UM
JOHOR BAHRU 28 April - Seorang pelajar kolej yang menghantar komen di sebuah laman web dengan menyatakan Pengerusi DAP, Karpal Singh 'halal' dibunuh, hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini.
Remaja berusia 19 tahun dari Kluang itu yang ditemani ayahnya serta ahli-ahli Pas Johor tiba di IPD tersebut pada pukul 1 petang ini dan polis telah mengambil keterangan daripadanya untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Timbalan DAP Johor, Norman Fernandez berkata, pelajar tersebut juga telah menemui beliau pada pukul 4 petang ini untuk menyerahkan surat permohonan maaf sepanjang satu muka surat kepada Karpal.
''Pelajar itu, ayahnya dan beberapa wakil daripada Pas negeri telah menyerahkan surat permohonan maaf dan menyesali perbuatan dan masalah yang ditimbulkan olehnya.
''Dia juga berjanji untuk tidak menghantar mesej sedemikian rupa ke sebarang peti mesej (e-mel) dalamannya,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pelajar itu juga merayu agar Karpal menarik balik laporan polis yang telah dibuat.
Menurut Fernandez, beliau akan menyampaikan surat itu kepada Karpal esok dan terpulang kepada Pengerusi DAP itu untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II, Amer Awal ketika dihubungi berkata, polis sedang menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, beberapa individu akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, komen bertarikh 24 April pada laman web Pas Johor Bahru yang dihantar oleh pengirim yang menggelar dirinya 'Alif' itu mendakwa Karpal telah menghina Islam dan oleh itu, darahnya halal dibunuh.
Sehubungan itu, Karpal membuat laporan polis berkenaan perkara itu di Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Jumaat, 2 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan