Jumaat, 2 Mei 2008

(BAKRI) 'Bantu atasi gejala sosial'

BH 29/4/08

MUAR: Penghuni kawasan perumahan diingatkan supaya sentiasa prihatin terhadap permasalahan masyarakat setempat dalam usaha membantu pihak berkuasa menangani kes gejala sosial sama ada jenayah mahu pun maksiat. Pegawai Tadbir Agama Daerah, Ahmad Hanif Naim, berkata sikap memencilkan diri dan tidak gemar mengambil tahu hal berkaitan jiran boleh mendatangkan implikasi negatif, termasuk menyebabkan berlaku kes kecurian dan pecah rumah tanpa disedari. Malah, beliau berkata, tabiat jiran yang beranggapan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain dan enggan masuk campur hal yang tidak berkaitan dengan diri dan keluarga mereka, boleh mengundang perpecahan di kalangan masyarakat.
"Semangat kejiranan yang terjalin erat di kalangan penghuni perumahan boleh membantu menangani masalah gejala sosial selain mengeratkan silaturahim dan perpaduan. "Ini kerana penghuni dalam kawasan perumahan diibaratkan tinggal dalam sebuah kelompok keluarga yang besar dan memerlukan kerjasama antara satu sama lain, termasuk dalam menjayakan program berfaedah," katanya. Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Pembangunan Keluarga dan Menangani Gejala Sosial Peringkat Kawasan Perumahan Daerah Muar 2008, di Taman Tun Dr Ismail 5, Jalan Sungai Abong, di sini, baru-baru ini.
Sempena program itu, beberapa acara diadakan, termasuk pertandingan futsal dan badminton yang turut membabitkan kakitangan jabatan, menganyam ketupat dan mengupas kentang wanita serta pertandingan mewarna kanak-kanak Tabika Kemas Sungai Abong. Hadiah kepada pemenang disampaikan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Johor (Jaj), Yosree Ikhsan.

Tiada ulasan: