd Noer Mahmud, 35, berkata sejak lebih 10 tahun lalu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Endau langsung tidak pernah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai kemajuan serta pembangunan.




Beliau berkata, atas sebab itu, penduduk mahu jawatankuasa sedia ada dibubarkan dan diganti dengan jawatankuasa baru yang sudah tentu mempunyai pelbagai idea serta perancangan bagi membangunkan penempatan berkenaan. "Sejak penempatan ini dibuka, tiada pemimpin yang berkunjung ke sini, seingat saya yang terakhir adalah Menteri Besar, Datuk Ajib Ahmad yang juga ketika itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Endau meninjau pembangunan di sini, serta apa yang diperlukan penduduk," katanya. Mohd Noer berkata, generasi kedua mahu pembangunan dan kemajuan Felda berkenaan segera dinikmati dalam tempoh terdekat ini, dalam memastikan nasib serta kebajikan mereka terus terpelihara. Beliau berkata, jika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Felda meninjau penempatan itu, sudah tentu beliau akan berasa sedih melihat kedaifan peneroka Felda terutama sekali, dengan rumah yang usang serta tidak terurus.
Seorang lagi peneroka, Kamaru Bahrum Karim, 47, berkata, beliau berasa hairan mengapa ada hak milik tanah peneroka yang sudah melangsaikan hutangnya dengan Felda, masih tidak diserahkan kepada mereka. Beliau berkata, peneroka membayar cukai tanah berkenaan setiap tahun, tetapi pihak pengurusan Felda masih terus menyimpan geran berkenaan. Katanya, pihak pengurusan perlu menyerahkan geran tanah berkenaan kepada generasi kedua kerana segala hutang sudah lama dilangsaikan. Sehubungan itu, beliau meminta pihak pengurusan berkenaan segera menyerahkan geran berkenaan kepada mereka yang terbabit. Seorang lagi peneroka, Basre Othman, 50, berkata sejak menduduki Felda itu, lebih tiga puluh tahun lalu, tiada seorang pemimpin yang pernah berkunjung ke penempatan berkenaan. "Ia menyebabkan pemimpin tidak mengetahui masalah yang menimpa kami di sini, yang langsung tidak sesuai dengan status sebagai penempatan Felda. Saya benar-benar berharap supaya pihak bertanggungjawab segera datang ke sini, menjenguk kami," katanya. FAKTA: Felda Endau
Terdapat lebih 10 penempatan Felda di sekitar daerah Mersing dan Felda Endau adalah antara tertua, sejak mula dibuka pada awal 1957.
Felda ini, didiami lebih 3,000 keluarga peneroka yang majoritinya terdiri daripada generasi kedua.
Penduduk mendakwa tiada pemimpin setempat yang melawat penempatan berkenaan sejak Datuk Ajib Ahmad menjadi Menteri Besar Johor iaitu sekitar awal 1980-an.

(JOHOR) Pengurus ASJ sedia disiasat BPR

BH 24/4/08

Oleh Srihanasham Noordin
Syarikat tidak sembunyikan maklumat berkaitan susutan dana kepada RM23 jutaJOHOR BAHRU: Pengurus skim unit Amanah Saham Johor (ASJ), Pelaburan Johor Berhad (PJB), bersedia untuk disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR), jika ada pihak terutama pemegang saham mengandaikan berlaku penyelewengan dalam pengurusan unit amanah itu. Timbalan Pengerusi PJB, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, berkata semua pemegang saham mempunyai kebebasan untuk meminta BPR menyiasat ASJ berikutan punca dana saham itu yang semakin susut daripada RM48 juta kepada RM23 juta.
Katanya, PJB yang juga anak syarikat Johor Corporation (JCorp) menguruskan ASJ sejak Mei 1992 tidak menyembunyikan apa-apa dan susutan dana berpunca daripada tindakan PJB melupuskan unit saham yang dijual semula pemegang saham kepada PJB. "Tindakan PJB melupuskan unit saham yang dijual semula pemegang saham adalah mengikut peraturan dan undang-undang dibenarkan. "Apabila pemegang saham menjual semula saham mereka, PJB berhak melupuskan unit itu bertujuan mengecilkan jumlah dana dan dana itu susut kerana ia digunakan membayar kembali kepada pelabur," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Luar Biasa (EGM) Pemegang-Pemegang Unit ASJ ditangguhkan di Hotel Puteri Pacific, di sini, semalam. EGM ASJ terpaksa ditangguhkan selepas hanya 1,286 pemegang unit hadir dan menghantar borang proksi. Jumlah itu tidak mematuhi 25 peratus kehadiran ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerusi Garis Panduan Skim Unit Amanah bagi membolehkan mesyuarat dijalankan untuk meluluskan resolusi luar biasa. Katanya, PJB pernah disiasat firma audit yang dilantik SC dan Bursa Malaysia pada 1998 hingga 1999 apabila nilai saham jatuh ketika kemelesetan ekonomi pada 1997. Sementara itu, katanya, EGM yang bertujuan menutup ASJ itu ditangguhkan ke 15 Mei depan.
Muhammad Ali berkata, dengan penangguhan itu, harga ASJ pada nilai aset bersih adalah RM0.549 sen setiap unit kerana harga tawaran Skim Belian Balik Bersyarat sudah tamat bulan ini. Bagaimanapun, katanya, pengurusan akan merayu kepada JCorp untuk menyambung semula perjanjian dan tawaran skim pemulihan itu pada harga RM1, sama seperti harga belian pemegang saham pada mula ASJ dilancarkan semula pada 1992. ASJ dulu dikenali sebagai Tabung Pelaburan Johor adalah skim unit amanah negeri yang pertama dilancarkan pada 25 Oktober 1977 sebelum dilancarkan semula oleh PJB menjadi dana yang menggabungkan modal individu Bumiputera. Pada Februari 2004, kerajaan negeri dan JCorp melaksanakan skim pemulihan harga ASJ secara berperingkat selama tiga tahun yang membenarkan pemegang saham menebus unit masing-masing pada harga RM1. Bermula 15 Februari 2007, pemegang saham dibenarkan menebus semua unit pegangan mereka pada nilai sama hingga 8 April lalu.

Rabu, 23 April 2008

(JOHOR) Konvensyen Pemuda Johor Rumuskan 149 Perkara Untuk Mantapkan Parti

http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=7448

20/4/08

Oleh Indera Ahmad
Johor Bahru -- Konvensyen Pemuda UMNO Johor yang berlangsung semalam telah membangkitkan 149 perkara termasuk faktor kepimpinan dan peranan Pergerakan Pemuda UMNO dalam merealisasikan matlamat parti.
Konvensyen berkenaan yang dihadiri 350 orang termasuk Ketua Pemuda Bahagian dan Ketua Pemuda Cawangan dari Johor merupakan usaha pergerakan itu untuk menilai keadaan semasa politik negara. Ketua P
emuda UMNO negeri, YB Razali Ibrahim berkata semua wakil yang hadir telah membangkitkan pelbagai perkara dan idea untuk untuk diketengahkan kepada pucuk pimpinan parti dalam usaha mengukuhkan kembali UMNO.
"Saya cukup bangga dengan penyertaan para peserta yang memberikan pelbagai pendapat berhubung keadaan yang berlaku. Semua perkara itu akan dikemukakan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
"Saya amat berharap suara akar umbi ini akan mendapat perhatian daripada pucuk pimpinan selain dapat memperkukuhkan perpaduan UMNO di samping dijadikan rujukan untuk memperkemaskan lagi strategi parti", katanya.
Sebanyak empat bengkel diwujudkan pada konvensyen berkenaan iaitu UMNO Parti Melayu, Formula Barisan Nasional, Adakah Masih Relevan, Peranan Ahli Pemimpin dan Pemuda serta Apa Orang Muda Mahu Dan Sanggup Sumbangkan.
Razali yang juga Ahli Parlimen Muar seterusnya berkata konvensyen berkenaan adalah yang terbaik untuk seluruh ahli pemuda negeri itu memberikan pandangan masing-masing.
"Selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, kami tidak berpeluang mengumpul semua petugas pilihan raya yang terlibat, jadi ini adalah ruang terbaik untuk mengumpul semua pemimpin Pemuda.
"Pelbagai perkara telah dibangkitkan dan kami catatkan semua perkara ini untuk dijadikan rujukan pucuk pimpinan parti," ujarnya.

Selasa, 22 April 2008

(KOTA TINGGI) 237 dapat lot kediaman

BH 20/4/08

Oleh Mustapha Ismail
Generasi kedua peneroka lega dapat tinggal tetap di tanah rancangan Felda Sungai SayongKOTA TINGGI: Lebih 200 anak peneroka Felda Sungai Sayong (FSS), dekat sini, menganggap peluang memiliki tempat tinggal sendiri di tanah rancangan berkenaan sebagai hadiah paling berharga. Ini kerana mereka yang dikategorikan sebagai generasi kedua di tanah rancangan Felda itu, tidak lagi perlu tinggal serumah bersama keluarga atau menyewa di tempat lain.
Bagi mereka, tawaran serta peluang diberi pengurusan Felda kepada generasi kedua untuk memiliki lot kediaman sendiri di kawasan tanah rancangan itu seperti pucuk dicita ulam yang mendatang. Malah, mereka turut menganggap langkah itu sebagai tindakan serampang dua mata yang dapat mengelak penghijrahan generasi muda, selain memastikan tenaga kerja tidak ketandusan di tanah rancangan itu. Permohonan mendapatkan lot disediakan Felda itu amat menggalakkan sekali gus membuktikan semangat generasi kedua untuk terus tinggal di tanah rancangan yang dibangunkan keluarga masing-masing, masih wujud.
Borang permohonan tawaran lot berkenaan, diedar kepada yang berminat pada awal 2005 dan semua pemohon menjalani proses temu duga beberapa bulan kemudian. Proses temu duga permohonan dikendali Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi pada 26 Mei 2005 dan cabutan undi bagi menentukan lot kepada pemohon berjaya, diadakan pada 15 April lalu. Majlis Perasmian Undian Tanah Penempatan Kampung FSS yang berlangsung di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan FSS itu disempurnakan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamad Sadique. Seramai 237 daripada 247 pemohon berjaya menepati syarat ditetapkan dan berpeluang memiliki satu daripada 248 plot tanah pelbagai keluasan yang akan dibangunkan menjadi Kampung FSS.
Sebahagian besar pemohon didapati begitu bersemangat dan tidak sabar untuk membangunkan kawasan berkenaan menjadi penempatan generasi kedua tanah rancangan itu. Mahbob Salleh, 47, berkata peluang diterima itu adalah sesuatu yang begitu besar ertinya kepada generasi kedua dan tidak akan disia-siakan. "Saya sudah tinggal di tanah rancangan ini sejak kira-kira 40 tahun lalu dan tawaran memiliki lot kediaman dikemukakan Felda kepada generasi kedua itu, sama seperti peribahasa Melayu yang mengatakan kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan. "Sebelum ini, saya yakin ramai pemohon yang sudah berkeluarga terpaksa tinggal sebumbung bersama ibu bapa mereka di tanah rancangan berkenaan atau menyewa rumah di tempat lain,” katanya. Beliau yakin langkah itu juga dapat mengatasi beberapa masalah seperti penghijrahan serta kekurangan tenaga kerja. Seorang lagi pemohon, Saniah Hassan, 47, juga terpaksa tinggal bersama ibu dan bapa mereka sejak berpindah ke tanah rancangan itu kira-kira 40 tahun lalu. "Peluang diberikan Felda ini tidak akan saya lepaskan begitu saja kerana sejak berumah tangga kami terpaksa tinggal bersama keluarga atau menyewa kediaman lain. "Saya dan suami merancang untuk membina rumah dan tinggal bersama anak-anak di atas lot tanah yang ditawarkan Felda kepada generasi kedua FSS ini," katanya. Ghazali Abd Samat, 37, pula berpendapat perkembangan keluarga asal peneroka tanah rancangan itu menyebabkan ramai daripada anak mereka, terutama yang sudah berkahwin terpaksa mencari tempat tinggal lain. "Sebahagian besar anak peneroka mahu kekal tinggal di tanah rancangan ini, tetapi masalah kekurangan tempat tinggal di situ menyebabkan ada yang terpaksa menyewa kediaman di tempat lain. "Saya berpendapat langkah memberi peluang kepada generasi kedua memiliki lot kediaman di kawasan rancangan ini adalah satu tindakan bijak yang dapat mengelak orang seperti kami berpindah ke tempat lain," katanya. Salamat Ahmad, 45, berkata beliau yakin langkah dilaksana Felda untuk membahagikan tanah lebih di sesebuah kawasan rancangan kepada generasi kedua sebagai suatu tindakan tepat dan kena pada masanya. "Ia tidak saja memberi peluang kepada kami memiliki lot kediaman sendiri di tanah rancangan ini, tetapi dapat mengelak sesebuah kawasan Felda menjadi sepi dan kurang generasi pelapis," katanya. Nor Esah Abd Manap, 45, juga berpendapat langkah dilaksana Felda itu dapat memberi peluang kepada anak peneroka, terutama yang ramai adik-beradik terus tinggal di tanah rancangan itu. "Sebagai anak daripada keluarga yang ramai, saya yakin tidak semua berpeluang mewarisi apa yang diberikan Felda kepada ibu bapa kami. Jadi, pembahagian lot yang dilakukan ini dapat mengatasi masalah berkenaan," katanya. Sementara itu, Pentadbir Tanah Daerah Kota Tinggi, Azmi Rohani, berkata pihaknya berharap pemohon yang berjaya mengambil langkah untuk memajukan lot masing-masing dan tidak menjualnya kepada pihak lain. Beliau turut menasihatkan pemohon yang berjaya segera menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Generasi Kedua bagi menyelesaikan pelbagai masalah seperti kerja meratakan tanah. "Dalam hal ini, kita semua perlu bersatu dan jangan mementingkan diri sendiri,” katanya.

(JOHOR) 280 guru al-quran belum dapat alaun

BH 21/4/08

BATU PAHAT: Kira-kira 280 guru al-Quran yang bertugas di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor, mendakwa sukar untuk meneruskan hidup kerana belum menerima elaun masing-masing sejak 10 bulan lalu. Mereka yang dilantik Jabatan Agama Johor (JAJ) pada pertengahan tahun lalu itu, mendakwa setiap seorang dijanjikan elaun sebanyak RM500 sebulan untuk mengendali kelas pengajian al-Quran selama enam jam sehari. Sumber yang enggan identitinya disiarkan berkata, masalah pembayaran elaun dihadapi guru terbabit sudah beberapa kali dirujuk kepada pihak berkaitan, tetapi jawapan diterima mereka kurang memuaskan.
"Kami dilantik JAJ mengendali kelas pengajian al-Quran di masjid dan surau dalam setiap kawasan DUN, pada Jun tahun lalu dan dibayar elaun RM500 sebulan seorang, bagi kelas lima hari seminggu itu. "Bagaimanapun, hingga kini kami agak kecewa apabila mendapati elaun dijanjikan itu belum dilunaskan, walaupun masalah berkenaan sudah beberapa kali dirujuk kepada pihak terbabit," katanya. Sumber berkata, masalah berkenaan turut dirujuk kepada beberapa wakil rakyat bagi mendapatkan pembelaan, tetapi hingga kini belum menampakkan sebarang perkembangan atau penyelesaian terhadap kemelut dihadapi.
Beliau berkata, masalah elaun itu penting dan perlu segera diselesaikan, bagi kelangsungan hidup guru terbabit yang kini terpaksa memberikan tumpuan sepenuh masa terhadap tugas dipikul mereka itu. Katanya, guru terbabit tidak dapat melakukan kerja lain bagi mendapatkan pendapatan tambahan untuk menyara keluarga, kerana sebahagian besar masa mereka ditumpukan kepada menggendalikan kelas berkenaan. "Justeru, kami berharap masalah pembayaran elaun dihadapi guru al-Quran yang sudah tertunggak selama 10 bulan ini mendapat perhatian dan pertimbangan pihak berkaitan, termasuk kerajaan negeri. "Jika boleh, kami mahu ia segera diselesaikan bagi mengelak tunggakan yang kini dianggar berjumlah lebih RM1 juta itu, membebankan pihak terbabit," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Penghayatan al-Quran Bahagian Pengurusan Masjid JAJ, Suhadi Misran, berkata urusan pembayaran elaun kepada guru terbabit dikendali kerajaan negeri serta Majlis Agama Islam Johor (Maij). Beliau berkata, pembayaran elaun RM500 sebulan seorang bagi enam bulan pertama kepada guru terbabit diuruskan kerajaan negeri, manakala enam bulan berikutnya diserahkan kepada Maij untuk dilunaskan. Katanya, setiap kawasan DUN mempunyai antara tiga hingga lima guru yang dipertanggungjawab menggendali kelas al-Quran enam jam sehari di masjid serta surau di negeri itu. "Setakat ini, saya dimaklumkan Maij sudah menyediakan cek untuk pembayaran elaun kepada guru terbabit bagi tempoh Julai hingga Disember tahun lalu dan yakin masalah berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.

(KOTA TINGGI) 498 anak peneroka ceria dapat tanah


BH 21/4/08




KOTA TINGGI: Seramai 498 anak peneroka di empat tanah rancangan Felda, iaitu Felda Pasir Raja, Sungai Sayong, Bukit Besar dan Bukit Ramun, di sini gembira apabila permohonan yang dibuat kira-kira empat tahun lalu untuk memiliki tanah lebihan di Felda terbabit akhirnya diluluskan kerajaan negeri, baru-baru ini. Pengurniaan tanah itu sekali gus memberi peluang kepada generasi kedua itu meneruskan usaha memajukan tanah rancangan yang sebelum ini dilakukan ibu bapa mereka sebagai peneroka pertama. Tanah yang ditetapkan hanya untuk membina rumah kediaman itu berkeluasan antara 185 meter persegi dan 370 meter persegi.
Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata mereka yang layak dan terpilih menerima tanah itu mesti bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak semua permohonan diterima. “Kita menerima lebih 1,000 permohonan daripada generasi kedua di keempat-empat tanah rancangan itu. Bagaimanapun, keluasan tanah yang terhad menyebabkan hanya sebahagian permohonan yang diluluskan. “Saya berharap Pejabat Tanah Daerah dengan kerjasama Felda dapat mengenal pasti jika ada lagi kawasan tanah sesuai dan bersifat ekonomikal untuk dikurniakan kepada anak peneroka yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Undian Tanah Penempatan Generasi Kedua di Felda Bukit Besar, di sini baru-baru ini. Hadir sama, Pegawai Tadbir Tanah Daerah, Azmi Rohani dan 68 orang anak generasi kedua Felda itu untuk mencabut undi kedudukan tanah dan menerima borang nota bayaran (borang 5A). Sementara itu, Azmi dalam sesi dialog bersama penerima tanah berkata, selepas menerima borang 5A, Pejabat Tanah Daerah memberi masa tiga bulan untuk pemilik membayar duit premium yang dianggarkan antara RM2,000 dan RM3,000 seorang. Beliau berkata, selepas bayaran dibuat, geran hak milik akan terus diberikan dan pemiliknya boleh terus membuat perancangan untuk membina rumah.
“Jangan sesekali ada yang cuba menjualnya kepada pihak lain. Pejabat Tanah sama sekali tidak membenarkan tindakan itu selaras undang-undang dan kanun tanah negara,” katanya.

(PENGGERANG) Pemuda UMNO bantah tutup kilang sawit

UM

JOHOR BAHRU 21 April - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang membantah penutupan Kilang Sawit Sening di Kota Tinggi berikutan impak besar yang bakal dialami masyarakat setempat di Gugusan Felda Adela.
Cadangan pihak Felda Palm Industries Sdn. Bhd. untuk menutup kilang tersebut pada 1 Mei ini akan menyebabkan seramai kira-kira 200 penduduk Felda yang bekerja di kilang tersebut hilang pekerjaan.
Penutupan kilang itu juga akan mengakibatkan kawasan Felda Sening kehilangan nadi pembangunannya dan berkemungkinan menyebabkan kos pengangkutan untuk pemprosesan buah sawit meningkat.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Abdul Razak Budu berkata, golongan yang menerima impak paling besar akibat penutupan kilang tersebut adalah generasi kedua dan ketiga Gugusan Felda Adela.
"Sekiranya mereka mahu menutup juga kilang ini, generasi kedua dan generasi ketiga Felda tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa berhijrah keluar mencari pekerjaan.
"Pentadbiran Felda sewajarnya peka terhadap perkara ini kerana penutupan kilang itu akan memberi impak besar terhadap masyarakat gugusan Felda Adela," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mingguan Malaysia pada 6 April lalu melaporkan lebih 50 penduduk Gugusan Felda Adela mengadakan demonstrasi bagi membantah penutupan kilang tersebut.
Abdul Razak berkata, dia bimbang penutupan kilang tersebut hanya akan menyebabkan kos pengangkutan untuk membawa buah sawit meningkat lebih mahal memandangkan ia terpaksa dihantar ke kilang pemprosesan yang terletak lebih jauh dari kawasan Felda itu.
"Pihak Felda sepatutnya melihat impak yang berlaku dengan penutupan kilang sawit Felda Air Tawar 2 yang menyebabkan kilang-kilang sawit berhampiran dengannya tidak mampu menampung buah sawit yang berlebihan," katanya.
Justeru, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Mohd. Amin Hamidon berharap masalah tersebut akan mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pembangunan Felda.
"Pemuda UMNO Bahagian Pengerang membantah penutupan kilang ini kerana pelbagai masalah akan timbul dan kami berharap perkara ia dapat diselesaikan segera," katanya.
Katanya, masalah itu telah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri Pelancongan.

(PONTIAN) KRT diminta bantu kurangkan kes jenayah

UM

PONTIAN 21 April - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) diminta membantu pihak berkuasa bagi mengurangkan kes-kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak dan murid-murid sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong berkata, selain menganjurkan aktiviti yang dapat merapatkan hubungan antara kaum, peranan KRT ketika ini perlu menjurus kepada soal keselamatan.
Menurutnya, beberapa kejadian yang melibatkan kes penculikan kanak-kanak serta jenayah lain dikatakan berpunca daripada kurangnya interaksi di kalangan penduduk setempat.
Justeru, penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di KRT adalah langkah terbaik bagi meningkatkan kerjasama di kalangan penduduk bagi memastikan keselamatan bersama.
"Peranan dan fungsi KRT yang pelbagai perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penduduk sama ada di taman-taman perumahan, pekan-pekan kecil, kampung dan sebagainya.
"Bagaimanapun, perlu ada kesedaran kerana soal keselamatan bukan sahaja terletak pada bahu agensi penguatkuasa tetapi juga masyarakat sekeliling," katanya ketika merasmikan Sukaneka Kanak-Kanak Tabika Perpaduan Daerah Pontian di Stadium Mini Pontian di sini semalam.
Program anjuran Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan Taman Saujana serta Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pontian (PPNIP) itu turut dihadiri pegawainya, Helmy Mohd. Yahya dan Pengerusi Penyelaras Tabika Perpaduan Taman Saujana, Hasmadi Mohd. Sayuti.
Sebanyak sembilan tabika di daerah ini mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diadakan seperti itik bertelur, kereta api dadu, menjunjung air berhalangan, boling padang, bom air dan tarik tali.
Siew Kiong berharap, setiap KRT di daerah Pontian akan mempunyai lebih banyak pasukan SRS kerana ia ternyata berkesan bagi mengurangkan kes-kes jenayah.
"KRT juga diharap dapat memantau kehadiran pekerja asing yang tinggal di kawasan mereka bagi memastikan kehadiran mereka tidak mendatangkan masalah kepada penduduk setempat," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap, hubungan antara kaum di KRT dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa menerusi aktiviti yang melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat.
Selain kegiatan sukan, kata Siew Kiong, aktiviti lain yang boleh dilakukan seperti gotong-royong, program sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Kebangsaan dan sebagainya.

(JOHOR) Ghani ketuai angkat sumpah


UM


Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
Abdul Ghani Othman (kanan) bersalaman dengan Ali Hassan yang dilantik semula sebagai Speaker Dewan Negeri pada upacara Angkat Sumpah Ahli Dewan Negeri di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 21 April - Seramai 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor termasuk enam daripada parti pembangkang yang memenangi kerusi masingmasing pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu mengangkat sumpah hari ini.
Upacara angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Speaker yang baru dilantik semula iaitu Datuk Mohd. Ali Hassan di Bukit Timbalan di sini.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom memulakan upacara berkenaan yang diikuti barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Upacara tersebut kemudiannya diteruskan oleh semua ADUN yang memenangi kerusi DUN di kawasan masing-masing termasuk enam daripada pembangkang.
Selain Mohd. Ali yang dilantik semula bagi penggal kedua sebagai Speaker, Datuk Othman Jais yang juga ADUN Buloh Kasap turut dilantik semula memegang jawatan Timbalan Speaker.
Sementara itu, Mohd. Ali yang ditemui selepas pelantikan itu melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan dan berjanji akan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.
"Walaupun bilangan anggota DUN Johor kini terdapat wakil pembangkang, saya tetap akan cuba memainkan peranan sebaik mungkin supaya perjalanan DUN dapat berlangsung dengan baik dan mengikut peraturan," katanya.
Enam wakil pembangkang ialah empat daripada DAP iaitu ADUN Senai, Ong Kow Meng; Skudai, Dr. Boo Cheng Hau; Bentayan, Wee Tong Hiang dan Mengkibol, Ng Lam Hua.
Pas pula mempunyai dua wakil menerusi ADUN Maharani, Dr. Mohd. Taslim dan Sungai Abong, Dr. Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh.
Pada pilihan raya umum lalu, DAP turut memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Parlimen Bakri menerusi Er Teck Hwa.

(JOHOR) BPR perlu siasat laporan audit ASJ

UM

BATU PAHAT 20 April - Badan Pencegah Rasuah (BPR) diminta menjalankan siasatan ke atas Laporan Audit Amanah Saham Johor (ASJ) kerana dana pelaburannya yang berjumlah RM48.7 juta didakwa merosot teruk kepada RM23 juta dalam tempoh enam bulan sahaja.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfuz Mohamad berkata, laporan audit itu adalah dari 31 Mei hingga 30 November 2007 yang menunjukkan dana tersebut berkurangan dalam tempoh yang singkat.
"Tindakan Johor Corporation (JCorp) melalui anak syarikatnya Pelaburan Johor Berhad (PJB) menamatkan Skim ASJ juga dianggap sebagai tindakan tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini menyiarkan notis penamatan Skim ASJ yang bertarikh 1 April dan pemegang-pemegang Unit ASJ dipanggil untuk mengadakan mesyuarat luar biasa pada 24 April ini.
Mahfuz mendakwa, penamatan itu menunjukkan JCorp seperti cuba lari daripada tanggungjawab atas prestasi buruk ASJ sejak 1997.
Beliau berkata, sepatutnya Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman selaku Pengerusi JCorp manakala Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berusaha memulihkan harga pasaran ASJ dan bukan menamatkannya.
"Saya difahamkan selepas Skim Pembelian Semula ASJ yang diperkenalkan pada tahun 2004 masih terdapat 77,000 pelabur ASJ dengan nilai pelaburan RM22.9 juta," jelasnya.
Mahfuz berkata, jika dibandingkan dengan amanah saham negeri lain, mereka tetap boleh memberikan agihan dividen contohnya Amanah Saham Darul Iman (ASDI) Terengganu, mengagihkan dividen pada kadar 4 sen seunit walaupun turut mengalami kejatuhan harga saham.
Katanya lagi, pada 21 Februari 2008 Amanah Saham Kedah (ASK) yang juga mengalami kejatuhan harga sebelum ini dapat mengagihkan dividen 5 sen seunit kepada pelaburnya membabitkan bayaran sebanyak RM7.57 juta.
"Ini bermakna PJB gagal menguruskan dana pelaburan ASJ dengan berkesan dan profesional," dakwanya.
Justeru, beliau berkata, Pas Johor menggesa supaya JCorp membatalkan niat untuk menamatkan Skim ASJ tetapi sebaliknya perlu merangka satu pelan tindakan yang lebih agresif dan mampan bagi memulihkan harga ASJ.
Menurut beliau, kerugian yang dialami oleh pelabur ASJ pada masa sekarang adalah bersifat 'atas kertas' dan tindakan menamatkan ASJ merupakan tindakan merealisasikan kerugian atas kertas menjadi realiti.
"Bagi pelabur yang membuat pinjaman bank maka mereka cukup terbeban dengan ansuran bulanan dan bayaran tahunan oleh pihak bank dan sebahagian mereka telah diambil tindakan undang-undang juga muflis," jelasnya.
Tegas Mahfuz, JCorp perlu bertanggungjawab atas kegagalan ASJ dan mengambil langkah berani membeli balik kesemua saham ASJ pada harga asal RM1 seunit secara tunai.
Ini katanya, dapat membantu pelabur-pelabur ASJ khususnya yang membuat pinjaman bank kerana kesemua mereka adalah orang Melayu.

(BATU PAHAT) EGM Umno Batu Pahat Sabtu ini

MK


Muda Mohd Noor Apr 22, 08 2:30pm

Umno Batu Pahat menjadi bahagian pertama di Johor yang akan mengadakan mesyuarat khas (EGM) Sabtu ini.Ketua bahagian tersebut, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesahkan perkara itu ketika dihubungi malaysiakini hari ini.Menurutnya, EGM itu akan diadakan selepas lebih dua pertiga daripada jumlah cawangan di bahagian tersebut bersetuju mesyuarat khas itu diadakan.Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan butir-butir yang akan dibahaskan dalam mesyuarat khas tersebut.Bagaimanapun, isu utama yang menjadi perdebatan hangat sekarang ialah mengenai cadangan menghapuskan kuota pencalonan bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden serta ahli majlis tertinggi.Sebelum ini, Umno bahagian Gua Musang telah mengadakan EGM pada 4 April lalu dan meluluskan usul pindaan beberapa bahagian perlembagaan parti, Umno bahagian Cheras pula akan mengadakan EGM Ahad ini, diikuti oleh bahagian Bandar Tun Razak (Wilayah Persekutuan) pada 1 Mei depan.Manakala Umno bahagian Pasir Mas pula akan mengadakan mesyuarat khas tersebut pada 3 Mei depan.
Pelan peralihan kuasa
Sementara itu, seorang pemimpin Umno bahagian Batu Pahat ketika dihubungi memberitahu, antara isu utama yang akan dibangkitkan dalam EGM tersebut ialah mengenai peralihan kuasa dalam parti dan kerajaan.Katanya, ia selaras dengan keputusan badan perhubungan Umno Johor yang mahu perdana menteri membuat peralihan kuasa ekoran kekalahan teruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu."Saya mendapat tahu Dr Mohd Puad adalah antara pemimpin yang bercakap di majlis tersebut dan meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat pelan peralihan jawatan parti dan kerajaan," katanya lagi.Difahamkan tiga pemimpin bahagian Umno Johor selain menteri besar, Datuk Abdul Ghani Othman telah meminta perdana menteri mengadakan pelan peralihan kuasa bagi meredakan kemarahan rakyat.

(JOHOR) Buka Umno untuk bukan Melayu?


MK



Apr 20, 08 11:38pm




Ahli akar umbi pergerakan Pemuda Umno di Johor mencadangkan parti itu membuka keahlian kepada kaum-kaum bukan Melayu seperti pernah disarankan oleh pengasasnya Datuk Onn Jaafar.Cadangan itu termasuk 149 idea baru yang dikemukakan kepada pergerakan Pemuda negeri itu untuk memajukan lagi parti selepas kekalahan teruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac, kata ketuanya Razali Ibrahim hari ini. Beliau bagaimanapun menjelaskan idea itu bukan pendirian pergerakan tersebut, lapor laman web The Star Online. Razali juga mendedahkan, menurut laporan itu lagi, ahli-ahli akar umbi Umno berpendapat orang ramai tidak lagi yakin pada laporan media arus perdana dan akibatnya mereka mencari maklumat alternatif melalui internet. Bagaimanapun ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih menganggap media alternatif ini menjadi punca kemerosotan pengaruh BN akibat elemen fitnah dan kekeliruan yang disebarkannya.Dalam wawancara dengan akhbar Mingguan Malaysia hari ini, beliau berkata: "Ia (penyalahgunaan SMS) fenomena baru, tetapi ini tidak ada bezanya dengan keadaan yang suatu ketika dulu terpaksa dilalui oleh pemimpin-pemimpin Umno dan BN, iaitu serangan yang dilakukan melalui surat layang, surat khabar ‘nyamuk’ dan majalah-majalah. "Walaupun apa yang disebarkan ada sesetengahnya menggunakan perkara yang benar, separuh benar dan fitnah semata-mata tetapi Umno dan BN terpaksa menanganinya. "Kini politik persepsi itu menggunakan pula SMS dan blog-blog bagi mempengaruhi rakyat," katanya. Menjawab soalan "selepas perubahan bagi jawatan naib ketua Pemuda pada 2004 (sejak dipegang Khairy Jamaluddin), ramai berpendapat Datuk Seri (Hishammuddin) tidak mempunyai 'cengkaman' ke atas pergerakan itu, sebaliknya ia lebih dikuasai oleh individu-individu tertentu", Hishammuddin berkata "dengan kemudahan teknologi maklumat, akhirnya sesuatu perkara seperti tuduhan atau dakwaan yang tidak tahu kesahihannya disebarkan dan berjaya mempengaruhi orang ramai. "Ini budaya baru yang bagi saya sudah wujud dan menjadi realiti."Sambil menyifatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pengembang "politik persepsi", beliau juga berkata: "Saya harus mengakui sememangnya ada kelemahan dalam Umno dan BN tetapi ia diburukkan lagi dengan kewujudan politik persepsi dan politik 'menakut-nakutkan' orang ramai terhadap pemimpin parti berkenaan. Ini termasuklah dalam isu saya menghunus keris."Beliau juga mengulas kegagalan BN menjawab laporan-laporan di blog-blog sebagai punca kekalahan parti itu kali ini."Kita hanya perlu menjawab tuduhan yang tidak benar kerana orang ramai harus diberi pemahaman bahawa dalam perkembangan teknologi (ICT) sekarang, apa-apapun boleh dilakukan termasuklah mengubah suai gambar-gambar pemimpin bagi mewujudkan politik menakut-nakutkan ini," katanya.Beliau juga enggan menerima kenyataan bahawa pengundi muda tidak menyokong BN akibat kegagalan pergerakan itu. "Kita harus melihat dalam skop lebih luas. Kalau hendak tumpukan kepada generasi muda, bagaimana pula dengan guru-guru yang tidak berpuas hati dengan kita? Begitu juga pegawai-pegawai kerajaan, golongan dewasa dan kaum lain?"Kenapa kita bercakap soal pengundi muda Melayu menolak Umno? Bagaimana dengan pengundi-pengundi Cina dan India? Apakah peranan parti-parti komponen BN dalam menanganinya? "Atas sebab itulah, saya tidak mahu melihat punca masalah kekalahan BN berkisar kepada kelemahan Pemuda Umno sahaja dalam menangani generasi muda."

Ahad, 20 April 2008

(Muar) Ketua UMNO Muar kecewa EGM dibenar

UM

MUAR 17 April – Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Mohd. Ismail Mohd. Shah kecewa dengan tindakan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor membenarkan bahagian itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.
Menurutnya, Tengku Adnan sepatutnya mendapatkan gambaran sebenar isu berkenaan daripada beliau sebelum memutuskan untuk membenarkan EGM diadakan dengan alasan ia menepati Perlembagaan parti.
Katanya, beliau rela melepaskan jawatannya itu kerana suara UMNO bahagian yang diketuainya sejak dua penggal lalu tidak langsung diambil kira dan tidak dirujuk langsung.
“Pucuk pimpinan UMNO tidak mahu mendengar suara bahagian, sebaliknya mendengar suara mereka yang hendak memecahbelahkan UMNO. Jika sikap begini diteruskan, lebih ramai ahli UMNO akan membenci parti.
“Saya tahu jawatankuasa yang mendesak supaya EGM itu diadakan, ia hanya untuk kepentingan peribadi pihak tertentu dan bukannya untuk menyelesaikan masalah yang melanda dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekarang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

(JOHOR) Pendekatan baru bangunkan belia Johor


UM



Oleh SUNARTI KIBAT
Mohammad Fitri Mohamad Fazli mencuba komputer peribadi yang baru diterima sambil diperhatikan oleh Suhaimi Khalid dan anggota Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi di rumahnya di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, baru-baru ini.



BATU PAHAT 19 April - Pembangunan belia di negeri ini akan menggunakan pendekatan baru yang memberi tumpuan kepada dua golongan sasar dalam merancakkan lagi program dan aktiviti golongan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Mohd. Jais Sarday berkata, dua golongan tersebut ialah kumpulan profesional dan pekerja biasa termasuk penganggur supaya mereka dapat menyumbangkan peranan mengikut kerjaya dan kepakaran masing-masing.
"Belia berlatar belakang pendidikan tinggi iaitu berkesempatan memasuki universiti dan memegang jawatan penting tentunya mempunyai cara tersendiri untuk mendekati serta menyumbangkan bakti dalam masyarakat.
"Begitu juga dengan golongan kurang berpendidikan dan tidak mempunyai pekerjaan juga mempunyai cara tersendiri untuk berperanan dalam masyarakat," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Justeru Mohd. Jais berkata, program-program untuk golongan itu akan mengambil kira peranan yang dapat diberikan oleh belia mengikut kepakaran mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota itu berkata, mengikut perangkaan awal golongan belia yang tidak berkesempatan melanjutkan pelajaran di peringkat universiti dan menganggur merupakan paling ramai di Johor.
Beliau berkata, golongan itu pasti memerlukan perhatian lebih terutama dalam membimbing mereka agar mempunyai hala tuju masa depan yang lebih jelas.
Katanya, antara langkah yang difikirkan untuk golongan ini adalah menyediakan pelbagai kepakaran termasuk kursus-kursus keusahawanan.
Sementara itu, katanya, jawatankuasa itu juga akan menggiatkan semula program J-Robik sebagai usaha untuk mewujudkan gaya hidup sihat di kalangan belia di negeri itu.
Selain itu, katanya, ia juga sebagai cara paling berkesan untuk mewujudkan integrasi nasional kerana program itu melibatkan penyertaan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

(JOHOR) Penamatan ASJ tindakan tidak bertanggung jawab

Salman Hussin Sun Apr 20, 08 1:00:32 pm MYT
BATU PAHAT, 20 April (Hrkh) - PAS Johor menyifatkan tindakan Johor Corporation (Jcorp), syarikat milik penuh Kerajaan Johor, melalui anak syarikatnya Pelaburan Johor Berhad (PJB), yang berura-ura mahu menamatkan Skim Amanah Saham Johor (ASJ), sebagai tindakan tidak bertanggung jawab. -->-->
Tindakan menamatkan ASJ ini juga menunjukkan sikap Kerajaan Johor dan Jcorp yang cuba lari daripada tanggung jawab di atas prestasi buruk Skim Amanah ini sejak 1997 sehingga hari ini, kata Pesuruhjaya PAS Johor, Dato? Dr Mahfodz Muhamad, di sini.
"Pada I April lalu, PJB telah mengeluarkan Notis Mesyuarat Luarbiasa (EGM) kepada Pemegang-Pemegang Unit ASJ yang akan diadakan pada 24 April ini, notis mesyuarat ini juga turut menyatakan agenda utama mesyuarat ini ialah bagi meluluskan resolusi penamatan Skim ASJ'.
Jika resolusi ini diluluskan maka penamatan skim ASJ akan berkuat kuasa pada 31 Mei 2008, katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat PAS Johor, dekat sini. baru-baru ini.
Menurut beliau, ASJ telah dilancarkan pada 1 Mei 1992 dengan menawarkan 299.35 juta unit saham pada harga RM1.00 setiap unit, ini bermakna dana pelaburan ASJ berjumlah RM299.35 juta.
"ASJ yang diwujudkan khusus bagi orang Melayu dan bumiputera di negeri ini telah berjaya menarik seramai 125,000 pelabur, yang mana sebahagian besar pelaburnya adalah ahli-ahli Umno Johor.
"ASJ telah mendapat sambutan hebat di kalangan orang Melayu Johor berikutan kenyataan Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) Jcorp, Tan Sri Mohamad Ali Hashim, yang menyatakan nilai saham ASJ akan ditingkatkan sehingga RM5.00 seunit dalam tempuh lima tahun, iaitu pada 1997 (sila rujuk "Suara Johor", buletin rasmi Kerajaan Johor terbitan Jun 1996, halaman 10).
"Kenyataan ini menyebabkan ramai rakyat Johor menganggap ASJ seperti 'Skim Cepat Kaya' atau 'Skim Pak Man Telo', disebabkan keyakinan yang tinggi menggunung, pelabur telah membuat pinjaman bank antara RM10,000 hingga RM150,000, untuk dilaburkan di dalam ASJ.
"Kita difahamkan sebahagian besar dana ASJ dilaburkan di dalam anak-anak syarikat Jcorp yang banyak terlibat dengan pelaburan dalam sektor pertanian, kesihatan, hartanah, pembangunan, perindustrian, perkayuan, perhotelan, sukan, pengangkutan dan lalin-lain lagi," katanya.
Bagaimanapun tambahnya, ketika negara dilanda kemelesetan ekonomi pada 1997, Jcorp dan ASJ turut terjejas sehingga hutang Jcorp hampir mencecah RM4 bilion. Ini menyebabkan harga saham ASJ jatuh dengan begitu teruk sehingga ke paras RM0.18 sen seunit.
"Serentak dengan itu saiz dana pelaburan ASJ juga telah mengecil, dari RM299.35 juta pada awalnya merosot kepada RM53.383 juta, ini bermakna dalam tempoh lima tahun pelabur ASJ telah mengalami kerugian sebanyak RM245.467 juta, apa yang berlaku ini umpama pepatah, ?tiada beban batu digalas?.
"Akibatnya pelabur telah dibebankan dengan ansuran bulanan dan bayaran tahunan yang dikenakan pihak bank kepada mereka, bahkan ada sebahagiannya telah diambil tindakan undang-undang termasuk tindakan muflis," katanya.
Katanya, kerajaan telah memperkenalkan 'sekim pembelian semula' ASJ pada 2004 dengan membeli semula unit ASJ pada harga RM1.00 seunit, namun pembayarannya dilakukan secara berperingkat-peringkat, tahun pertama 10 peratus dan bayaran berikutnya secara ansuran selama empat tahun berturut-turut.
Bagaimanapun skim ini tidak banyak mengubah keadaan terutama bagi pelabur yang membuat pinjaman bank.
Katanya, Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman, selaku Pengerusi Jcorp dan CEO Jcorp, Tan Sri Mohamad Ali Hasim, sepatutnya berusaha untuk memulihkan harga pasaran ASJ, bukan mengambil tindakan menamatkan skim amanah ini.
"PAS Johor mendesak Jcorp membatalkan niat untuk menamatkan ASJ, sebaliknya mereka perlu merangka satu plan tindakan yang lebih agresif dan mampan bagi memulihkan harga ASJ.
"Kerugian yang dialami pelabur ASJ pada masa sekarang bersifat atas kertas tetapi apabila tindakan menamatkan skim amanah ini dilakukan maka ia merupakan tindakan bagi merealisasikan kerugian yang sebelumnya bersifat atas kertas kepada suatu realiti," katanya.
Katanya, Jcorp perlu mengambil tanggung jawab sepenuhnya di atas kegagalan ASJ, dengan nilai asset melebihi RM10 bilion, sepatutnya Jcorp mengambil langkah berani dengan membeli balik kesemua saham ASJ pada harga asal RM1.00 seunit, langkah seumpama ini telahpun diambil Kerajaan Selangor ke atas Saham Amanah Selangor (ASAS), pada 2003 dan Kerajaan Terengganu (ASDI) pada 2006.
"Pembelian balik secara tunai oleh Jcorp ini akan membantu meringankan beban pelabur-pelabur ASJ khususnya pelabur yang membuat pinjaman bank," sambungnya.
Selain itu katanya lagi, PAS Johor juga mendesak Badan Pencegah Rasuah (BPR), menjalankan siasatan berhubung laporan audit berakhir 31 Mei 2007 sehingga 30 November 2007.
"Pelaburan ASJ berjumlah RM48.7 juta merosot dengan begitu teruk kepada RM23 juta, bagaimana kerugian begitu besar dialami ASJ dalam suatu jangka masa yang singkat.
"Justeru sebagai kesimpulannya, apa yang berlaku ini membuktikan dengan jelas kelemahan serta kegagalan Kerajaan Johor pimpinan Umno-Barisan Nasional mentadbir dan mengurus wang rakyat," tegasnya. - mns

(MUAR) Pejabat JPN Muar dipecah masuk

UM

MUAR 19 April - Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Muar yang terletak di Kilometer 1.6, Jalan Bakri di sini dipecah masuk dipercayai berlaku antara malam tadi hingga awal pagi semalam.
Kejadian tersebut disedari kakitangan jabatan terbabit apabila terdapat kesan pecah pada dinding kaca pejabat itu sewaktu mereka hendak memulakan tugas pukul 8 pagi semalam.
Turut rosak adalah pintu gril besi di bahagian belakang bangunan JPN itu apabila ia dikopak ke atas.
Berikutan kejadian tersebut, JPN Muar menghentikan operasinya sejak pukul 8 pagi ini bagi memeriksa sebarang kehilangan dokumen penting di pejabat itu.
Mingguan Malaysia difahamkan, keadaan kaunter pejabat JPN itu yang terletak di hujung deretan kedai di Jalan Bakri, berselerak sebaik sahaja kakitangan ingin memulakan tugas mereka.
Seorang jurucakap JPN Muar berkata, pihaknya menghentikan operasi perkhidmatan kaunter selama lebih tiga jam semalam bagi membolehkan pihak polis membuat pemeriksaan lanjut di pejabat itu.
"Operasi di jabatan ini bagaimanapun diteruskan seperti biasa mulai pukul 11.30 pagi sebaik sahaja selesai siasatan polis dan keadaan berselerak itu dikemaskan.
"Tiada sebarang dokumen penting didapati hilang dalam kejadian ini," katanya yang enggan dikenali.
Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia di kawasan tersebut mendapati, lokasi JPN yang terletak di hujung deretan kedai itu memudahkan kegiatan jenayah itu berlaku.
Ini memandangkan, terdapat kawasan semak di belakang bangunan tersebut dan ia tidak diterangi lampu pada waktu malam serta tiada ditempatkan pengawal keselamatan.
Sebelum ini, JPN Muar beroperasi di Bangunan Sultan Abu Bakar di Jalan Petrie di sini dan hanya berpindah ke bangunan tersebut mulai November lalu.
Pelbagai urusan JPN disediakan termasuk kaunter pendaftaran kad pengenalan baru, pendaftaran kelahiran dan kematian serta pernikahan rakyat asing.

Rabu, 16 April 2008

(MUAR) Muar boleh adakan EGM

Malaysiakini

Muda Mohd Noor Apr 16, 08 2:29pm

Setiausaha agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor berkata, Umno bahagian Muar boleh mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) kerana menepati peraturan dan perlembagaan parti.Tengku Adnan memberitahu demikian kepada enam ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Muar yang menemui beliau di pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi.Ini disahkan oleh seorang daripada AJK bahagian, Hassan Sulaiman Ninam Shah, yang turut sama, dalam pertemuan dengan Tengku Adnan pagi tadi."Tengku Adnan memberitahu rombongan AJK bahagian Muar, bahawa bahagian mematuhi peraturan untuk mengadakan EGM."Tengku Adnan akan memberi penjelasan kepada timbalan presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai perkara tersebut," kata Hassan ketika dihubungi Malaysiakini.
Selepas itu, katanya, Tengku Adnan akan memaklumkan tarikh EGM bahagian Muar akan diadakan.Hassan bersama lima AJK Muar itu menemui Tengku Adnan selama kira-kira dua jam mulai 11.30 pagi tadi.Dalam pertemuan tersebut, Hassan membangkitkan isu kegagalan Umno bahagian Muar mengadakan EGM sebagaimana yang diminta oleh AJK bahagian tersebut."Tetapi Tengku Adnan berkata, bahagian Muar telah menepati peraturan dan perlembagaan parti dalam proses mengadakan EGM," katanya.

(JOHOR) Johor bakal jadi muzium UMNO - Azizan

UM

IPOH 15 April - Pakatan pembangkang antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhasrat menguasai beberapa negeri lain pada pilihan raya umum akan datang dan meninggalkan Johor kepada UMNO sebagai 'muzium'.
Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata, matlamat berkenaan boleh dicapai selepas pakatan pembangkang itu berjaya menawan Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor pada pilihan raya umum lalu.
Katanya, antara negeri yang akan mereka rampas daripada Barisan Nasional (BN) dan UMNO selepas ini ialah Perlis, Terengganu dan Pahang.
''Kita akan menguasai semua negeri seperti Perlis, Terengganu dan Pahang pada pilihan raya umum akan datang dan kita mahu tinggalkan Johor kepada UMNO sebagai muzium.
''Kalau orang mahu tengok UMNO, pergilah ke Johor,'' katanya di hadapan kira-kira 50,000 hadirin pada Majlis Perhimpunan Rakyat di Stadium Perak anjuran pakatan pembangkang di sini malam tadi.
Azizan mendakwa, kejayaan Pas, DAP dan PKR mengambil alih kerajaan negeri di Kedah membolehkan rakyatnya bebas daripada pemerintahan UMNO dan membolehkan mereka hidup di bawah kerajaan baru yang lebih mesra rakyat.
Menurutnya, ia jelas terbukti apabila kerajaan campuran Pas, DAP dan PKR negeri Kedah tetap mempertahankan industri padi di negeri itu kerana ia membekalkan 53 peratus beras negara.
''Sebab itu kita buat keputusan agar projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) tidak akan dibuat di kawasan sawah padi kerana kerajaan bimbang ia akan menjejaskan bekalan beras.
''Ini membuktikan kerajaan terdahulu membawa industri itu tanpa menghiraukan kesengsaraan rakyat kerana mengambil tanah sawah yang subur seluas 1,200 hektar untuk memajukan projek itu,'' katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan negeri percaya dapat menarik pelaburan berjumlah hampir RM16 bilion apabila pelabur asing yakin dengan kestabilan politik di negeri ini.
Katanya, pelabur asing juga didapati tidak menghadapi masalah untuk melabur di negeri ini selepas pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan negeri ini.
''Selepas dua minggu dilantik sebagai Menteri Besar, saya telah menerima kunjungan pelabur dari Asia Barat, Amerika Syarikat dan Eropah yang berminat untuk melabur di sini.
''Kita juga menerima lawatan rombongan 20 ahli perdagangan antarabangsa iaitu dari Eropah, Jerman, Perancis dan beberapa negara lain yang berminat untuk melabur di negeri ini,'' katanya.

(JOHOR) Peralihan kuasa perlu berhemah - Pemuda Johor

UM

JOHOR BAHRU 15 April - Pergerakan Pemuda UMNO Johor mahu proses peralihan kepimpinan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan secara tertib dan berhemah.
Ketuanya, Razali Ibrahim berkata, proses peralihan kepimpinan parti perlu berjalan lancar bagi memperkukuhkan lagi UMNO secara keseluruhannya.
"Sudah menjadi amalan orang Johor (UMNO), kita tidak pernah diajar untuk menjadi penentang atau pendesak semata-mata untuk menjatuhkan air muka pemimpin.
"Pendekatan dan cara yang kita guna pakai adalah secara berhemah khususnya dalam menghadapi kemelut dan isu-isu nasional," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar mengulas pendirian Badan Perhubungan UMNO Johor yang menyokong kepimpinan Abdullah selaku Presiden UMNO tanpa berbelah bahagi pada pemilihan parti Disember ini.
Pendirian itu diumumkan Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman setelah mengadakan perjumpaan tertutup lebih tiga jam dengan Abdullah pada Jumaat lalu.
Razali berkata, dalam mesyuarat khas Perhubungan UMNO Johor 5 April lalu, kesemua ketua bahagian dan para pemimpin sayap termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri telah menyatakan rasa kasih dan sayang kepada parti.
"Pada mesyuarat hampir tiga jam itu kita telah berbincang bagi mencari jalan bagaimana satu-satunya parti yang dilahirkan di Istana Besar, di sini dan menjadi kubu kuat UMNO dapat dipulihkan sehingga diyakini semula oleh segenap lapisan masyarakat.
"Semua yang hadir memberi pandangan dan kita merumuskan bahawa satu formula perlu dicari bagi membolehkan proses peralihan kepimpinan dilakukan segera dan dalam masa yang sama dapat mengukuhkan parti serta tanpa menyekat suara akar umbi,'' ujarnya.
Razali berkata, pada dasarnya dalam mesyuarat 5 April itu, semua ketua bahagian termasuk Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersepakat tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan ekoran perbincangan itu tidak selesai kerana kesuntukan masa.
"Ini bermakna mesyuarat 5 April boleh dianggap sebagai pra matang dan berikutan itu pada akhir mesyuarat kita semua setuju bahawa satu mesyuarat lagi patut diadakan dalam masa terdekat supaya dapat memberi rumusan yang lebih lengkap.
"Pada dasarnya Menteri Besar bersama beberapa pemimpin lain telah berjaya menyampaikan segala mesej dengan jelas kepada Abdullah dalam mesyuarat tertutup itu.
''Berdasarkan pengamatan peringkat awal Abdullah terperanjat dengan petunjuk dan mesej itu, bagaimanapun beliau akur dan memahami mesej serta kehendak orang Johor," jelasnya.
Razali berkata, pada pertemuan itu UMNO Johor hanya menyampaikan rumusan bahawa peralihan kepimpinan sepatutnya berlaku dan tanpa apa-apa cadangan.
"Saya berpendapat dalam mesyuarat itu kita hanya bersetuju tentang perlunya peralihan kepimpinan dan ada banyak pilihan tentang kaedah yang boleh digunakan untuk memulihara parti,'' katanya.
Tambahnya, memandangkan tahun ini ada pemilihan parti, maka kaedah terbaik untuk menentukan peralihan kepimpinan perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil kira suara akar umbi.
Justeru katanya, Pemuda UMNO Johor mengharapkan satu mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Johor diadakan segera bagi mengelakkan salah faham ahli- ahli.

(MERSING) Selatan: Budak perlu surat beranak untuk belaajar secara formal

BH

15/4/08

Oleh Sahlina Sahkirin
MERSING: Seorang kanak-kanak, Nurul Natasya Azwa Kamaruddin, 11, dari Kampung Siapu, di sini dikatakan tidak dapat meneruskan persekolahan seperti rakan sebayanya berikutan tidak mempunyai surat beranak. Beliau yang tinggal bersama nenek, ibu dan adik-beradik lain sepatutnya berada di tahun lima sebelum ini hanya dibenarkan menumpang untuk bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sawah Datuk, sehingga tahun dua saja. Neneknya, Peah Jantan, 80, berkata, tindakan bapa Natasya yang gagal mendaftarkan kelahiran dan menghilangkan diri menjadi punca cucunya tidak mempunyai surat beranak sehingga hari ini.
Bagaimanapun, katanya, adik dan abang Natasya memiliki surat beranak. "Saya bimbang masa depan Natasya akan gelap jika usaha mendapatkan surat beranak ini gagal. "Sehubungan itu, saya meminta pihak berkenaan membantu untuk mengatasi masalah ini kerana saya tidak tahu cara menguruskannya, demi masa depan cucu saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Siapu, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Bahagian Mersing, Faraha Ismail bersama ahli jawatankuasanya yang mengadakan lawatan dan memberikan sumbangan makanan kepada keluarga Peah berjanji akan membantu keluarga berkenaan menguruskan surat beranak Natasya. "Saya akan cuba berhubung dengan pihak berkenaan untuk mendapatkan surat beranak Natasya bagi membolehkannya bersekolah semula seperti kanak-kanak lain demi masa depannya. "Masa depan kanak-kanak ini akan gelap jika beliau tidak memiliki sebarang dokumen, termasuk surat beranak dan Mykad kerana akan dianggap sebagai pendatang tanpa izin," katanya.

(MERSING) Selatan: Budak perlu surat beranak untuk belaajar secara formal

BH

15/4/08

Oleh Sahlina Sahkirin
MERSING: Seorang kanak-kanak, Nurul Natasya Azwa Kamaruddin, 11, dari Kampung Siapu, di sini dikatakan tidak dapat meneruskan persekolahan seperti rakan sebayanya berikutan tidak mempunyai surat beranak. Beliau yang tinggal bersama nenek, ibu dan adik-beradik lain sepatutnya berada di tahun lima sebelum ini hanya dibenarkan menumpang untuk bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sawah Datuk, sehingga tahun dua saja. Neneknya, Peah Jantan, 80, berkata, tindakan bapa Natasya yang gagal mendaftarkan kelahiran dan menghilangkan diri menjadi punca cucunya tidak mempunyai surat beranak sehingga hari ini.
Bagaimanapun, katanya, adik dan abang Natasya memiliki surat beranak. "Saya bimbang masa depan Natasya akan gelap jika usaha mendapatkan surat beranak ini gagal. "Sehubungan itu, saya meminta pihak berkenaan membantu untuk mengatasi masalah ini kerana saya tidak tahu cara menguruskannya, demi masa depan cucu saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Siapu, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Bahagian Mersing, Faraha Ismail bersama ahli jawatankuasanya yang mengadakan lawatan dan memberikan sumbangan makanan kepada keluarga Peah berjanji akan membantu keluarga berkenaan menguruskan surat beranak Natasya. "Saya akan cuba berhubung dengan pihak berkenaan untuk mendapatkan surat beranak Natasya bagi membolehkannya bersekolah semula seperti kanak-kanak lain demi masa depannya. "Masa depan kanak-kanak ini akan gelap jika beliau tidak memiliki sebarang dokumen, termasuk surat beranak dan Mykad kerana akan dianggap sebagai pendatang tanpa izin," katanya.

(MUAR) elatan: Kampung Paya Panjang kerap banjir kilat

BH

15/4/08

elatan: Kampung Paya Panjang kerap banjir kilat

MUAR: Kira-kira 15 keluarga di Kampung Paya Panjang dekat Bukit Pasir di sini, resah setiap kali hujan lebat berikutan rumah mereka dilanda banjir kilat dan kejadian itu berlarutan sejak beberapa tahun lalu. Kedudukan rumah mereka berhampiran kawasan kebun getah menyebabkan air melimpah dan keadaan diburukkan lagi apabila kawasan kampung itu hanya mempunyai sistem perparitan yang kecil dan tidak dapat menampung limpahan air. Seorang penduduk, Mohamad Daud, 54, berkata kawasan kampung itu dilanda banjir kilat beberapa kali setahun menyebabkan mereka hampir sudah berputus asa kerana masalah itu seolah-olah tidak mempunyai jalan penyelesaiannya.
Katanya, parit di kampung itu yang bersambung ke parit besar laluan utama, tidak cukup besar sehingga menyebabkannya air melimpah ke kawasan rumah penduduk setiap kali hujan lebat. "Kejadian banjir kilat itu membabitkan kira-kira 15 rumah menyebabkan kami sentiasa dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat kerana ia akan menyebabkan air melimpah ke kawasan rumah dan berlaku banjir kilat," katanya. Seorang lagi penduduk, Ayub Rahman, 41, yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, setiap kali hujan lebat, beliau yang dibantu dengan keluarganya akan segera memindahkan peralatan rumah ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan harta benda.
"Bayangkan hanya disebabkan hujan lebat selama sejam saja, kawasan rumah penduduk akan dinaiki air sehingga kami terpaksa memindahkan pelbagai peralatan rumah ke tempat lebih tinggi," katanya. Katanya, keadaan parit yang sempit dan cetek juga diburukkan lagi apabila terpaksa menampung limpahan air daripada kawasan kebun penduduk yang turut dialirkan melalui parit yang sama. Sementara itu, Sahak Jaafar, 53, meminta pihak berkuasa supaya segera mengatasi masalah banjir kilat di kawasan berkenaan.

(B PAHAT) Selatan: Syor tanam sayur di sekolah

BH

15/4/08

Oleh Mohd Roji Abdullah
Exco kemuka pendekatan galak murid sekolah menengah kuasai kemahiran ceburi bidang pertanian moden BATU PAHAT: Semua sekolah menengah di Johor disaran mewujudkan taman pertanian atau mengubah landskap di sekitar sekolah yang kini dipenuhi pokok bunga kepada pelbagai tanaman yang menjadi sumber makanan seperti sayuran dan buah-buahan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Aziz Kaprawi, berkata pendekatan baru itu perlu bagi memberi pendedahan mengenai kaedah pertanian moden serta menyemai minat pelajar terhadap bidang pertanian yang kini menjadi agenda pembangunan intensif kerajaan.
Beliau berkata, pendedahan kepada bidang pertanian itu boleh dijadikan satu aktiviti dalam mata pelajaran kemahiran hidup dan beliau yakin ia akan membantu pelajar untuk lebih memahami cara penanaman sumber makanan. "Saya mencadangkan supaya lebih 200 sekolah menengah di Johor bekerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri untuk wujudkan taman pertanian bagi memberi pendedahan bidang pertanian kepada pelajar sekali gus menyemai minat mereka untuk menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya pilihan satu hari nanti. "Kewujudan taman pertanian itu bukan saja untuk mencantikkan persekitaran sekolah tetapi yang lebih penting kita akan menerapkan pengetahuan mengenai teknologi pertanian moden kepada pelajar.
"Dengan pengetahuan yang ada, hasrat untuk mengembangkan pertanian berteknologi tinggi pasti akan tercapai bagi membantu memantapkan sektor pertanian negara," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Hari Anugerah Pelajar Cemerlang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Aminah, di sini, kelmarin. Aziz berkata, pendedahan mengenai pertanian kepada pelajar itu perlu untuk memastikan penggantungan negara kepada import bahan makanan dapat dihentikan sepenuhnya pada masa depan. Beliau berkata, minat untuk menceburi bidang pertanian harus disemai daripada peringkat awal supaya generasi muda sedar perlunya usaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan hasil pertanian negara.
"Ketika ini, negara kita membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk mengimport bahan makanan. Kita harus berusaha mulai sekarang untuk meningkatkan hasil pertanian dalam negara yang bukan saja akan menghentikan penggantungan kepada negara luar, tetapi akan memastikan negara pula menjadi pengeksport bahan makanan satu hari nanti. "Kita tidak ada cara lain, kecuali menyandarkan harapan ini kepada anak-anak yang akan meneruskan usaha yang kita mulakan ketika ini untuk memantapkan bidang pertanian negara," katanya. Beliau berkata, pengetahuan mengenai teknik pertanian moden juga perlu diterapkan kepada generasi muda dan ia menjadi tanggungjawab pakar Jabatan Pertanian untuk membantu pelajar mengetahui cara baru menghasilkan tanaman bermutu serta menambah kuantiti pengeluaran. "Memang diakui, teknologi pertanian kita masih jauh di belakang negara lain khususnya Thailand yang kini berupaya mengeluarkan pelbagai hasil tanaman bermutu tinggi. Begitu juga dalam bidang ternakan, kita masih jauh ketinggalan berbanding Australia atau New Zealand. "Sebab itu, kita mahu pelajar didedahkan dengan kaedah pertanian moden dan kemahiran lanjutan boleh peroleh di institut pertanian supaya petani kita memiliki kemahiran untuk menghasilkan tanaman bermutu tinggi setanding negara lain pada masa depan," katanya.

(SEGAMAT) Selatan: 'Pengundi muda tak pilih BN'

BH

15/4/08

Selatan: 'Pengundi muda tak pilih BN'

SEGAMAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Ayub Rahmat mengakui antara kekurangan sokongan pengundi muda adalah antara faktor kemerosotan kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12. Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Sekijang, berkata ini berikutan pengundi muda terpengaruh dengan pelbagai dakyah negatif yang memburukkan kerajaan BN. Katanya, pengundi muda dipengaruhi pelbagai isu yang mungkin diperoleh daripada orang berpengaruh di persekitaran tempat tinggal mereka atau laman web.
"Mereka mengambil semua maklumat tidak sahih ini sebagai pegangan untuk memilih kerajaan tanpa mendapatkan pandangan orang lain. "Lebih memburukkan keadaan, mereka turut mempengaruhi ibu bapa dan keluarga supaya tidak mengundi Barisan Nasional (BN) sebaliknya mengundi pembangkang," katanya. Ayub berkata demikian pada majlis Ukhuwah Kasih anjuran Persatuan Mahasiswa Anak-anak Johor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam (Pekayis) Segamat, di sini, baru-baru ini.
Beliau turut menasihatkan mahasiswa supaya tahu tanggungjawab mereka dalam menentukan hala tuju dan kepemimpinan demi untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara. Katanya, selaku mahasiswa, mereka perlu ada pendirian yang tepat untuk memilih siapa yang benar-benar layak menjadi kerajaan selain mampu menilai parti mana yang sebenarnya selama ini banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara.

(MUAR) Selatan: Hutan bakau aset bernilai

BH

14/4/08
Oleh Jamaludin Husin
HABITAT: MONYET liar yang terdapat di hutan bakau Tanjung Ketapang, Muar, menjadi tarikan pengunjung.
Pemuliharaan kawasan mampu mewujudkan persekitaran menarik dan boleh dijadikan daya tarikan pengunjung MUAR: Langkah kerajaan negeri mewartakan hutan paya bakau di negeri ini sebagai kawasan larangan perlu diberi perhatian bagi mengelak kawasan itu diceroboh. Tindakan itu penting bagi memastikan kawasan yang keluasannya dianggarkan tidak melebihi 30,000 hektar yang masih tinggal di seluruh negeri dipelihara sepenuhnya.
Ini kerana hutan paya bakau adalah aset tidak ternilai harganya kerana berkait rapat dengan kehidupan manusia apabila pokok bakau mewujudkan ekosistem yang unik terutama dari segi flora dan faunanya. Berdasarkan kajian, daripada kira-kira 106,100 hektar kawasan hutan bakau yang terdapat di Semenanjung hanya 18 peratus yang dapat mengekalkan keasliannya, manakala sebahagian lagi sudah diteroka. Kawasan itu dimajukan dengan projek pembangunan kerana kedudukannya yang berdekatan pantai strategik ataupun pokok ditebang untuk dijadikan bahan binaan.
DAYA TARIKAN: SEBAHAGIAN pelancong dari Australia sedang menikmati keindahan pemandangan hutan bakau
Di daerah ini, misalnya, banyak kawasan hutan bakau turut diterokai, termasuk di tebing Sungai Muar dekat Tanjung Agas yang dibangunkan dengan pembinaan kompleks perniagaan serta kilang perindustrian dengan alasan untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk. Beberapa kawasan hutan bakau di Pantai Muar bertentangan Selat Melaka turut diteroka terutama berdekatan dengan pangkalan nelayan seperti di Seri Menanti dan Parit Karang Laut. Keadaan ini bukan saja memusnahkan hutan bakau, melenyapkan keindahan flora dan fauna, malah menimbulkan masalah kepada haiwan yang menjadikan hutan bakau sebagai habitatnya seperti monyet dan unggas. Seorang penduduk Seri Menanti, Jumain Ahmad, mendakwa hutan bakau yang ditebang kerana pembinaan jeti di pangkalan nelayan di situ, menyebabkan monyet liar berkeliaran di kawasan kebun dan memusnahkan tanaman penduduk
Beliau berkata, sebelum ini tidak terdapat seekor monyet pun di dalam kebun penduduk di kampungnya kerana haiwan itu mencari makanan di tepi pantai yang dipenuhi pokok bakau. "Bagaimanapun, sejak dua tahun kebelakangan ini, ribuan monyet liar berkeliaran dalam kebun kelapa sawit dan memusnahkan hasil tanaman penduduk, termasuk pisang, nanas, ubi dan keladi. "Haiwan itu bertindak sedemikian berikutan sebahagian hutan, termasuk pokok kayu bakau sudah ditebang bagi tujuan pembangunan," katanya. Seorang pemaju projek, Norizan Mahat, berkata langkah meneroka hutan bakau bagi tujuan pembangunan boleh menjejaskan struktur pantai kerana mendedahkannya kepada arus ombak dan air pasang surut. Sehubungan itu, katanya, pemuliharaan hutan bakau amat penting kerana hutan itu bukan saja dapat melindungi daripada hakisan. "Langkah memulihara hutan bakau juga mampu mewujudkan persekitaran menarik dan boleh dijadikan daya tarikan pengunjung berikutan keunikan pokoknya yang boleh hidup di air masin dan tidak mati di daratan. "Sebagai contoh, akar kayu bakau di sebatang pokok berkenaan di kawasan rekreasi Parit Karang Laut menjadi tempat kanak-kanak bermain kerana keadaannya yang unik dan menyerupai seperti sebuah peralatan permainan," katanya. Norizan berkata, langkah pihak berkuasa tempatan (PBT) memulihara hutan paya bakau di Pantai Tanjung Ketapang menjadikan kawasan itu sebagai daya tarikan pengunjung, termasuk pelancong asing. Beliau berkata, terbaru seramai 40 pelancong dari Australia melawat kawasan hutan bakau di Tanjung Ketapang. "Di samping menyaksikan keaslian flora dan fauna yang masih kekal di hutan berkenaan, mereka juga berpeluang melihat ribuan monyet liar yang banyak terdapat di dalam hutan paya bakau di situ," katanya. Seorang pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai John, berkata di kebanyakan negara Asia Tenggara dan Pasifik, hutan paya bakau dikomersialkan sama ada bagi tujuan pembinaan, kayu api dan arang. Bagaimanapun, beliau kagum dengan usaha Malaysia mengawal penerokaan hutan bakau sekali gus mengekalkannya sebagai kawasan pembiakan haiwan dan hidupan laut. Sehubungan itu, beliau menyarankan usaha kawalan itu diteruskan. John dan isterinya sependapat, keindahan semula jadi di Pantai Muar mewujudkan suasana segar dan nyaman.

(B PAHAT) Pelabur ASJ buat laporan polis, BPR

UM

BATU PAHAT 14 April - Seorang pelabur Amanah Saham Johor (ASJ) membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis ekoran notis pekeliling yang dihantar kepada para pemegang saham mengenai cadangan penamatan skim itu dijangka bermula 31 Mei ini.
Ayub Ahmad, 68, berkata, laporan itu dibuat kerana dia mengesyaki berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan saham berkenaan.
Menurutnya, laporan polis dan BPR itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat dan pejabat BPR Batu Pahat di sini pagi semalam.
"Penyelewengan dan penipuan itu telah menyebabkan ASJ mengalami kerugian besar iaitu mengikuti laporan audit 31 Mei 2007 hingga 30 November 2007, dana pelabur yang berjumlah RM48.7 juta merosot kepada RM23 juta," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ayub berkata, sebagai pelabur dalam skim itu, dia bertanggungjawab dan mahu perkara itu disiasat dengan harapan dapat melindungi harta bumiputera khususnya yang tinggal di luar bandar.
Sehubungan itu, dia menyeru semua pelabur ASJ agar mengadakan pertemuan sebelum tarikh Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang bakal membentang resolusi menamatkan skim itu pada 24 April ini di Johor Bahru.
Katanya, perbincangan itu penting bagi memastikan pelaburan mereka dilindungi dan mereka yang meminjam bank ketika membuat pelaburan tidak akan dikenakan sebarang tindakan termasuk tindakan muflis.
"Saya harap para pelabur tidak menghantar balik borang proksi kepada pengurus yang telah dikirimkan kepada pelabur-pelabur bagi memastikan usaha menamatkan skim ini dapat dipertimbangkan kembali," katanya.
Ayub memberitahu, dia akan mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memainkan peranan bagi membantu para pelabur agar pelaburan yang dibuat selama ini tidak sia-sia.
Katanya, kementerian berkenaan mungkin boleh mengambil alih dana yang terkumpul dan melaburkannya pada skim-skim lain yang berpotensi seperti menyimpannya di dalam Bank Rakyat.
Hari ini, Utusan Malaysia menyiarkan gesaan para pelabur yang mahu kerajaan negeri campur tangan dengan cadangan penamatan skim amanah tersebut yang dijangka dilaksanakan bermula 31 Mei ini.
Mereka mendakwa, penamatan skim yang diperkenalkan sejak 1992 itu tanpa mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada pelabur-pelabur terutama yang membuat pinjaman bank adalah tidak adil dan satu penganiayaan.
Pengumuman penamatan ASJ itu disampaikan kepada para pelabur menerusi surat pekeliling yang menjemput mereka menghadiri Mesyuarat Luar biasa (EGM) pada 24 April ini di Hotel Puteri Pacific, Johor Bahru.

(JOHOR) Johor catat penagih dadah kedua tertinggi

UM

Oleh HAMDAN TAAWDI

JOHOR BAHRU 14 April - Johor mencatat bilangan penagih dadah kedua tertinggi selepas Pulau Pinang dengan 2,004 orang daripada keseluruhan 14,489 penagih yang dikesan sepanjang tahun lalu.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor, K. Sukumaran berkata, bagaimanapun jumlah penagih yang dikesan di negeri itu menurun berbanding seramai 2,329 penagih pada tahun sebelumnya.
"Johor berada di tangga kedua kerana sesetengah negeri mencatatkan penurunan bilangan penagih yang amat ketara berbanding pada tahun sebelumnya.
"Malah, bilangan keseluruhan penagih yang dikesan di seluruh negara turut menurun berbanding tahun 2006 yang mencatatkan 22,811 penagih," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini bagi mengulas mengenai statistik penagihan dadah di negeri ini.
Sukumaran berkata, bilangan penagih dadah tertinggi dikesan di Pulau Pinang seramai 3,433 orang diikuti Johor, Kuala Lumpur (1,756), Kedah (1,604) dan Selangor (1,409).
"Perak pula mencatat bilangan penagih seramai 1,194 orang, Kelantan (884), Negeri Sembilan (826), Pahang (378), Melaka (313), Sabah (217), Sarawak (184), Perlis (147), Terengganu (127), Putrajaya (7) dan Labuan (6)," katanya.
Sementara itu, Sukumaran berkata, bilangan penagih dadah di Johor menurun sepanjang Januari lalu hasil penguatkuasaan berterusan pihak berkuasa.
"Jika tahun lalu, bilangan penagih dadah yang dikesan di negeri ini adalah yang kedua tertinggi, namun pada Januari lalu, bilangan penagih dikesan di Johor turun," katanya.
Katanya, seramai 1,717 penagih dikesan di seluruh negara sepanjang Januari lalu dengan Pulau Pinang kekal mencatatkan bilangan penagih tertinggi iaitu 350 orang, Selangor (221), Kuala Lumpur (217) dan Johor (203),
Tambahnya, ia diikuti Kedah seramai 150 orang, Perak (115), Kelantan (115) dan Pahang (110), Negeri Sembilan (84) Melaka (54), Sabah (45), Terengganu (30), Sarawak (10), Perlis (8) dan Labuan (5).

(MUAR) EGM: Muar alami masalah korum

Malaysiakini

Muda Mohd Noor Apr 15, 08 7:49pm


Umno bahagian Muar tidak boleh mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) kerana tidak cukup korum, jelas ketua bahagian, Datuk Mohd Shah Ismail.Pada mulanya, kata beliau, pihaknya menerima surat yang menyatakan 24 daripada 36 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian mahu EGM diadakan.Bagaimanapun, katanya, dalam tempoh 14 hari selepas menerima surat daripada kumpulan tersebut, yang dihantar pada 1 April, beberapa orang telah menarik diri."Ini bermakna korum tidak cukup daripada yang diperlukan iaitu seramai 23 orang AJK," katanya ketika dihubungi hari ini.Mohd Shah berkata, mereka yang menarik diri itu mendakwa telah dibayar oleh kumpulan tertentu untuk menyokong EGM tersebut diadakan."Saya tidak mempunyai masalah untuk membenarkan EGM jika mengikut syarat-syarat yang ditetapkan," katanya lagi.Mohd Shah juga mempertikaikan kesahihan cawangan-cawangan yang menyokong EGM tersebut.
Dakwaan dibayar"Ini kerana mengikut perlembagaan, cawangan perlu mengadakan mesyuarat khas terlebih dahulu sebelum menghantar senarai cawangan yang menyokong EGM kepada pihak bahagian.Bagaimanapun, beliau meragui terdapat cawangan-cawangan di Muar yang telah mengadakan mesyuarat khas bagi menyokong bahagian untuk tujuan tersebut.
Sementara itu, seorang AJK, Hassan Sulaiman Ninam Shah, ketika dihubungi berkata, ianya adalah dakwaan ketua bahagian sahaja.
"Penarikan diri mereka, tidak ada hitam putih," katanya sambil menafikan ada kalangan AJK terbabit telah dibayar untuk menyokong EGM.
Sebaliknya, beliau mendakwa bahawa Mohd Shah yang membayar kepada AJK terbabit supaya menarik diri.
"Kita akan tunjukkan buktinya kepada setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor esok," katanya.
Hassan berkata, beliau dan lima lagi AJK bahagian, akan menemui Tengku Adnan pagi esok di ibupejabat Umno di Kuala Lumpur.

(MUAR) EGM: Muar temui Umno Johor

Malaysiakini
Muda Mohd Noor Apr 14, 08 3:49pm


Umno bahagian Muar akan merujuk kepada badan perhubungan Johor esok bagi mengadu bahawa bahagian itu enggan mengeluarkan surat yang membolehkan ia mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM). Majoriti ahli jawatankuasa (AJK) bahagian itu dilaporkan mendesak supaya EGM diadakan dan surat mengenainya dihantar kepada setiausaha Umno bahagian pada 1 April.Umno Muar mempunyai masa 14 hari untuk mengeluarkan notis untuk mengadakan EGM tetapi sehingga hari ini tiada surat dikeluarkan.Sekumpulan AJK bahagian itu akan menemui setiausaha badan itu Datuk Ali Hassan untuk mendapatkan penjelasan mengapa surat belum dikeluarkan kepada bahagian itu.Seorang daripada mereka, Hassan Sulaiman Ninam Shah berkata pihaknya ingin meminta Ali menghubungi sendiri setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk mendapatkan restu bagi membolehkan Muar mengadakan EGM."Sekiranya Majlis Tertinggi juga gagal mengarahkan EGM diadakan, kami 26 AJK Umno bahagian Muar bersetuju akan meletakkan jawatan secara beramai-ramai," katanya ketika dihubungi hari ini.Awal bulan ini, 84 daripada 133 cawangan Umno di bahagian itu bersetuju EGM diadakan untuk membincangkan beberapa isu tentang parti selepas prestasi buruk Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac.Ia kemudiannya disokong oleh 26 daripada 33 ahli jawatankuasa bahagian yang menandatangani persetujuan meminta bahagian mengadakan EGM dalam tempoh 14 hari mulai 1 April lepas. Hassan berkata, sehingga hari ini pihaknya belum menerima sebarang jawaban dari Umno bahagian mengenai permohonan untuk mengadakan EGM tersebut.Katanya, surat mengenai perkara tersebut dihantar kepada bahagian Muar pada 1 April lalu tetapi pejabat bahagian itu mendakwa ia diterima pada 3 April.Beliau berkata, tiada sebab lagi untuk Umno bahagian tidak mengeluarkan surat untuk membolehkan bahagian Muar mengadakan EGM.Hassan berkata, mengikut perlembagaan parti, jika sebuah bahagian Umno memenuhi salah satu daripada tiga syarat, ibu pejabat parti tidak boleh menghalang bahagian tersebut daripada mengadakan mesyuarat EGM.Syarat tersebut ialah: pertama, jika dua pertiga AJK bahagian; kedua, separuh daripada jumlah cawangan, dan ketiga MT Umno mahukan EGM, bermakna ia boleh diadakan."Dua syarat pertama itu telah dipenuhi dan ini bermakna EGM tersebut boleh diadakan," katanya lagi.Hassan juga berkata, tiga cawangan Umno dalam bahagian Muar akan mengadakan EGM hujung minggu ini.Katanya, tiga cawangan tersebut mahu membincangkan tiga perkara iaitu prestasi parti dalam pilihanraya umum lalu, menghapuskan sistem kuota pencalonan dalam pemilihan parti dan peletakan jawatan AJK Muar.Sementara itu, Hassan mencadangkan supaya MT Umno meletakkan jawatan dan menubuhkan protem baru bagi menguatkan semula parti selepas kalah teruk dalam pilihanraya lalu.Beliau juga sangsi dengan rancangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memulihkan semula Umno seperti yang diuar-uarkannya."Orang sudah tidak percaya, bagaimanakah lagi beliau hendak memperbetulkan Umno itu," katanya lagi.

(JOHOR) DAP: Dedah pelaburan sebenar di WPI

Malaysiakini
Apr 14, 08 3:37pm

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa supaya mengumumkan jumlah pelaburan sebenar di Iskandar Malaysia bagi membuktikan kredibiliti kerajaan dalam membangunkan projek tersebut.Iskandar Malaysia nama baru bagi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) seperti diumumkan Abdullah pada Jumaat lepas.Penasihat ekonomi kepada setiausaha agung DAP, Tony Pua berkata, Abdullah telah mengumumkan bahawa Iskandar Malaysia menuju sasarannya untuk menarik pelaburan RM47 juta dalam tempoh dua tahun akan datang dan sehingga ini ia telah "mencapai" 70 peratus sasaran pelaburannya, atau sekurang-kurangnya RM33 bilion. Sehubungan itu, beliau yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara, menggesa Abdullah yang juga menteri kewangan, supaya mengumumkan butiran berikut: Daripada jumlah pelaburan yang telah "diperolehi" itu, apakah pecahannya antara perjanjian pelaburan yang sudah disahkan, contoh, ada klausa penalti jika ditamatkan; dan yang hanya berdasarkan kepada memorandum persefahaman (MOU) yang tidak terikat dengan sebarang kontrak. Daripada pelaburan yang "diperolehi" itu, apakah pecahan antara (pelaburan) kerajaan Malaysia, pelabur swasta tempatan dan pelabur asing? Daripada jumlah pelaburan yang diperolehi itu, berapa banyak dana yang telahpun dilaburkan di Iskandar Malaysia?"Rakyat Malaysia mengharapkan supaya Iskandar Malaysia mencatatkan kejayaan, terutama dalam menarik pelaburan terus asing ke negara ini. Kerap tukar nama"Bagaimanapun, untuk berbuat demikian, menteri kewangan mesti menyediakan maklumat yang kita perlukan untuk menilai status projek tersebut dan menyarankan rancangan-rancangan perlu untuk memastikan kejayaannya," kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.Mengulas nama baru koridor ekonomi itu, ahli parlimen itu berkata: "Harus diperhatikan bahawa ini adalah kali kedua projek tersebut bertukar nama sejak dilancarkan pada awal 2007, yang pada mulanya dinamakan sebagai 'Koridor Pembangunan Johor Selatan'."Kekerapan pertukaran nama projek tersebut memberi imej buruk terhadap kerajaan dan pihak pentadbiran kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan pelabur. "Tambahan pula, ia juga mencerminkan sebuah kepimpinan yang tidak mampu berpegang kepada satu keputusan, sekurang-kurangnya untuk satu tempoh masa yang munasabah, selepas ia dibuat." Menurutnya, perkembangan seumpama itu tentunya tidak baik "untuk memupuk keyakinan pelabur terhadap projek kita".

(JOHOR) Umno tidak sabar lihat PM berundur

Malaysiakini
Apr 13, 08 3:23pm

kemaskini 11: 18pm Selepas badan perhubungan Umno Johor mencadangkan "pelan peralihan" kuasa presiden dan perdana menteri, parti itu kelihatan tidak sabar-sabar lagi melihat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur. Sejak pertemuan Abdullah dengan Umno negeri itu Jumaat lalu, kenyataan-kenyataan agar penggantian dijalankan segera semakin lantang berkumandang - walaupun berlapik.Ia dimulakan dengan kenyataan naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin di akhbar milik parti itu, Mingguan Malaysia hari ini.Berpandukan kenyataan Muhyiddin di akhbar itu, agensi berita Bernama hari ini melaporkan "Umno akan hanyut dan tidak boleh bangkit lagi sekiranya tidak dilakukan perubahan segera terhadap pucuk pimpinan parti."Beliau dilaporkan berkata "sekiranya perubahan itu tidak dilakukan segera, Umno juga akan hilang kuasa dan tidak akan bangkit selama-lamanya."Tokoh Umno itu juga berkata pilihanraya umum lalu menunjukkan perasaan tidak senang hati rakyat terhadap kepimpinan parti - secara tidak langsung bermaksud gaya kepemimpinan Abdullah yang dilihat mentadbir negara dengan bantuan ahli keluarga dekatnya.Kini pelbagai pihak dari dalam dan luar parti, lapor agensi itu lagi, memperkatakan soal kepimpinan Umno yang dikaitkan dengan "masalah keluarga" dan sistem yang diamalkan.Dalam wawancara itu, Muhyiddin berkata: "Saya bimbang jika tidak ada satu perubahan berlaku seperti mana yang bukan sahaja dituntut oleh Umno tetapi orang luar Umno, rakyat akan terus tolak BN dan Umno. "Oleh itu, ahli parti harus fikir secara matang, perdana menteri sudah buat kenyataan. Pertama, beliau akan pergi bila sampai waktunya. "Kedua, beliau menyebut Datuk Seri Najib bakal penggantinya. Ketiga, beliau kata 'beri saya sedikit masa untuk perbetulkan parti sebelum saya menyerahkan parti kepada pengganti saya.'"Ramai berkata, itu bagus dan jelas dari segi pelan peralihan kuasa tetapi mereka juga bertanya, bila?"Beliau menambah, "saya fikir ada satu perasaan membuak-buak di peringkat bawah iaitu perasaan tidak puas hati yang ketara. Oleh itu saya berpendapat, kalau tidak berlaku perubahan dalam Umno maka banyak perkara tidak baik akan terjadi." Dalam wawancara yang sama, naib presiden Umno itu menyentuh soal tanggapan umum terhadap Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin. "Kita hendak tahu, apakah sebenarnya yang menyebabkan kita kalah teruk walaupun di peringkat awal orang sudah membuat andaian-andaian. "Pertama, mereka sebut soal kepimpinan (Abdullah), mereka menyalahkan perdana menteri yang juga presiden parti dan pengerusi BN. "Mereka juga mengaitkan dengan apa yang sering disebut 'fakta KJ' (faktor Khairy Jamaluddin). Mungkin ia tidak betul atau persepsi tetapi dalam pilihan raya dan politik, persepsi itu penting. "Ada rakyat yang mengatakan kepimpinan BN tidak menyerlah, lemah dan tidak berupaya menangani keadaan semasa," katanya.Sementara itu, Bernama hari ini juga menghubungi ketua penerangan Umno Johor Dr Mohd Puad Zarkashi bagi mengulas isu pelan penggantian kuasa.Dr Mohd Puad - dilaporkan seorang daripada beberapa ketua bahagian di Johor yang paling lantang meminta Abdullah berundur dalam mesyuarat minggu lepas - mengulangi gesaannya supaya proses peralihan itu disegerakan "agar tidak menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat".Ketua bahagian Batu Pahat itu berkata, pelan peralihan kuasa telah menjadi tradisi Umno dan BN seperti penggantian almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj kepada allahyarham Tun Abdul Razak dan ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah."Umno Johor pada perjumpaan dengan Abdullah Jumaat lepas meminta perdana menteri menyediakan pelan peralihan kuasa."Ia merupakan sesuatu yang perlu dilaksanakan. Ada juga ketua bahagian yang mahukan pelan itu dilaksanakan dengan segera," beliau dipetik sebagai berkata.Selain itu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo juga menyuarakan nada yang sama dalam satu artikel di blognya semalam."Bagi pemimpin Umno, seperti saya dan rakan-rakan ketua bahagian, yang telah dilatih untuk menghormati pemimpin, untuk meminta Pak Lah meletakkan jawatan secara terbuka adalah perbuatan terakhir yang terpaksa dilakukan. "Selalunya kami tunjukkan secara kiasan atau tidak langsung dengan harapan hasrat itu difahami," katanya.Beliau juga bersetuju dengan Umno Johor yang mencadangkan Abdullah menyediakan pelan peralihan untuk berundur dan mencari penggantinya."Peralihan ini boleh dilakukan dalam waktu terdekat atau jangka masa yang lebih panjang. Namun ia tidak seharus terlalu lama yang boleh menjejaskan pentadbiran negara mahu pun persiapan parti menjelang pilihanraya umum akan datang," katanya.